;
Selasa, 1 Mei 2018 | 2:26pm
PRESIDEN merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana, Masnizam Hisham. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Terajui hierarki kerjaya, tembusi tembok lelaki

KUALA LUMPUR: Dasar dan agenda nasional yang menekankan soal pemerkasaan wanita memberi impak positif terhadap golongan itu apabila kini semakin ramai mereka 'berdiri sama tinggi, duduk sama rendah' dengan lelaki.

Jika dahulu peranan memimpin selalunya dikaitkan dengan lelaki, namun ramai wanita di negara ini membuktikan mereka mampu menggalas tanggungjawab dalam pelbagai bidang dan sektor pekerjaan, termasuk menerajui syarikat terkemuka.

Antaranya adalah Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana), Masnizam Hisham yang dilantik jawatan itu pada Januari lalu selepas 12 tahun berkhidmat dengan syarikat terbabit.

Walaupun mengakui tidak pernah bermimpi dilantik menerajui syarikat utama penyedia perkhidmatan pengangkutan awam milik kerajaan itu, Masnizam, 46, melahirkan rasa syukur kerana negara ini memberi ruang dan peluang luas bagi wanita sepertinya untuk mendaki hierarki kerjaya.

"Kalau dahulu kita melihat wanita tidak berpeluang melengkapkan diri dengan ilmu. Mereka dianggap tidak berkemampuan mempunyai kerjaya atau memegang jawatan penting," katanya.

Ibu lima anak itu, berkata pandangan stereotaip sesetengah masyarakat yang menganggap wanita tidak mampu memimpin atau membuat keputusan penting perlu diubah kerana mereka mampu memainkan peranan itu sekiranya diberi peluang dan kemudahan sewajarnya.

Sebelum dilantik ke jawatan baharu itu pada Januari lalu, Masnizam adalah CEO Prasarana Integrated Management & Engineering Services Sdn Bhd (PRIME), anak syarikat milik penuh Prasarana yang mengendalikan pengoperasian tren haji Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro-Southern Line (MMMSL) di Arab Saudi.

Prasarana mempunyai 10,000 kakitangan mengendalikan pengoperasian Transit Aliran Ringan (LRT), Monorail, Transit Aliran Massa (MRT), Bas Rapid, Feri Pulau Pinang serta Rapid Transit System (RTS) yang membabitkan kerajaan Malaysia dan Singapura.

Bagi Pensyarah Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Roselina Ahmad Saufi, berkata dasar kerajaan yang mahu meningkatkan penyertaan wanita sebagai pembuat keputusan.

Mereka dilantik sebagai ahli lembaga pengarah dan memegang jawatan penting begitu spesifik dan begitu khusus yang mana tidak ada negara lain hanya Malaysia benar-benar memberi penekanan seperti itu.

Bagaimanapun beliau berkata, pelaksanaan dasar berkaitan perlu dipantau dan satu garis panduan yang jelas harus diwujudkan bagi memastikan organisasi semua sektor memainkan peranan mereka.

Dasar murni dicetuskan itu juga dilaksanakan menjurus kepada kekuatan wanita dalam segmen tertentu yang dimonopoli golongan itu seperti keusahawanan dalam industri kecil dan sederhana.

Beliau menegaskan walaupun negara ini mempunyai dasar cukup baik untuk wanita, objektifnya mungkin sukar dicapai jika golongan itu sendiri tidak memanfaatkannya dan tidak mengambil sikap positif untuk mengubah serta melengkapkan diri dengan pelbagai pengetahuan dan kemahiran.

​​​​​​​"Sebagai wanita, saya rasa kita ada kerajaan yang bersungguh-sungguh beri perhatian kepada wanita, kumpulan ibu tunggal misalnya melalui pelbagai inisiatif, skim keusahawanan untuk maju dalam kehidupan. Namun, mereka tidak mungkin berjaya jika tidak diberi bimbingan," katanya.

Dalam Manifesto BN bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini, 74 daripada 364 inisiatif dalam dokumen itu berkaitan dengan wanita, termasuk 25 pengisian khusus untuk golongan itu.

Dalam aku janji itu, BN antara lain komited menubuhkan pusat transformasi usahawan wanita (model PASARNITA) yang akan melebarkan jaringan perniagaan, menjamin sekurang-kurangnya 30 peratus keanggotaan Dewan Negara disandang wanita dan memperluas pembabitan dan peluang wanita sebagai pembuat keputusan.

BN juga berjanji menubuhkan Majlis Ekonomi Wanita yang akan dipengerusikan Perdana Menteri, khusus untuk agenda ekonomi wanita di negara ini. - BERNAMA

390 dibaca
Berita Harian X