Jumaat, 13 April 2018 | 7:56am
- Gambar hiasan

Kerenah birokrasi punca pinjam along

KUALA LUMPUR: Ramai usahawan wanita terpaksa meminjam daripada along untuk memulakan perniagaan disebabkan kerenah birokrasi institusi kewangan dalam menyalurkan pinjaman.

Syarat terlalu ketat dengan undang-undang Bank Negara Malaysia antara faktor permohonan pinjaman untuk memulakan perniagaan perlu menunggu massa lama untuk diluluskan.

Malah, wanita terpaksa mengharungi kesukaran kerana terpaksa membuat pelbagai kertas kerja sedangkan perniagaan yang dijalankan tidak sebesar mana.

Yang Di Pertua Persatuan Usahawan Wanita Bumiputra Malaysia (USAHANITA), Datuk Faridah A Jabbar, berkata sudah sampai masanya masalah ini diselesaikan bagi melonjakkan ekonomi usahawan wanita.

"Bank selalunya memberikan alasan enggan menanggung risiko kerana projek terlalu kecil dan pulangan sedikit.

Proses dipermudah

"Alternatif lain adalah meminjam dengan agensi kewangan lain seperti along kerana tidak mahu melepaskan peluang yang ada di depan mata," katanya yang dihubungi, semalam.


Presiden Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera (USAHANITA), Datuk Faridah A Jabbar. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Beliau berkata, sekiranya proses pemerolehan pinjaman dipermudahkan ia memberi peluang lebih luas kepada wanita khususnya ibu tunggal menjalankan perniagaan.

Katanya, usaha itu diharap menggalakkan wanita dalam bidang keusahawan dan mengurangkan risiko meminjam agensi kewangan lain yang mengenakan faedah terlalu tinggi.

"Bagaimanapun, wanita yang baru berjinak-jinak dengan dunia perniagaan bukan saja memerlukan bantuan kewangan tetapi panduan untuk merebut peluang sebagai usahawan berjaya.

"Kerajaan sentiasa membantu wanita terutama ibu, namun langkah susulan terlalu kurang menyebabkan banyak masalah lain timbul," katanya.

Katanya, cadangan menubuhkan koperasi wanita adalah idea terbaik tetapi penubuhannya perlu ditapis bagi memastikannya fokus kepada wanita.

635 dibaca
Berita Harian X