Khamis, 6 September 2018 | 7:26pm

Hasil jualan disumbangkan ke TAFF

KUALA LUMPUR: Semua hasil jualan buku masakan ‘Air Tangan Tengku Puan Pahang’ akan disumbangkan ke Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) bagi membantu pasangan tanpa cahaya mata untuk mendapatkan zuriat.

Pelbagai resipi masakan dan pencuci mulut tempatan yang khusus bagi negeri Pahang diabadikan dalam dua buku eksklusif yang ditulis sendiri oleh Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Tengku Puan Pahang bertitah, perbelanjaan menghasilkan buku itu daripada wang pusaka ayahanda dan berharap pahala itu dapat mengalir kepada Almarhum.

“Saya tidak mengambil sedikitpun daripada hasil jualan buku itu, 100 peratus disumbangkan kepada TAFF untuk manfaat kepada pasangan yang mengimpikan cahaya mata.

“Sejak TAFF ditubuhkan pada 2005, seramai 115 bayi dilahirkan melalui rawatan IVF (Persenyawaan In Vitro) tetapi sejak tiga empat tahun lalu, TAFF terpaksa menghentikan tajaan kepada pasangan yang mahu mendapatkan rawatan IVF kerana ketiadaan dana,” katanya.

Tunku Azizah Aminah Maimunah ditemui pada majlis mempromosikan buku masakan itu di sebuah hotel di sini, hari ini.

Titah Baginda, kos setiap rawatan IVF antara RM20,000 hingga RM30,000 dan yayasan memberi peluang kepada setiap pasangan mencuba rawatan itu sebanyak dua kali.

Tengku Puan Pahang Bertitah, buku masakan itu diterbitkan sebanyak 20,000 yang berharga RM380 sebuah dan 1,000 buku sudah dijual pada hari pelancaran pada Ogos lalu.

Baginda menjelajah selama sembilan bulan di seluruh negeri Pahang untuk mencari dan memilih resipi.

“Saya harap lebih ramai membeli buku masakan ini kerana hasil jualan disumbangkan terus kepada TAFF untuk manfaat kepada pasangan yang mengimpikan cahaya mata.

“Buku masakan itu tidak dijual di kedai buku. Orang ramai yang ingin memilikinya, boleh membeli secara dalam talian menerusi www.cheminahsayang.com.

“Tempahan buku yang melebihi 100 buah, pihak penerbitan akan menghantarnya sendiri kepada pembeli,” titah baginda.

Tengku Puan Pahang bertitah, hasil jualan 20,000 buku dianggarkan sebanyak RM7 juta dan kira-kira 350 pasangan boleh ditaja untuk mendapatkan rawatan.

264 dibaca
Berita Harian X