Rabu, 7 March 2018 | 9:27am

Gadis tahi lalat pelajar popular

MEMILIKI tompokan hitam dan tahi lalat hampir di seluruh tubuhnya sejak lahir, namun gadis kacukan Rungus-Filipina, Evita Patcey Edgar Delmundo, 21, terus mendapat perhatian apabila menerima tawaran dalam bidang peragaan dan produk kecantikan.

Kini bergelar pelajar di sebuah kolej di Kota Kinabalu, ia bagaimanapun tidak menghalang Evita untuk terus menerima tawaran dalam bidang peragaan, selain pernah menjadi jurucakap pelbagai produk kecantikan dan kesihatan.

Bukan hanya di Malaysia, populariti gadis kelahiran Kota Kinabalu itu pernah menarik minat pihak luar termasuk dari China yang menampilkan kisah unik mengenai dirinya yang memiliki banyak tahi lalat atau disebut Congenital Melanocytic Nevus.

Tuah 'gadis tahi lalat' itu bagaikan tidak putus-putus apabila turut ditawarkan untuk memperagakan satu produk dikenali ramai di Singapura, baru-baru ini.

"Walaupun banyak masa kini di kolej, namun jika ada tawaran peragaan atau menjadi jurucakap sesuatu produk, ia akan diuruskan oleh pengurus saya, asalkan tidak mengganggu jadual pengajian.

Aktif model sambilan

"Meskipun, sekarang saya sibuk dengan pengajian di kolej, tetapi masih menerima tawaran, terbaru pada Januari lalu dipilih memperagakan produk barangan oleh sebuah syarikat di Singapura," katanya yang turut aktif sebagai model sambilan.


KOTA KINABALU 19 FEBRUARI 2018. Evita Patcey Edgar Delmundo, 21, gadis yang memiliki tompokan hitam dan tahi lalat hampir seluruh badan ketika ditemui di Delta Height, Penampang. NSTP/KHAIRULL AZRY BIDIN.KHAIRULL AZRY BIDIN

Anak kedua daripada lima beradik mempunyai ketinggian 162 sentimeter itu mengakui beliau lebih yakin terhadap keadaan fizikal dirinya berikutan sokongan berterusan ahli keluarga serta rakan, seterusnya membahagikan masa untuknya meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

"Inilah kehidupan saya sekarang, di kolej meneruskan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Pendidikan. Masa saya kini lebih banyak di kolej bersama kawan baharu.

"Saya baru saja meneruskan pengajian selepas masuk ke kolej ini pada Oktober tahun lalu. Kelas saya tiga kali seminggu," katanya yang juga satu-satunya dalam keluarga mempunyai tompokan hitam dan tahi lalat di tubuh.

Mesra disapa Eta, beliau mengakui kehidupannya kini bukan hanya dikelilingi keluarga, malah rakan baharu di kolej.

Digelar idola

"Kawan baharu di kolej tidak juga terkejut kerana cerita saya banyak keluar di akhbar, selain media sosial termasuk Facebook. Mereka juga teruja berjumpa dengan saya, malah gelar saya sebagai idola.

"Mereka (kawan) layan saya seperti kawan lain. Ada juga yang bertanya mengenai tahi lalat ini dan saya jelaskan agar mereka tidak fikir ini adalah penyakit," katanya.


KOTA KINABALU 19 FEBRUARI 2018. Evita Patcey Edgar Delmundo, 21, (dua dari kiri) gadis yang memiliki tompokan hitam dan tahi lalat hampir seluruh badan bersama rakan-rakannya ketika ditemui di Delta Height, Penampang. NSTP/KHAIRULL AZRY BIDIN.KHAIRULL AZRY BIDIN

Kini beliau lebih yakin dengan penampilannya, termasuk pernah menghadiri sesi uji bakat Miss Universe Malaysia yang berlangsung di Kota Kinabalu pada tahun lalu, sekali gus tersenarai sebagai top 50 Miss Universe Malaysia 2017.

Mengakui sebagai gadis tahi lalat, kehidupannya kini dikenali ramai hingga ramai yang mahu bergambar jika terserempak dengannya.

"Saya tidak juga rimas kerana kehidupan saya dulu dan sekarang berbeza. Sekarang, jika ada orang yang pernah tahu mengenai diri saya terserempak, mereka akan mengajak untuk bergambar," katanya yang terharu dengan sokongan berterusan daripada ahli keluarga serta rakan.

Ketika berusia tiga tahun, Ibu Evita, Rahel @ Ralyn Sarah, 50, pernah membawa anak perempuannya itu berjumpa pakar tetapi doktor menasihatkan tidak perlu membuat sebarang rawatan membuang tahi lalat kerana bukan dikategorikan sebagai penyakit kronik.

Doktor pakar menyatakan tahi lalat pada tubuhnya tidak mendatangkan sebarang kemudaratan, malah menyarankan supaya dia tidak membuangnya kerana bimbang boleh mendatangkan kesan negatif pada kemudian hari.

6619 dibaca
KOTA KINABALU 15 FEBRUARI 2018. Evita Patcey Edgar Delmundo, 21, gadis yang memiliki tompokan hitam dan tahi lalat hampir seluruh badan ketika ditemui di Delta Height, Penampang. NSTP/KHAIRULL AZRY BIDIN.KHAIRULL AZRY BIDIN
KOTA KINABALU 12 JULY 2017. ( KKB580V - GAMBAR FILE 19 JUNE 2017 ). Etvita Patcey Edgar Delmundo, 20, mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang psikologi dan bercita-cita mahu bergelar pakar motivasi ketika ditemui di kediaman mereka di Taman Kelansanan Kota Kinabalu. NSTP/EDMUND SAMUNTING.EDMUND SAMUNTING
Berita Harian X