Selasa, 12 Disember 2017 | 11:07am
21 wanita muda Malaysia daripada keluarga kurang berkemampuan berjaya menamatkan latihan selama dua belas bulan di bawah program Beauty for a Better Life anjuran L'Oreal Malaysia, sekali gus melayakkan mereka bergelar pendandan rambut bertauliah.- Foto NSTP
JEAN Loh. - Foto Aizuddin Saad

Wanita kurang berkemampuan ikuti kursus dandanan rambut

KUALA LUMPUR: Seramai 21 wanita daripada keluarga kurang berkemampuan memanfaatkan kursus 'Beauty For A better Life' selama setahun untuk melayakkan mereka bekerja sebagai pendandan rambut bertauliah.

Program kali pertama diperkenalkan di negara ini bertujuan memberi latihan kemahiran dalam bidang kosmetologi terutama dandanan rambut, sekali gus membantu mengatasi masalah kemiskinan membabit golongan itu.

Kesemua wanita terbabit baharu saja menamatkan kursus terbabit dan masih menunggu peluang pekerjaan di beberapa salun di seluruh negara.

Pengarah Komunikasi Korporat L'Oreal Malaysia, Jean Loh, berkata pihaknya aktif untuk membantu wanita muda mendapatkan pekerjaan dalam industri berkaitan.

"Kita mahu membantu wanita kurang bernasib baik untuk memanfaatkan peluang ini bagi menikmati kehidupan selesa melalui kemahiran itu.

"Apabila mereka mempunyai kehidupan yang lebih baik, mereka boleh memberikan yang terbaik untuk anak-anak," katanya dalam satu kenyataan akhbar, di sini.

Program itu anjuran L'Oreal Malaysia dengan kerjasama Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO) dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk melayakkan golongan itu mendapatkan pensijilan dalam bidang dandanan rambut.

Kursus sama itu disediakan Yayasan L'Oreal yang dimulakan tahun lalu bagi membantu wanita khususnya golongan muda yang kurang bernasib baik membabitkan lebih 20 negara termasuk di Amerika Latin, Asia, Timur Tengah, Afrika dan Eropah.

Kata Jean, program itu dianggap sebagai inisiatif terbaik bagi menyumbang kembali kepada masyarakat dengan membantu mengatasi isu kitaran kemiskinan menerusi bidang kecantikan.

Industri dandanan rambut penting kerana memberi perolehan pendapatan RM10 bilion di peringkat global, selain mampu menawarkan banyak peluang pekerjaan.

Jean berkata, pihaknya berharap program itu perlu ditambah baik dengan menyediakan latihan intensif dan holistik dengan memasukkan kurikulum terapi solekan dan kecantikan, pada masa depan.

Katanya, tahun ini L'Oreal Malaysia meluaskan lagi program Beauty For A Better Life dengan memperkenalkan satu lagi kategori iaitu Penjagaan Kecantikan.

"Permintaan pasaran yang mendadak, iaitu 18 peratus bagi kategori alat solek sepanjang tahun ini, ia mempamerkan industri ini mempunyai potensi yang baik dari segi peluang pekerjaan.

"Bagi program Penjagaan Kecantikan ia menyediakan latihan komprehensif selama enam bulan merangkumi kursus solekan, urusan pengantin dan kuku.

"Tahun lalu, 10 wanita menamatkan pengajian dalam program solekan dan tiga daripadanya sudah bekerja di salun terkemuka di The Garden Mall, sejurus selepas tamat latihan.

"Sebahagian yang tamat kursus ada yang menjalani latihan ilmiah di kedai kosmetik terkemuka seperti Shu Uemura, Urban Decay dan YSL Beauty," katanya.

865 dibaca
Berita Harian X