Jumaat, 12 Oktober 2018 | 5:52pm
AIDA menempa sejarah menjadi wanita pertama negara dilantik sebagai Pegawai Memerintah Kapal, milik Maritim Malaysia. - NSTP/Effendy Rashid

Aida wanita pertama dilantik Pegawai Memerintah kapal

LUMUT: Benar kata orang, tak kenal maka tak cinta. Ungkapan itu tepat bagi menggambarkan perjalanan kerjaya Leftenan Maritim Aida Arzahari, 35, sehingga berjaya menempa sejarah menjadi wanita pertama negara dilantik sebagai Pegawai Memerintah Kapal, milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Walaupun kerjaya itu memerlukan kekuatan mental dan fizikal serta lebih sinonim dengan lelaki, namun anak kelahiran Perlis membuktikan kemampuannya mengetuai Kapal Maritim (KM) Nyalau yang berpangkalan di Lumut, sejak tujuh bulan lalu.

Lebih membanggakan, Aida sanggup mengorbankan kerjaya impiannya sebagai akauntan bertauliah demi meneruskan legasi arwah bapanya, Arzahari Sudin, yang pernah berkhidmat dalam pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Malah, kerjaya ini juga sekali gus menunaikan impian ibunya, Hamiah Zain, 57, mahu melihat beliau menyarung pakaian seragam itu.

Mulanya tidak minat

Mengimbas kenangan enam tahun lalu, Aida mengakui beliau tidak meminati bidang itu, malah pernah menangis dan merayu kepada ibunya untuk meninggalkan latihan berkenaan.


AIDA (kiri) mengemudi kapal KM Nyalau di perairan berdekatan Pulau Pangkor. - NSTP/Effendy Rashid

Namun, anak sulung tiga beradik menjelaskan, perasaan itu dirasai hanya sekejap sahaja selepas mendapat sokongan padu ibunya yang mahu beliau menamatkan latihan.

Justeru, cabaran utama beliau adalah mengubah aspek mental dan fizikal serta mempelajari sesuatu perkara baharu dalam hidupnya.

Selepas menamatkan latihan sembilan bulan di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS), Pahang, saya menjalani latihan selama empat bulan di kapal KM Bangi.

Pegawai Memerintah KM Bangi ketika itu memberi cabaran untuk membentuk saya menjadi pegawai memerintah wanita pertama. Saya sahut cabaran itu.

“Biarpun begitu saya tak menyangka ia datang secepat ini. Ini tanggungjawab besar menjaga perairan, aset negara dan anak kapal," katanya kepada BH.

Aida dilantik sebagai Pegawai Memerintah KM Nyalau pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Maritim Malaysia ke-13 dan Perbarisan Tamat Latihan di AMSAS, pada 15 Februari lalu.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), pada 23 April 2012 sebagai pegawai pelatih dan pernah berkhidmat di Kota Kinabalu, Sabah.

Layanan sama rata

Aida berkata, KM Nyalau mempunyai 12 kru termasuk beliau dan seorang lagi anggota wanita yang bertugas sebagai pegawai navigasi manakala anak kapal selebihnya adalah lelaki.

Memegang kerjaya yang didominasi lelaki, pastinya mempunyai cabaran tersendiri, namun itu bukan masalah kepadanya kerana semua dilayan sama rata.


AIDA (kanan) ketika mengemudi kapal. - NSTP/Effendy Rashid

Katanya, sebagai ketua yang dikelilingi hampir semua anggota lelaki, beliau bersikap tegas, sentiasa positif, toleransi, sentiasa terbuka menerima teguran dan nasihat daripada pasukannya demi memastikan perjalanan lebih lancar.

“Saling memahami dan komunikasi dua hala perlu bagi mencapai misi serta visi yang dibawa. Waktu kerja memang perlu serius tetapi di luar kami adalah rakan dan keluarga.

“Biarpun saya sebagai wanita yang mengetuai kapal ini, Alhamdulillah semua berjalan lancar, kru juga memberi kerjasama dan memberi komitmen terbaik," katanya.

Pengalaman manis

Menceritakan pengalaman manis sepanjang perkhidmatannya, Aida berkata, menjadi seorang daripada 25 kru pertama membawa pulang KM Arau dari Jepun, tahun lalu adalah pengalaman berharga kerana beliau sahaja wanita di kapal berkenaan.

Ketika itu beliau bertugas sebagai Pegawai Navigasi dan pelayaran melalui Lautan Pasifik yang mengambil masa seminggu.

Beliau sudah lali dengan keadaan laut yang bergelora dan dalam apa juga keadaan, yang penting tugas digalas dilakukan dengan terbaik.

“Tugas memang mencabar dan menuntut kesabaran yang tinggi lebih-lebih lagi ketika itu bulan puasa. Lima hari pelayaran kami juga berdepan dengan cuaca buruk seperti angin kuat dan keadaan laut bergelora," katanya.

Wanita berani dan bersemangat

Aida berkata, kejayaan dan kepercayaan yang dicapai hari ini menjadi pemangkin semangat untuk pencapaian lebih tinggi pada masa depan.

“Saya juga menyimpan hasrat untuk kembali ke KM Arau sebagai Pegawai Memerintah, suatu hari nanti,” katanya.

Katanya, wanita dilihat semakin berani ke hadapan dan sudah banyak pencapaian membabitkan golongan ini tidak hanya dalam malah di luar negara.

“Paling penting jangan takut melakukan sesuatu yang mencabar diri kerana ia akan memberikan pengalaman lebih indah biarpun pahit pada permulaan dan perlu mempunyai sifat terbuka selagi ia tidak melampaui batas," katanya.

Kerjayanya menuntut lebih masa bagi memastikan perairan negara sentiasa terjamin dan biarpun masih bujang, beliau tetap mengutamakan keluarga dan mengakui pengorbanan besarnya berbaloi.


AIDA bersama anggota KM Nyalau di Lumut, baru-baru ini. - NSTP/Effendy Rashid

Profil:

Nama: Leftenan Maritim Aida Arzahari.

Umur : 35 tahun

Asal: Perlis.

Status: Bujang

Jawatan: Pegawai Memerintah Kapal KM Nyalau.

Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Hobi: Aktiviti lasak seperti mendaki

Pengalaman:

- Berkhidmat enam tahun sehingga kini bersama Maritim Malaysia

- Seorang daripada 25 kru pertama membawa pulang KM Arau dari Jepun.

- Jawatan terdahulu: Pegawai Tadbir dan Pegawai Persenjataan, Pegawai Navigasi KM Bangi dan KM Arau.

Pencapaian: Wanita pertama negara dilantik sebagai Pegawai Memerintah kapal

* Pelatih terbaik dalam bidang akademik.

1485 dibaca
Berita Harian X