Sabtu, 10 March 2018 | 8:06pm
DR Shahidah menunjukkan antara penyelidikan dan teknologi yang dibangunkan PETRONAS Research ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini. - Foto Aizuddin Saad

Dr Shahidah terima penghormatan saintifik antarabangsa

MENERAJUI pembangunan teknologi penapisan merkuri dalam gas sehingga memangkin kepada Agenda Teknologi PETRONAS, adalah sumbangan terbesar Dr Shahidah M Shariff dalam industri minyak dan gas (O&G) sekali gus usahanya diiktiraf serta mendapat penghormatan tertinggi dunia.

Justeru, Ketua Penyelidikan, Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, PETRONAS Research Sdn Bhd itu akan ke Amerika Syarikat (AS), pada minggu depan untuk menerima anugerah American Chemical Society International Fellow bagi Bahagian Industri dan Kejuruteraan Kimia.

Pengiktirafan itu menjadikan beliau rakyat Malaysia pertama menerima anugerah terbabit serta seorang daripada tiga warga negara luar AS yang pernah menerimanya daripada kumpulan saintifik terbesar dunia itu.

Lebih manis, Dr Shahidah juga bakal dianugerahkan Doctor of Science in Engineering (High Distinction) dari Queens University of Belfast, United Kingdom (UK), dalam tempoh terdekat ini.

Anugerah itu hasil sumbangannya terhadap kimia industri dan penggerak inovasi kejuruteraan kimia dunia.

Pencapaian terbesar

Shahidah berkata, ia menganggap kejayaan itu sebagai pencapaian besar mewakili golongan wanita di negara ini.

"Di PETRONAS kami pun berbangga kerana terbukti boleh melahirkan saintis yang terkenal di dunia," katanya yang pernah dianugerahkan Woman of The Year oleh Malaysian Petroleum Resources Club.

Beliau berkata, setiap pencapaian diterima sebagai kejayaan dalam kumpulan itu, selepas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin, mengumumkan teknologi sebagai kunci menjadikan PETRONAS berbeza berbanding pesaing lain.

Hasilnya, beliau berkata, agenda teknologi dibangunkan bertujuan memulakan pembangunan bidang berpotensi bagi meningkatkan daya saing syarikat dan meletakkannya antara gergasi digeruni industri.

"Menepati enam budaya culture beliefs diterapkan kepemimpinan tertinggi PETRONAS. Kami bekerja bersama lebih 400 penyelidik lain. Kerjasama semua 54,000 kakitangan di seluruh operasi kumpulan turut sama berganding bahu menuju kejayaan.

"Jika dahulu, penyelidikan ambil mengambil masa 10 hingga 15 tahun, kini kita segerakan dengan kerjasama dan interaksi antara penyelidik di sini. Kombinasi semua pekerja dan jurutera dalam lapangan minyak dunia bagi memastikan hasilnya cepat disampaikan," katanya.

Terima sokongan keluarga


DR Shahidah bersyukur dengan sokongan suami dan keluarga yang

Ibu kepada empat cahaya mata ini mengakui tempoh 30 tahun berkhidmat di PETRONAS sebagai 'mencabar yang menyeronokkan' dan bersyukur memiliki suami yang memahami kerjayanya dalam industri yang didominasi lelaki.

Katanya, komitmen PETRONAS mahu menyahut seruan kerajaan bagi memangkin pembangunan wanita dalam industri itu.

Beliau berkata, masalah wanita berkerjaya adalah masalah sejagat kerana setiap perkembangan kerjaya wanita ada keperluan yang berbeza.

"Pada peringkat kumpulan, banyak yang sudah dilakukan, seperti PETRONAS Leading Women Network,iaitu rangkaian bagi wanita di peringkat kepemimpinan menjadi mentor berkongsi pengalaman dengan pekerja yang baru bekerja.

"Kerana usia muda ini mereka ada masalah tersendiri seperti baru kahwin dan sukar mencari keseimbangan kehidupan kerjaya.

"Di PETRONAS membenarkan wanita bekerja balik awal pada Jumaat, selain cuti bersalin 90 hari berbanding 60 hari sebelum ini dan cuti separuh gaji jika ingin sambung sampai enam bulan," katanya.

Beliau berkata, wanita yang bekerja di sektor yang berat dan industri di dominasi lelaki supaya tidak menjadikan masalah dihadapi untuk cepat mengalah, sebaliknya perlu terus mengejar impian menjadi yang terbaik.

"Kita kena yakin tak kira jurutera wanita di pelantar atau kerja susah, tetap boleh buktikan mampu melakukannya dan berjaya mencapai matlamat seperti lelaki.

"Walaupun ada halangan di hadapan atau kita jatuh, segera bangun teruskan perjalanan mengatasi halangan," katanya.

917 dibaca
Berita Harian X