Sabtu, 8 September 2018 | 11:08am

Ternak ikan empurau, termahal di Malaysia

KUCHING: Bermula sekadar minat memelihara ikan membuka ruang wanita Bidayuh, Puri Johan, 54, mengusahakan penternakan spesies ikan sungai termahal di negara ini, iaitu empurau secara meluas sehingga menembusi pasaran global.

Segala-galanya berubah pada 2017, apabila Puri, sebelum ini suri rumah sepenuh masa, kemudian mengkomersialkan ternakan empurau yang mendapat jolokan ‘emas Borneo’ dengan harga RM750 sekilogram (kg) selepas diusulkan oleh saudaranya.

Puri berasal dari Kampung Taee, Serian, hanya bermula menternak ikan tilapia di kolam tanah yang dibina berhampiran rumahnya untuk dijadikan sebagai pendapatan sampingan keluarga.

Meskipun, tidak mempunyai kepakaran dan pengetahuan mendalam tentang penternakan ikan empurau, namun beliau tetap ingin mencuba menternak ikan asli dari Sarawak itu.

Mana tidaknya, pada waktu itu ikan empurau begitu popular diperkatakan kerana harga yang sangat tinggi nilainya dan berpotensi menjadi sumber pendapatan lumayan kepada sesiapa sahaja yang menceburi bidang itu.

Dengan restu suaminya, Chua Eng Chai, 64, yang bersara daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Puri sanggup mengorbankan kolam renang kesayangan yang dibina untuk anak mandi-manda di rumah, dijadikan sebagai kolam penternakan ikan empurau.

Dari situ bermulanya perjalanan perniagaan ikan empurau jenama Puri Johan Agro, yang kini sudah memasuki pasaran sehingga ke Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu (Sabah).

Puri berkata, ketika ini terdapat kira-kira 5,000 ekor ikan empurau pelbagai saiz kini diternak di lima kolam induk di ladangnya yang berkeluasan 0.8 hektar di Kampung Taee.

“Saya tidak menyangka percubaan menternak ikan empurau ini menjadi perniagaan yang besar,” katanya sambil menjelaskan, kejayaan ladangnya juga atas sokongan dan bantuan daripada Jabatan Pertanian Tarat.

Semasa kunjungan ke ladang Puri Johan Agro, sistem dan proses penternakan yang dijalankan kelihatan sangat baik untuk memastikan kualiti ikan terjamin.

Selain kolam yang menempatkan induk ikan, terdapat juga tiga kolam pembersihan, iaitu ikan hidup yang ditempah akan dikuarantin terlebih dahulu untuk memastikan ia benar-benar bersih sebelum dijual kepada pembeli.

Eng Chai berkata, ikan yang sudah mencecah berat untuk dijual iaitu dari 1.5 kilogram (kg) seekor ke atas juga diberikan makanan istimewa iaitu buah engkabang untuk memberikan rasa asli isinya, sama seperti ikan yang ditangkap di sungai.

Katanya, harga yang ditawarkan kepada pembeli adalah RM750 sekilogram bagi seekor ikan seberat antara 1.5 sehingga 2 kg manakala daripada berat 2 kg ke atas, nilainya akan bertambah RM100 bagi setiap 500 gram (g).

“Buat masa ini, pembeli kami daripada hotel bertaraf lima bintang di Kuala Lumpur seperti Shangri-La dan Hilton termasuk di Kota Kinabalu dan Pulau Pinang.

“Kami juga cuba memasarkan ke luar negara seperti Australia, selain sekarang sudah dihantar sampel ke Macau,” katanya sambil menjelaskan untuk seekor ikan empurau membesar dari 0.07 meter kepada seberat 1.5 kilogram memerlukan tempoh antara tiga hingga empat tahun.

Eng Chai menambah ladang penternakan itu mempunyai rumah pemprosesan ikan untuk sejuk beku, iaitu ikan akan dibunuh menggunakan kaedah ‘Ikejime’ yang diguna pakai oleh Jepun untuk membunuh ikan secara berperikemanusiaan.

Selepas dibunuh, katanya ikan itu akan dibersihkan dan dibungkus menggunakan pembungkusan vakum untuk mengekalkan kualiti rasa dan kesegaran isinya.

Manakala untuk benih ikan pula, kepakaran diletakkan kepada anak mereka, Chua Hua Beng, 31, yang mempelajarinya daripada Jabatan Pertanian Tarat.

Hua Beng berkata, selain untuk ternakan sendiri, anak ikan empurau yang dihasilkannya juga dijual kepada orang ramai dan usahawan kecil yang terbabit dalam penternakan ikan empurau, dengan harga RM24 seekor bersaiz 0.07 meter.

“Kami membantu ramai orang yang menternak ikan empurau dengan membekalkan benih yang sukar diperoleh, selain turut membeli ikan yang sudah besar dari mereka untuk dipasarkan,” katanya.

Justeru, bagi perancangan masa depan, Puri berhasrat menjadikan ladangnya sebagai sebuah pusat eko-pelancongan.

“Mungkin saya akan membuat pakej di mana selain melawat dalam ladang, orang ramai juga boleh merasai sendiri ikan empurau yang dimasak sambil bercerita tentang empurau dan cara-cara menternaknya,” katanya.

2022 dibaca
PURI Johan bersama suaminya, Chua Eng Chai menunjukkan spesies ikan empurau di pusat ternakannya di Kampung Taee. - Foto Malek Joseph
IKAN empurau yang diternak Puri Johan di pusat ternakannya di Kampung Taee. - Foto Malek Joseph
PUSAT ternakan ikan empurau di Kampung Taee. - Foto Malek Joseph
Berita Harian X