Khamis, 12 Oktober 2017 | 8:52pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Wangian semula jadi tetap jadi pilihan

KUALA LUMPUR: Kebaikan minyak pati sebagai wangian semula jadi dalam membantu mengurangkan tahap tekanan berbanding penggunaan minyak wangi sintetik dilihat antara faktor ia menjadi pilihan dalam kalangan wanita hari ini.

Pakar Kimia dan Farmasi, University of California, San Francisco, Dr Lindsey Elmore, berkata gaya hidup wanita masa kini dan tekanan sekeliling membuatkan wanita lebih peka kepada kelebihan minyak pati ini yang dapat membantu keseimbangan hidup dalam tempoh jangka masa panjang.

Katanya, sebelum ini kebanyakan mereka lebih tertumpu kepada penggunaan wangian sintetik yang umumnya diketahui mengandungi pelbagai bahan kimia.

"Ditambah pula promosi berlebihan terhadap minyak wangi sintetik yang umumnya menggunakan jenama terkenal, mengaburi 'kelebihan' ditawarkan dalam setitis minyak pati.

"Kebanyakan mereka berpendapat semburan wangian yang disukai setiap hari sudah memadai, tanpa disedari ia memberi impak negatif serta mengubah gaya hidup seseorang, bergantung kepada apa yang digunakan," katanya ketika Bengkel Aroma Diri, di sini, semalam.

Kebanyakan produk wangian sintetik mengandungi peratusan kimia antara satu hingga 30 peratus bergantung kepada jenis produk. Antara kimia yang terkandung adalah daripada jenis petroleum seperti terbitan, benzena, aldehid dan kimia toksik lain.

Malah dalam kajian Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA) pernah melaporkan bahawa wangian sintetik boleh menyebabkan kemungkinan berlaku mutasi atau kesan toksik kepada manusia.

Haruman sintetik juga terbukti mengandungi gangguan hormon yang dikaitkan dengan pembiakan sel yang tidak normal dan boleh mengakibatkan pertumbuhan tumor.


Foto hiasan

Haruman semula jadi tonjol personaliti

Lindsey pemilihan wangian daripada pati semula jadi umpamanya juga dapat menonjolkan identiti dan personaliti wanita itu sendiri memandangkan ia menggunakan bahan seperti bunga-bungaan, sitrus, pudina dan sebagainya.

"Menerusi wangian itu, ia mengeluarkan magis tersendiri kerana mampu 'berkomunikasi' dengan dalaman wanita dalam pelbagai sudut seperti emosi, tenaga, hormon dan sebagainya. Secara tidak langsung ia memberi kesan kepada pengurangan tekanan harian yang dihadapi oleh wanita.

"Namun penggunaan minyak pati ini bukanlah bersifat satu penyelesaian kepada semua, tetapi lebih kepada membantu mengurangkan tekanan dihadapi," katanya.

Beliau berkata, aroma semula jadi ini juga sebenarnya sudah lama digunakan dalam kehidupan harian, umpamanya bauan kopi yang dibakar setiap hari dapat menyegarkan diri walaupun anda bukan peminum kopi.

"Bukan itu saja, menggunakan wangian juga sebenarnya perlu teknik yang betul iaitu sapuan di tangan kiri lebih menonjolkan sifat feminin wanita, manakala sebelah kanan pula lebih bersifat maskulin.

"Ini kerana ia membabitkan sistem saraf yang juga dapat memberi ketenangan kepada diri sendiri," katanya.

Pelengkap imej peribadi

Lindsey berkata, wanita yang tercari-cari wangian tepat untuk personalitinya bukan saja melihat kepada persepsi atau pandangan orang sekeliling, tetapi turut mengaitkan apa yang dihidu.

Katanya, wangian dipakai bukan saja melengkapkan penampilan imej diri sendiri, malah turut memberi kesan kepada orang sekeliling yang melihat secara positif.

"Wangian yang tepat adalah penting dalam rutin harian wanita kerana ia membentuk perasaan seseorang apabila berdepan dengan orang ramai. Wangian yang serius mungkin ketika menghadiri mesyuarat, haruman bunga-bunga untuk janji temu atau mungkin wangian aktif untuk berhibur.

"Wangian tidak seharusnya sama sepanjang masa kerana ia juga memerlukan perubahan yang akhirnya dapat memberi kelebihan kepada wanita itu sendiri," katanya.

INFO

Minyak pati :

* boleh digunakan sebagai haruman dalam minyak urut.

* nyah bau kurang enak dalam rumah.

* boleh dimasukkan dalam air dan semburkan sebagai pewangi semburan di rumah.

* berupaya memberikan kesegaran tubuh dan menerusi menghidunya atau urut pada tubuh.

266 dibaca
Berita Harian X