Rabu, 29 Ogos 2018 | 10:35am

Sudah lali 'bermain' dengan jarum dan benang

TUARAN: ‘Bermain’ dengan jarum, benang, menyusun manik, menyulam corak dan memasang aksesori pakaian etnik di Sabah setiap kali musim perayaan, pesta Kaamatan atau majlis perkahwinan sudah lali bagi Lesa Soiman.

Suatu ketika dulu, Lesa, 39, melakukan kerja sampingan membantu saudaranya menambah sumber pendapatan, kini beliau menjadi satu-satunya tukang jahit busana untuk patung mini di Galeri Chanteek Borneo.

Semuanya bermula di situ. Ternyata hari demi hari, keinginan untuk belajar menjahit semakin tinggi, selain mahu membantu meringankan beban suaminya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan menanggung tiga anaknya yang bersekolah.


LESA Soiman, 'bermain' dengan jarum dan benang, selain menyusun manik, menyulam corak dan memasang aksesori pakaian setiap kali musim perayaan Pesta Kaamatan atau pun hari perkahwinan turut juga dipamerkan di Galeri Chanteek Borneo, di Tuaran. - Foto Recqueal Raimi

Lesa berkata, bidang jahitan kini menjadi sebahagian daripada hidupnya, malah kepakarannya yang sangat teliti dalam bidang jahitan menjadikannya 'orang penting' di Galeri Chanteek Borneo iaitu pusat pameran terkenal yang menyediakan beratus-ratus patung berpakaian tradisi mengikut etnik di Sabah.

Beliau mula bekerja sepenuh masa di galeri itu sejak 2015 sebagai petugas perkhidmatan kaunter dan tidak menyangka diberi peluang menunjukkan bakat sehingga bertukar kerjaya sebagai tukang jahit di pusat pameran berkenaan.

"Sebelum ini, saya sedih kerana terpaksa meninggalkan hobi yang juga kerjaya menghias pakaian tradisi, lebih-lebih lagi ketika itu saya sudah mula belajar menjahit disebabkan minat.

"Selang beberapa bulan bekerja di sini, pusat pameran ini memerlukan seseorang yang tahu menjahit pakaian patung mini dan tahu menghias corak serta pemasangan aksesori," katanya ketika ditemui di Galeri Chanteek Borneo, Telibong di Tamparuli, baru-baru ini.

Menurut Lesa, beliau segera mengambil peluang itu dan menunjukkan kebolehannya sebelum dipilih dan menjadi satu-satunya tukang jahit sehingga kini.

"Pada awalnya, ia bukan mudah kerana kerja ini memerlukan penelitian dan tumpuan sepenuhnya di mana tukang jahit perlu mencari identiti pakaian etnik terlebih dahulu sebelum 'meniru' untuk menghasilkan pakaian kepada saiz patung mini.


ANTARA hasil karya, Lesa Soiman. - Foto Recqueal Raimi

"Saya perlu berhati-hati menyulam corak dan memasang kedudukan aksesori seperti manik untuk dijadikan hiasan rantai, gelang dan sebagainya agar pengunjung luar mampu mempelajari pakaian etnik dengan lebih berkesan," katanya.

Lesa berkata, satu patung mini memakai pakaian sub-etnik Dusun Liwan mengambil masa tiga hingga empat jam untuk disiapkan, manakala bagi sub-etnik Dusun Lotud mengambil masa dua hingga tiga hari kerana sulaman corak dan aksesori yang lebih banyak.

"Sedikit sebanyak, kerjaya ini membolehkan saya membantu suami untuk menampung keperluan keluarga. Malah, saya dapat meningkatkan teknik menjahit di samping menjadikan ia sebagai hobi yang menyeronokkan.

"Saya berpendapat menjahit sebenarnya tidak susah, asalkan mempunyai minat dan keinginan untuk belajar. Pada masa ini juga, banyak pusat pengajian atau kursus yang menyediakan latihan menjahit.

"Selain boleh dijadikan sumber pendapatan, individu itu juga berpeluang menyerlahkan bakat seperti pertandingan inovasi atau jahitan kreatif," katanya.

Bidang jahitan mempunyai potensi yang besar untuk wanita menunjukkan kreativiti dan menjadi sumber pendapatan sampingan kepada golongan itu jika minat menceburi bidang itu dieksploitasi secara menyeluruh.


LESA Soiman menyusun manik, menyulam corak dan memasang aksesori pakaian setiap kali musim perayaan Pesta Kaamatan atau pun hari perkahwinan. - Foto Recqueal Raimi

Tambahan pula, katanya pelbagai pihak dilihat begitu prihatin untuk memperkenal, mempromosi dan mengekalkan seni warisan budaya untuk tatapan generasi kini dan masa depan.

“Pihak galeri umpamanya menyediakan kelas jahitan patung mini sebagai platform memperkenalkan produk berkenaan atas permintaan orang ramai. Situasi ini seharusnya memberi semangat kepada wanita pelbagai etnik di negeri ini mempamerkan kreativiti mereka,” katanya.

Galeri Chanteek Borneo menempatkan lebih 250 patung mini memakai pakaian tradisional pelbagai etnik dan subetnik di Sabah.

Terletak di Jalan Tamparuli-Tuaran berhampiran Rumah Terbalik Tamparuli atau kira-kira 40 kilometer dari Kota Kinabalu, galeri ini menjadi tarikan pengunjung dalam dan luar negara untuk melihat dan menghayati keunikan seni budaya apabila berkunjung ke Negeri di Bawah Bayu.

235 dibaca
ANTARA hasil karya, Lesa Soiman dipamerkan di Galeri Chanteek Borneo, di Tuaran.- Foto Recqueal Raimi
ANTARA hasil karya, Lesa Soiman. - Foto Recqueal Raimi
Berita Harian X