Rabu, 16 Mei 2018 | 8:47am
Usrah antara program mengumpulkan ahli Usahanita bagi merapatkan hubungan silaturahim. - Foto Nik Hariff Hassan

Lahirkan 35,000 peniaga berdaya saing

KUALA LUMPUR: Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera Malaysia (Usahanita) merancang melahirkan lebih 35,000 ahli di bawah naungannya sebagai peniaga cemerlang dan berdaya saing di peringkat nasional serta global.

Bagi mencapai objektif berkenaan golongan terbabit perlu mengetahui ilmu dan selok-belok perniagaan secara komprehensif.

Naib Presidennya, A Suraya Ahmad Salleh, berkata sejak 34 tahun lalu, persatuan itu sentiasa membuka peluang, mendidik dan memimpin ahlinya untuk berada dalam kelompok usahawan yang matang dan arif dalam selok-belok perniagaan.

Katanya, matlamat persatuan itu adalah mahu melahirkan lebih ramai peniaga dalam kalangan golongan hawa untuk mewarnai landskap perniagaan pada pelbagai peringkat.

Antara program yang sudah dijalankan dan sedang dipergiatkan adalah kursus jangka pendek bagi memperkasakan wanita dalam industri perniagaan.

"Dalam persatuan ini, kita mempunyai beberapa biro seperti keusahawan yang berfungsi melatih usahawan dalam aspek perakaunan, pemasaran dan promosi secara proaktif dan sistematik.

"Cabang ilmu ini penting didedahkan kepada usahawan kerana membantu membimbing usahawan mengorak langkah di persada antarabangsa, selain berupaya meluaskan jaringan perniagaan sedia ada," katanya ketika dihubungi BH Online.

Beliau berkata, bagi meningkatkan jumlah usahawan wanita berjaya dan berdaya saing, persatuan itu bekerjasama dengan agensi kerajaan berkaitan perniagaan seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI )sebagai tenaga pengajar.

Katanya, sehingga ini 35,000 ahli Usahanita berusia antara 21 tahun hingga 70 tahun aktif dalam pelbagai bidang perniagaan termasuk pengangkutan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan kontraktor.

A Suraya berkata, perniagaan adalah pekerjaan yang paling diminati wanita memandangkan golongan itu dapat menjalankan aktiviti perniagaan dan mengimbangi keperluan keluarga.

"Perniagaan paling popular dalam kalangan wanita di negara ini adalah spa kecantikan dan produk pembuatan makanan seperti kerepek dan sambal hitam.

"Semua perniagaan ini berpotensi dimajukan dan kami sudah melahirkan ramai usahawan berjaya. Salah seorang ahli kami, iaitu dari Terengganu yang mengusahakan pembuatan biskut sehingga produknya berjaya dipasarkan di China dan Dubai.

"Malah, bagi kekal relevan dalam pasaran, kami juga mempunyai pusat sehenti di Terengganu dan Melaka yang diusahakan kalangan ahli Usahanita " katanya.

Dalam perkembangan lain, Usahanita Daerah Gombak menyumbang lebih 30 barang keperluan asas kepada 111 keluarga miskin bandar termasuk asnaf dan ibu tunggal sekitar Selangor, sempena program Prihatin Kasih Ramadan, baru-baru ini.

Setiausaha Agung Usahanita Malaysia merangkap pengerusi cawangan Selangor, Ste Roziah Mohd Darlis, berkata sumbangan secara berperingkat menerusi Biro Sosial dan Kemasyarakatan itu dianggarkan bernilai lebih RM25,000 yang disumbang oleh pelbagai agensi termasuk Majlis Perundingan Melayu (MPM).

Berpegang teguh dengan slogannya 'Sama Rata, Sama Rasa', beliau berkata, program amal dan kebajikan ini bertujuan membantu meringankan beban golongan sasar sepanjang Ramadan ini.

Antara barang keperluan asas itu termasuk beras, minyak masak, telur, susu, gula, bahan mentah kering, kurma dan susu kambing untuk kegunaan sajian sepanjang berpuasa.

"Bukan saja penduduk asnaf dan golongan ibu tunggal malah bantuan turut diberikan kepada keluarga yang mempunyai anak Orang Kurang Upaya (OKU) serta turut tidak mengetepikan mereka dalam kategori miskin bandar," katanya

Beliau berkata, pihaknya dari semasa ke semasa mengenal pasti golongan miskin bandar khususnya dalam kalangan ibu tunggal bagi memastikan kehidupan mereka tidak terus dihimpit kemiskinan.

"Dengan peningkatan kos hidup di bandar dan perbelanjaan lain seperti barang dapur dan lain-lain sewajarnya golongan ini diberi perhatian," katanya.

394 dibaca
Berita Harian X