Khamis, 4 Oktober 2018 | 11:16am
ANTARA kemudahan disediakan di Better Brighter Anjung Kasih di Hospital Serdang. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Selesa jaga orang sakit

SERDANG: Kemudahan penginapan sementara disediakan pihak pengurusan Hospital Serdang memberi peluang waris pesakit menikmati kemudahan tempat tinggal selesa.

Inisiatif dilaksanakan itu menerusi program Better Brighter Anjung Kasih Yayasan Kebajikan Negara (YKN).

Tinjauan BH ke rumah penginapan di situ, semalam mendapati rata-rata mereka berpeluang menikmati kemudahan berpuas hati dengan keselesaannya.

Suri rumah dari Ipoh, Perak, Fuziah Abdul Ghani, 53, berkata kemudahan bukan saja menjimatkan, malah membantu melancarkan urusan waris sekiranya mereka diarah berada di hospital dengan segera, jika berlaku kecemasan.


FUZIAH antara waris pesakit yang menginap di

“Hampir seminggu menjaga suami Abdul Rahman Ayob, 62, yang kini menjalani rawatan masalah injap jantung, saya terpaksa tidur atas kerusi malas dan keadaannya tidak selesa.

“Jika menetap di rumah anak sekali pun, ada kalanya saya terpaksa bergegas ke hospital pada tengah malam selepas menerima panggilan kecemasan.

“Sebaik dimaklumkan mengenai kemudahan penginapan di sini, saya bersyukur kerana berpeluang berehat dengan lebih selesa. Tidak perlu berulang alik dari lokasi penginapan ke hospital atau menyewa hotel,” katanya ketika ditemui di Hospital Serdang, kelmarin.

Beliau berkata, menjaga orang sakit banyak dugaannya, penat, tekanan dan kurang tidur hingga mengganggu emosi.

Namun beliau bersyukur dengan kemudahan ini, waris mendapat rehat secukupnya selepas penat seharian menjaga ahli keluarga yang menjalani rawatan.

“Kemudahan serba lengkap memudahkan saya mencuci dan mengeringkan pakaian menggunakan mesin disediakan,” katanya

Ibu enam anak dari Kuala Terengganu, Rasyidah Ramly, 40, berkata kemudahan ini memberi keselesaan sepanjang menjaga anak yang menjalani prosedur pembedahan dan rawatan susulan.


RASYIDAH dari Terengganu menginap Better Brighter Anjung Kasih, di Hospital Serdang.- Foto Nurul Shafina Jemenon

Beliau berkata, kemudahan menjimatkan terutama bagi keluarga kurang berkemampuan yang tidak mampu menyewa hotel sepanjang berada di sini.

Info

Better Brighter Anjung Kasih YKN

* Kemudahan 120 katil

* Ditempatkan di kedua-dua tingkat bangunan.

* Bilik berasingan untuk lelaki dan wanita selain unit keluarga dilengkapi pendingin hawa

Kriteria waris pesakit yang dibenarkan menginap

- Jarak hospital dengan lokasi kediaman melebihi 50 km

Warga negara Malaysia

- Tiada kenderaan

- Tidak mampu sewa

- Hotel dan tiada keluarga

- Berhampiran hospital
- Pendapatan kurang RM2,000

Kemudahan disediakan:

- Surau lelaki dan wanita

- Ruang rehat

Dapur lengkap dengan peti ais, ketuhar mikro, air berpenapis dan pinggan mangkuk

182 dibaca
Berita Harian X