Jumaat, 5 Januari 2018 | 11:42am
Liza Soberano

Wanita tercantik dunia milik aktres Filipina

KUALA LUMPUR: Aktres muda Filipina, Liza Soberano dinobatkan sebagai wanita tercantik di dunia untuk tahun lalu oleh pengkritik filem profesional, TC Candler.

Soberano, 20, yang juga model kacukan Filipina-Amerika Syarikat mengungguli senarai 100 Wajah Paling Cantik disenaraikan The Independent Critics, pada penghujung Disember lalu.

Model yang juga aktres Perancis, Thylane Blonde menduduki tempat kedua, diikuti penyanyi Jepun, Tzuyu dalam senarai yang menjadi fenomena di alam maya masa kini.

Soberano yang turut dikenali di negara ini menerusi drama Forevermore bergandingan dengan aktor, Enrique Gil pernah berada di kedudukan keenam dalam senarai yang sama tahun 2015 dan tempat kedua pada tahun lalu.

Menurut TC Candler, senarai berkenaan bukanlah satu pertandingan populariti sebaliknya ia lebih bertujuan meluaskan pandangan dan pengetahuan masyarakat umum.

Malah, pencarian wajah berkenaan yang dimulakan sejak 1990 itu juga bersifat lebih jauh dan meluas dengan mendengar jutaan pandangan dan cadangan ramai dari serata dunia dan dimasukkan dalam satu senarai mewakili kecantikan ideal masyarakat moden seluruh dunia.

Selain itu, ia tidak hanya berdasarkan penampilan fizikal kerana turut mengambil kira kesempurnaan estetik yang menjadi antara satu-satunya kriteria dalam pemilihan wajah daripada hampir 40 negara.

Antara yang tersenarai adalah bintang 'Game of Thrones", Emilia Clarke (tempat ke 27), pelakon 'Suicide Squad', Margot Robbie (tempat ke 33) dan penyanyi dan juga aktres, Selena Gomez (tempat ke 56).

Turut tersenarai adalah bintang Bollywood, Priyanka Chopra (tempat ke 25), Deepika Padukone (37) dan Alia Bhatt (73).

Sementara itu, selain berlakon dan menjadi model, Soberano juga menyertai selebriti lain di negaranya memiliki perniagaan sendiri.

Beliau pada 15 Disember lalu dilaporkan melancarkan pusat kecantikan dan kesihatan di Tomas Morato, Quezon City yang turut menyediakan perkhidmatan rundingan dan khidmat nasihat kesihatan.

"Kesihatan bukan sesuatu yang kita lakukan sementara tetapi untuk selama-lamanya.

"Dengan mengamalkan ritual kesihatan anda akan sentiasa berasa muda berbanding usia sebenar," katanya kepada halaman web Push.

6870 dibaca
Berita Harian X