Selasa, 15 Mei 2018 | 10:24am
MAS Ayu Sapahat melawat wad ibu bersalin di hospital. - Foto Ernalisa Othman
MAS Ayu menyampaikan sumbangan kepada Rumah Anak Yatim Shander di Sentosa. - Foto Ernalisa Othman
MAS Ayu menyampaikan sumbangan kepada Rumah Anak Yatim Shander di Sentosa. - Foto Ernalisa Othman
MAS Ayu bersama salah sebuah keluarga mangsa kebakaran memberi bantuan pakaian kelengkapan sekolah kepada pelajar terlibat. - Foto Ernalisa Othman

'Wanita besi' banyak buat kerja amal

JOHOR BAHRU: Berkesempatan bertemu figura ini, bukan calang-calang orangnya. Berperwatakan menarik, namun di sebalik kelembutan beliau layak digelar 'wanita besi' kerana melakukan banyak kerja amal membantu wanita dan remaja bermasalah.

Pengalaman dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sejak bertahun lalu digunakan sepenuhnya apabila Mas Ayu Sapahat, 48, mengambil keputusan bergerak secara solo menyemai bakti membantu golongan memerlukan.

Beliau lebih mesra dipanggil Mas adalah insan yang berani dan bijak dalam menghadapi pelbagai cabaran serta situasi untuk menangani pelbagai isu sosial.

Kerjayanya sebagai pengusaha bengkel pusat servis kereta tidak menghalangnya bergerak aktif dalam kegiatan kemasyarakatan, malah beliau kekal menerajui beberapa NGO dan pada masa sama bergerak solo membantu golongan sasaran.

Kekangan masa bukan penghalang beliau untuk terus mencurah bakti kepada remaja bermasalah di sekitar Johor Bahru.

Mas berkata, pembabitan beliau dalam kerja kemasyarakatan mendapat sokongan rakan terdekat, termasuk keluarga.

Ini antara yang menjadikan saya lebih kuat dan bersemangat untuk bergerak dan terus membantu anak dan keluarga.

"Contohnya, anak saya sering berkongsi masalah serius rakan mereka di sekolah seperti diaibkan dengan gambar yang tidak senonoh oleh kekasihnya, meskipun baru mencecah usia 15 tahun.

"Saya lihat dari sudut lain, secara terus anak saya faham tugas saya dan sedia berkongsi dengan tujuan rakannya itu tadi dapat kita bantu.

"Saya bersyukur mereka memahami dan memberi sokongan melakukan kerja ini," katanya ketika ditemui di Bandar Baru Permas Jaya mengenai pembabitannya dalam NGO, baru-baru ini.

Mas berkata, sepanjang pembabitannya dalam aktiviti kemasyarakatan, sekurang-kurangnya, sebanyak 10 kes membabitkan masalah remaja berjaya diselesaikan, selain tidak kurang dua kes diterima setiap minggu membabitkan remaja sekolah.

"Kebiasaannya mereka atau ibu bapa akan telefon saya untuk minta tolong. Kadang kala yang datang adalah anak yang lari dari rumah, anak melahirkan anak luar nikah, keciciran pelajaran dan remaja kena buang sekolah dan macam-macam lagi.

"Saya akan teliti masalah sebenar sebelum memujuk mereka. Saya tidak akan bertangguh. Jika saya rasa perlu hubungi pihak terbabit malam itu juga, saya akan terus berbuat demikian tanpa mengira lewat malam.

"Kebanyakannya, Alhamdulillah banyak isu dapat diselesaikan dengan bantuan pelbagai pihak. Paling lama, saya mengambil masa dua minggu untuk menyelesaikan sesuatu masalah yang dirujuk dan ada yang berjaya diselesaikan dalam tempoh dua hari sahaja, ia bergantung kepada situasi masalah yang saya terima," katanya.

Kesibukan mengurus perniagaan tidak menghalangnya menyelesaikan masalah sosial dalam kalangan remaja sekolah yang kebanyakan berpunca daripada keruntuhan institusi keluarga.

"Ibu bapa sibuk dengan kerjaya dan kekangan waktu bersama anak menjadi punca utama masalah ini berlaku.

"Saya tidak menafikan keadaan ekonomi sekarang menjadikan kedua-dua orang tua bekerja mencari nafkah, tetapi segelintir ibu bapa terlupa untuk mengambil tahu diri dan keadaan anak mereka.

"Yang mereka tahu duit belanja dapur dan anak ke sekolah mencukupi sehingga remaja ini berasa kosong kerana tiada tempat hendak mengadu. Di sini mereka mula bercampur dengan rakan kurang elok.

"Bagi saya sibuk mana pun, kita kena jadikan anak sebagai kawan. Zaman dahulu pendekatan lain, sekarang cukup berbeza. Kalau kita berbual sebagai seorang ibu, maka anak kurang selesa berkongsi.

"Jika kita berbual dan mendekati golongan ini seperti kawan, mereka bersedia berkongsi masalah tanpa malu serta takut," katanya.

Mas berkata, walaupun ada masa beliau terpaksa balik ke rumah lewat pagi, kepuasan membantu golongan tertentu dapat dirasai.

"Kerja amal ini tak dapat duit. Bukan semua orang mampu lakukannya, terutama mereka yang berkeluarga macam saya, tetapi apabila satu kes mampu diselesaikan, rasa puas apabila mereka mengucapkan terima kasih atas bantuan itu," katanya.

Ibu kepada lima cahaya mata ini turut menyimpan impian untuk menubuhkan pusat krisis yang menjadi tempat remaja meluahkan atau merujuk masalah yang dialami mereka.

Penubuhan pusat itu akan menempatkan beberapa pegawai termasuk pakar perunding dan kaunseling yang berkaitan.

"Saya harap suatu hari saya dapat melaksanakan penubuhan supaya sekurang-kurangnya remaja ada hala tuju dan tidak memendam sendiri jika ada masalah.

"Di sini peranan kita sebagai NGO bukan sahaja menyelesaikan, tetapi mendekati golongan ini," katanya yang juga menyandang beberapa jawatan lain, iaitu Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) kawasan Permas Jaya, Penyelia Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) dan Timbalan Pengerusi Bonda Normala Club.

1537 dibaca
Berita Harian X