Selasa, 9 Oktober 2018 | 9:20am
SHANIA Suinani (kanan) bersama rakannya, Amber bersama pingat dimenanginya. - Foto Izahari Ariffin
SHANIA Suinani bersama Amber ketika sa beraksi dalam perlawanan ragbi di SUKMA yang berlangsung di Perak, September lalu.- Foto Ihsan Facebook Team Sabah SUKMA XIX Perak 2018.

'Sumandak' Sabah hebat di gelanggang

KOTA KINABALU: ‘Sumandak (gadis) Sabah mana kau mahu cari, semua lawa-lawa pandai main ragbi’.

Itu antara lirik lagu dinyanyikan secara berpasukan oleh skuad ragbi wanita Sabah yang viral di media sosial ketika Sukan Malaysia (SUKMA), di Perak bulan lalu.

Pasukan ini bukan sahaja meraih pingat emas, malah menewaskan semua lawan dengan tidak memberi sebarang mata dan siapa sangka, aksi lasak diperagakan skuad ragbi wanita Sabah itu kebanyakannya diwakili ‘budak sekolah’.

Pemain ragbi, Shania Suinani Baduk, 17, berkata pembabitan dalam sukan itu tidak sia-sia apabila beliau terpilih hingga mewakili Sabah dan negara.

Beliau berkata, sukan itu dianggap lasak dan dikatakan hanya sesuai untuk lelaki, tetapi ia bukan penghalang untuk beliau menceburi bidang itu bagi mengharumkan nama negara.


BERAKSI dalam perlawanan ragbi di SUKMA yang berlangsung di Perak September lalu. - Foto Ihsan Facebook SUKMA Team Sabah

“Sukan lasak memang pilihan kerana sebelum ini saya juga bermain bola sepak, namun sejak Tingkatan Tiga, saya mula bermain ragbi dan jatuh cinta pada sukan ini.

“Memerlukan latihan yang mencabar, tetapi disebabkan minat, saya tetap berlatih. Sukan itu menjadikan saya dekat dengan rakan sepasukan lain kerana ia memerlukan semangat berpasukan tinggi, terutama ketika berdepan saingan lawan.” katanya.

Beliau berkata, sukan ini mengajarnya menjadi insan lebih berdisiplin, termasuk ketika melakukan latihan dan penjagaan makanan.

Di padang semangat berpasukan diutamakan dan menjadikan kami digeruni lawan,” kata anak pertama daripada tiga beradik.

Shania yang juga pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah St Michael di Penampang, mengakui ada segelintir pihak memandang serong remaja perempuan sepertinya yang aktif dalam ragbi serta ada beranggapan ia hanya sesuai untuk lelaki.

Tidak kisah dengan pandangan orang kerana beliau suka aktiviti lasak, malah keluarga dan rakan memahami serta menyokong.

“Kami sudah biasa ‘dihentam’ di padang dengan permainan yang kasar. Malah, saya tidak seperti ‘sumandak’ lain bergaya ala hipster, tetapi lebih senang berbaju sukan, berjemur di padang bermain ragbi.

“Inilah saya dan menganggap sukan ini membawa kami semua bersama walaupun datang daripada pelbagai latar belakang,” katanya yang mahu terus aktif bermain ragbi walaupun melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Rakannya, Amber Bernard Solibun, 17, berkata pembabitan dalam sukan ragbi, pada awalnya hanya mengikut rakan bermain secara suka-suka, namun tanpa disangka ia aktiviti menyeronokkan dan menimbulkan minat bergiat lebih serius.

“Pada mulanya, keluarga juga kurang memberi sokongan kerana tahu ragbi adalah sukan lasak yang biasa disertai lelaki, namun saya tetap teruskan usaha kerana minat sehingga mewakili negara.

“Sejak itu, keluarga mula memberi sokongan,” kata anak ketiga daripada lima beradik,” katanya.

Amber yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Limbanak, Penampang, berkata remaja perempuan yang menyertai sukan ragbi ini boleh pergi jauh, termasuk mewakili negara, asalkan ada minat dan bakat diasah sebaiknya.

Mengenai lagu dinyanyikan ketika SUKMA, mereka mengakui tidak tahu berhubung video itu, namun sebagai anak jati Sabah, mereka berbangga kerana mengharumkan nama negeri.

“Lagu itu sebenarnya kami nyanyikan untuk menaikkan semangat selain mahu menunjukkan kami (skuad ragbi wanita Sabah) bersedia menghadapi cabaran pasukan lain,” katanya.

Info

‘Sumandak’ Sabah

* Shania dan Amber adalah antara pemain kebangsaan

* Pernah mewakili negara ke beberapa kejohanan ragbi terermasuk di Dubai, Hong Kong dan Singapura.

674 dibaca
Berita Harian X