Khamis, 8 March 2018 | 8:32am
PENCAPAIAN cemerlang wanita melahirkan idea kreatif menyumbang kepada keputusan penting untuk
PROF Datuk Noor Aziah Mohd Awal. - Foto NSTP

Sektor swasta perlu proaktif martabat peranan wanita

bminggu.com.my

KUALA LUMPUR : Sektor swasta disaran supaya lebih proaktif dalam usaha memajukan wanita di negara ini selaras dengan sambutan Hari Wanita Sedunia yang bertemakan #PressforProgress, sekali gus memartabatkan golongan itu di mata dunia.

Perkara itu dibangkitkan wanita daripada pelbagai bidang yang mahu melihat lebih ramai wanita memegang jawatan sebagai pembuat keputusan.

Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Madeline Berma, berkata tema Hari Wanita kali ini menunjukkan komitmen tinggi kerajaan meneruskan agenda pemerkasaan wanita supaya dapat memastikan tiada wanita ketinggalan dalam merebut peluang menempatkan diri dalam tenaga kerja.

Katanya, usaha memperkasa wanita sering membabitkan sektor awam. Sektor swasta dilihat kurang membantu dalam pemerkasaan wanita di negara ini.

"Sebagai contoh, dasar 30 peratus wanita sebagai pembuat keputusan sudah tercapai di sektor awam tetapi masih rendah di sektor swasta.

"Sehingga Jun tahun lalu, hanya 17.9 peratus ahli lembaga pengarah di 100 syarikat senaraian awam (PLC) utama di Bursa Malaysia adalah wanita," katanya mengulas mengenai Hari Wanita Sedunia yang disambut hari ini.

Teroka potensi

Menerusi tema #PressforProgress, ia disambut bagi mengenang kembali usaha dilakukan pejuang wanita sebelum ini selain meneroka potensi serta peluang untuk generasi akan datang.

Beliau yang juga Ahli Majlis Penasihat dan Perundingan wanita (MPPW ), berkata kerajaan diminta memperbanyakkan program dan sokongan khusus untuk golongan wanita muda bagi membangun keluarga yang lebih berkualiti.

"Usaha ini seharusnya meliputi agenda memperkasa wanita luar bandar dan pedalaman dengan ilmu dan kemahiran teknologi.

"Isu gangguan seksual dan apa sahaja bentuk diskriminasi terhadap wanita dan penambahan ikon wanita muda harus diberi keutamaan," katanya.

Pengerusi Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia, Prof Datuk Noor Aziah Awal, berkata wanita negara ini masih belum begitu menyerlah pada peringkat antarabangsa walaupun ramai yang menonjol pada peringkat nasional.

"Setakat ini, bilangan wanita di negara ini yang dikenali di peringkat antarabangsa masih boleh dibilang dengan jari.

"Tidak diragui, pencapaian wanita hari ini jauh lebih baik sejak kita mencapai kemerdekaan tetapi walaupun ada dasar memastikan kita mencapai 30 peratus pembuat keputusan atau ketua eksekutif wanita, kita masih belum mencapainya terutama pada sektor swasta," katanya.

Katanya, wanita perlu dilayan dengan adil dan sama rata kerana keupayaan bukan sekadar memenuhi kuota 30 peratus.

Sempena Hari Wanita Sedunia pada setiap 8 Mac, disifatkan sebagai platform terbaik meraikan pencapaian wanita merangkumi pelbagai aspek, termasuk sosial, ekonomi dan politik.

Ketua Perancangan dan Pematuhan Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA), Maimunah Jaffar, berkata peranan wanita dalam pembangunan negara berubah sejak 10 hingga 15 tahun kebelakangan ini.

"Ia berhubung kait dengan polisi kerajaan pada 80-an yang memberi galakan biasiswa kepada lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melanjutkan pelajaran ke luar negara dalam jurusan profesional sehingga berpeluang mempelopori jurusan pekerjaan yang biasa disandang lelaki," katanya.

Perkembangan sihat

Pembabitan lebih ramai wanita memegang tugas utama pada peringkat Kerajaan Persekutuan dan syarikat swasta adalah perkembangan yang sihat.

"Sifat keprihatinan dan terbuka wanita menyebabkan mereka banyak melahirkan idea kreatif dan membantu meningkatkan prestasi sesebuah organisasi," katanya.

Bagaimanapun, pekerja wanita di negara ini perlu bijak menguruskan keperluan kerja dan keutamaan dalam urusan keluarga.

"Ia cabaran yang perlu ditangani sebaiknya. Dalam hal ini, wanita perlu berani mengatakan tidak kepada kerja yang kerap diberikan majikan di luar waktu bekerja.

"Kita mesti tahu membahagikan masa dan mengutamakan yang perlu supaya dapat mengimbangi keharmonian rumah tangga dan kerjaya," katanya.

Presiden pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Women in Nuclear (WiN), Dr Noor Hasnah Mohamed Khairullah, berkata wanita memainkan peranan penting dalam hal ehwal negara, selain memiliki keupayaan menyumbang kepada keputusan penting pada peringkat masyarakat dan negara.

"Wanita hari ini suaranya sudah didengar sehingga menyumbang ke arah penggubalan dasar kerajaan dan perubahan minda masyarakat. Contohnya selebriti, Oprah Winfrey yang menyumbang kepada penyelesaian isu wanita dan tokoh tempatan lain," katanya.

Justeru, lebih ramai wanita perlu diberi peluang memegang jawatan tertinggi agar sudut pandangan wanita diambil kira serta dapat dimanfaatkan dalam penggubalan dasar kerajaan untuk kepentingan masyarakat.

Pengasas Siti Khadijah Apparel Sdn Bhd (SKA), Padzilah Enda Sulaiman, berkata kadar penyertaan wanita dalam pekerjaan sudah mengubah landskap ekonomi negara sejak 61 tahun negara merdeka.

"Sebagai usahawan wanita yang sudah menjalankan perniagaan hampir 10 tahun, saya melihat wanita lebih komited dan menyerlah dalam bidang diceburi," katanya.

"Kita dapat lihat bertambahnya bilangan wanita berjaya sebagai usahawan dan pencapaiannya diiktiraf kerajaan menerusi pengkhususan bidang diceburi," katanya.

Beliau berkata, pemantauan berterusan dari agensi kerajaan bertanggungjawab terutama wanita luar bandar berpotensi menyumbang kepada ekonomi negara.

"Saya cadangkan wujudkan pusat maklumat setempat khusus kepada wanita.

"Di setiap negeri, diharapkan dapat diperkenalkan aplikasi teknologi bersesuaian seiring dengan aktiviti wanita bagi memastikan wanita di negara ini lebih terbuka dan mesra digital," katanya.

567 dibaca
Berita Harian X