Sabtu, 30 Disember 2017 | 5:54pm
NURFARAHAIN, (dua dari kiri) bersama, Mohd Najmuddin Md Noor, (kiri) beramah mesra dengan Fatimah Mohamad, (kanan) serta Norida Yahya, (tiga dari kanan) Norizan, (tengah) dan Nurul (dua dari kanan) selepas menyampaikan sumbangan kepada keluarga tersebut di Kampung Batas Ban, Kuala Kedah. - Foto Sharul Hafiz Zam

Kisah kepah: 2 beradik bakal jadi jurusolek

ALOR SETAR: Kisah dua beradik yang terpaksa mengambil upah mengasingkan kepah untuk membeli pakaian sekolah di Kampung Batas Ban, dekat Kuala Kedah, di sini, mendapat perhatian jurusolek terkenal, Siti Nur Farahain Zakaria.

Selain bantuan kewangan untuk membeli kelengkapan persekolahan, Siti Nur Farahain atau lebih dikenali sebagai Farahain, 29, juga berhasrat memberi kelas solekan percuma kepada dua beradik itu, Norida Yahya, 14, dan Norizan, 13.

"Norida dan Norizan menunjukkan minat dalam bidang solekan, jadi saya sedia mengajar mereka bagi membantu mereka mencari duit poket. Saya juga akan sediakan alat solek untuk mereka berdua asalkan mereka berminat.

"Pengalaman lalu mengajar saya untuk berbuat baik dengan insan memerlukan kerana saya juga pernah hidup susah.

"Tidak salah saya turunkan ilmu kepada mereka berdua supaya mereka ada kemahiran lain yang boleh memberi pulangan ekonomi kepada keluarga itu," katanya selepas menyerahkan sumbangan wang tunai kepada keluarga terbabit.

Selain Farahain, turut serta membantu keluarga dua beradik itu ialah usahawan kosmetik, Najmuddin Md Noor, yang berjanji memantau keperluan adik-beradik itu dari semasa ke semasa agar nasib mereka terus dibela.

Semalam, media melaporkan dua beradik gigih mencari duit sendiri bagi membeli barangan kelengkapan sekolah untuk mereka berdua dan tiga beradik lain, dengan mengambil upah mengasingkan kepah sepanjang cuti penggal ini.

Norida dan Norizan memperoleh upah RM15 seorang jika bekerja dari jam 8 pagi hingga 6 petang.

Farahain yang berasal dari Mergong, di sini, berkata beliau akan meminta Norida dan Norizan ke studio miliknya di Jalan Sungai Baru yang terletak hanya beberapa kilometer dari rumah mereka.

Katanya, beliau rasa terpanggil untuk membantu dua beradik itu supaya mereka dapat meneruskan kehidupan dengan lebih baik selepas membaca kisah mereka di dalam akhbar.

"Sumbangan wang tunai hanya dapat membantu untuk sementara, tetapi ilmu solekan akan dapat membantu mereka selamanya jika mereka menjadikan bidang ini sebagai kerjaya mereka di masa depan," katanya.

Farahain mula dikenali selepas video berdurasi 25 minit menampilkan dirinya melakukan tutorial solekan berlatarbelakangkan Menara Eiffel dan Kota London dikecam pelayar internet dengan menuduhnya sebagai 'Budak kampung dari Kedah jakun di Kota London.

Beliau melancarkan program 'Jalan-jalan Mai Mekap' di akaun Facebook iaitu 'School of Makeup-by Siti Nurfarahain' yang menampilkan aksinya melakukan tutorial solekan daripada tempat menarik di seluruh negara dan mempunyai 946,078 pengikut di laman sosial itu.

Sementara itu, Norida ketika ditemui berkata, pertemuan mereka bersama jurusolek terkenal itu memberi suntikan semangat baharu berikutan mereka mempunyai minat yang sama.

"Saya dan Norizan akan pergi ke studio Farahain pada hari yang sesuai. Saya sendiri memiliki beberapa alat solek yang dibeli murah di pasar malam, jika tidak ke sekolah saya memang akan bersolek walaupun berada di rumah.

"Ini peluang terbaik bagi kami dua beradik untuk mempelajarinya secara langsung dari jurusolek profesional.

"Selama ini kami hanya melihat Farahain di media sosial dan tak sangka hari ini kami dapat berjumpa," katanya.

Norida berkata, beliau juga terharu apabila kedua-dua usahawan berkenaan membantu menyediakan kelengkapan untuk mereka menempuhi sesi persekolahan 2018 yang akan bermula, Ahad ini.

Beliau mengakui keprihatinan ditunjukkan dua usahawan itu mendorong kepada mereka untuk belajar bersungguh-sungguh.

"Sumbangan diberikan akan disimpan untuk membeli barang keperluan kami lima beradik selain ibu, Fatimah Mohamad, 37, yang sedang menunggu masa untuk bersalin.

"Sebahagian sumbangan ini akan digunakan untuk membayar yuran dan membeli peralatan serta buku sekolah, di samping membeli keperluan bayi berikutan kandungan ibu saya sudah menjangkau sembilan bulan.

"Selepas ibu bersalin perbelanjaan kami sekeluarga akan meningkat, jadi saya dan Norizan tetap akan ke pelantar kepah pada hari cuti bagi membantu meringankan beban bapa saya," katanya yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Pantai, Kuala Kedah.

Norida berkata, beliau dan Norizan akan membahagikan masa sebaik mungkin supaya tidak tercicir dalam pelajaran, selain turut menjalani latihan sukan angkat berat di sekolah pada sebelah petang.

Bagi Najmuddin, 30, pula beliau akan memantau keperluan adik beradik itu supaya mereka mempunyai masa depan yang cerah.

Katanya, kanak-kanak terbabit perlu dibela bagi membolehkan mereka meneruskan pelajaran dan tidak terganggu akibat kedaifan kehidupan mereka.

2265 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »