Rabu, 3 Januari 2018 | 1:50pm

Solekan 'wet look' untuk kulit gelap

KUALA LUMPUR: Kulit sawo matang tetap memberi kelebihan pada individu jika individu bijak memilih teknik solekan yang sesuai.

Jurusolek artis, Muhammad Taufiq Aymaduddin, berkata ada yang menganggap kulit sawo matang dan gelap gagal tampil menarik.

Katanya, tanggapan itu kurang tepat kerana kebijaksanaan memilih ton warna bersesuaian boleh mengelak wajah kelihatan 'kelabu' atau terlebih gelap.

"Mekap seperti seni yang bersifat subjektif, tiada yang betul atau salah asalkan selesa dengan gaya ditampilkan.

"Wanita berkulit sawo matang dan gelap boleh tampil lebih menawan dengan menggunakan aliran solekan semula jadi seperti gaya 'wet look' yang menjadi tumpuan tahun ini," katanya.

Beliau ditemui ketika membuat demonstrasi langkah demi langkah aliran solekan 2018 di Balai Berita, baru-baru ini.

Teknik solekan 'wet look' mengekalkan keaslian ton kulit dengan sapuan bedak asas tipis.

"Pemilihan warna bedak asas yang senada dengan rona asal kulit memberikan kesan sapuan lebih semula jadi dan wajah lebih segar dan terbentuk.

"Solekan ini, jangan terlalu tebal dengan sapuan bedak asas untuk menutup cela pada kulit," katanya.

Konsep solekan ini sangat minimum tetapi memberikan penekanan pada pembentukan ilusi wajah runcing atau tajam menggunakan teknik pembayang agar kelihatan sempurna.

"Antara kawasan wajah diberikan penekanan adalah tulang pipi, hidung, dagu dan rahang untuk kelihatan runcing dengan menggunakan teknik pembayang.

"Sapukan bedak tepu berkilau supaya tampak lebih segar pada kulit gelap dan sawo matang," katanya.

Muhammad Taufiq, solekan 'wet look' kurang beri tumpuan solekan pada pembayang mata dan kening yang menonjol.

"Warna pembayang mata warna bumi, seperti kecoklatan lebih sesuai, loreskan gincu rona coral dan jingga untuk menyerlahkan wajah eksotik.

Solekan ini, bagaimanapun kurang sesuai untuk majlis pernikahan atau perkahwinan kerana ia memberikan hasil minimum.

Langkah demi langkah

1) Sapukan bedak asas mengikut kesesuaian warna kulit. Gunakan berus, bentuk struktur wajah bagi bahagian hidung, dahi, rahang menggunakan krim pembayang wajah.

2) Pilih kombinasi warna coklat cair dan gelap dan adun warna pembayang mata agar solekan tampak lebih kemas.

3) Lukis kening menggunakan warna pensil kening tidak terlalu gelap untuk kesan calitan tipis.

4) Tambahkan penggunaan bulu mata palsu untuk memberikan mata lebih dalam dan seksi

5) Sapukan bedak berkilau (shimer) pada bahagian utama wajah iaitu dahi, hidung dan pipi.

6) Sapuan gincu dari rona terang untuk wajah lebih menyerlah.

Terima Kasih:

  • Jurudandan rambut : Aya Azies
  • Busana: aniqsafuan Creation
  • Model: Tiya Hayatie, Haneesya Hanee, Elin Aziz

564 dibaca
MODEL selepas disolek, oleh Ayum Promadona trend solekan 2018. - Foto Mahzir Mat Isa
Berita Harian X