Jumaat, 5 Januari 2018 | 11:39am
FOTO hiasan.

Kanak-kanak ramai beli produk kosmetik

SEOUL: Jualan produk kecantikan kanak-kanak di Korea Selatan pada tahun lalu meningkat, sekali gus menunjukkan semakin ramai mula menggunakan mekap pada usia terlalu muda, lapor agensi berita Yonhap.

Data dikumpulkan SK Planet Co, sebuah pengendali platform e-dagang tempatan mendedahkan, penjualan produk kecantikan di laman webnya meningkat 29 peratus pada 2017.

Bagaimanapun, syarikat berkenaan enggan memberikan angka jualan sebenar. Jualan gincu kanak-kanak misalnya meningkat dengan drastik iaitu sebanyak 549 peratus.

Mengikut syarikat itu, data turut menunjukkan, penjualan kosmetik kanak-kanak dalam talian meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, mencatatkan pertumbuhan sebanyak 94 peratus dan 251 peratus masing-masing pada 2015 dan 2016.

"Populariti kosmetik yang selama ini dianggap hanya untuk wanita, kini turut digunakan oleh lelaki dan juga kanak-kanak," kata pegawai SK Planet.

Satu kajian yang dimuatnaik di laman web Korea Citation Index, menunjukkan 42.4 peratus pelajar sekolah rendah memakai alat solek dan 43.4 peratus responden mengatakan mereka mula bersolek pada gred kelima.

Kajian dijalankan bermula 14 November hingga 9 Disember 2016 itu, membabitkan 288 remaja perempuan gred empat, lima dan enam di sekolah rendah di Seoul, Incheon dan bandar perindustrian di tenggara Ulsan.

Kerajaan Korea Selatan sedang mengkaji sama ada terdapat keperluan untuk memantau produk kosmetik kanak-kanak, dengan menambahkan kategori berasingan terhadap label bahan, termasuk bahan yang boleh menyebabkan alahan.

"Terdapat pandangan berbeza mengenai sama ada perlu membuat kategori berasingan untuk kosmetik kanak-kanak. Kami kini di peringkat mengumpulkan pendapat," kata seorang pegawai kerajaan. -- BERNAMA

1164 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »