Isnin, 16 April 2018 | 11:11am
FOTO hiasan.

Inisiatif untuk ibu tunggal

KUALA LUMPUR: Tiada pengetahuan merangka strategi pemasaran, kurang bantuan dan kemahiran mengendalikan perniagaan antara faktor sebilangan usahawan wanita khususnya ibu tunggal masih berada pada takuk sama.

Presiden Persatuan Wanita dan Ibu Tunggal Nur Iman Kuala Lumpur dan Selangor (Witus), Sheila Tukiman, berkata keadaan itu juga menyebabkan ibu tunggal gagal menjana pendapatan lumayan dan ada juga yang terus rugi dalam perniagaan.

Katanya, wanita yang cetek teknologi maklumat (IT) dan tidak agresif bertindak atau masih menggunakan cara tradisional pasti gagal membina jaringan bagi melonjakkan perniagaannya.

Walaupun ada banyak inisiatif disediakan pihak kerajaan dan swasta, namun ada kekangan tertentu yang membuatkan mereka mudah putus asa dalam perniagaan.

"Oleh itu, manifesto yang digariskan untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) banyak memberi manfaat golongan wanita, terutama ibu tunggal mencapai impian mereka.

"Syarat pinjaman mikrokredit, kemudahan simpanan dan pinjaman kewangan lebih mudah serta mewujudkan Koperasi Wanita, umpamanya disifatkan inisiatif terbaik untuk golongan itu.

"Cadangan mahu menyemarakkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) wanita dan ibu tunggal dengan mewujudkan jaringan kerjasama mantap dilihat dapat membantu menggalakkan mereka meningkatkan kemahiran dalam bidang tertentu," katanya kepada BH.

Beliau bersyukur kerana kerajaan juga tidak mengetepikan keperluan golongan ibu tunggal dengan menyediakan pelbagai latihan dan pendidikan bagi membantu meningkatkan tahap kehidupan mereka.

Apa yang lebih penting ibu tunggal perlu bijak mengambil peluang bagi membantu mereka mengembangkan perniagaan masing-masing.

Pada masa sama, setiap ibu tunggal juga digalakkan menjalani kehidupan lebih baik dengan cara hidup berdikari dan mempunyai pendapatan sendiri.

"Kehidupan dan masa depan golongan itu disebabkan ketiadaan suami ini akan lebih terjamin serta terbela dengan pelbagai inisiatif yang sediakan.

"Usaha itu juga secara tidak langsung memartabatkan wanita supaya menjadi golongan berdikari dan mempunyai pendapatan sendiri," katanya.

Shiela yang mengetuai kira-kira 600 ahli Witus, bagaimanapun mengharapkan supaya semua bantuan yang bakal disalurkan itu dilakukan dengan adil kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang benar-benar berhak serta aktif membantu golongan terbabit tanpa sebarang kompromi.

"Apa sahaja inisiatif sepatutnya sampai kepada golongan sasaran supaya semuanya mendapat manfaat," katanya.

592 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »