Khamis, 1 March 2018 | 11:17am
USAHAWAN Pakaian Jenama Mimieelin Collection, Erlin Agusna Zakaria, 35 (kanan) sempena majlis Pelancaran Konvensyen Perdana Wadira Felcra Berhad 2018 di Dewan Merdeka PWTC, Kuala Lumpur. - Foto Zulfadhli Zulkifl
USAHAWAN Produk Kecantikan dan Kesihatan Nicchi Beauty Company, Norhasyimah Ahmad Mearrican sempena majlis Pelancaran Konvensyen Perdana Wadira Felcra Berhad 2018 di Dewan Merdeka PWTC, Kuala Lumpur. - Foto Zulfadhli Zulkifl
USAHAWAN Pakaian Jenama Mimieelin Collection, Erlin Agusna Zakaria, 35 (kiri) sempena majlis Pelancaran Konvensyen Perdana Wadira Felcra Berhad 2018 di Dewan Merdeka PWTC, Kuala Lumpur. - Foto Zulfadhli Zulkifl

Usahawan FELCRA jana pendapatan berlipat ganda

KUALA LUMPUR: Kebanyakan peniaga wanita yang menyertai program keusahawanan bimbingan di bawah FELCRA Berhad menerima pendapatan bulanan antara RM5,000 hingga RM30,000 sebulan menerusi jualan produk dan perkhidmatan.

Usahawan Kraftangan Amiloley Gurumi Handmade, Salwa Juamin, 35, berkata penyertaan sebagai usahawan bimbingan FELCRA meningkatkan pendapatan beliau sehingga mampu membuka sebuah kedai kraftangan di Ranau, Sabah.

Katanya, pada awalnya beliau menghasilkan kraf ini sebagai hobi sahaja tetapi selepas menjadi ahli FELCRA, pada tiga tahun lalu produk menerima banyak tempahan.

"Sebelum ini, hanya dua rekaan produk, kini lebih 10 rekaan produk benang kait yang saya hasilkan," katanya ketika ditemui pada Konvensyen Perdana Pertubuhan Wanita Dinamis FELCRA (WADIRA) 2018, yang akan berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), baru-baru ini.

Salwa berkata, sebagai ibu tunggal, beliau dapat meningkatkan taraf kehidupan dan perniagaan untuk menyara dua anaknya.

"Saya mengembangkan perniagaan ini selepas menyertai latihan keusahawanan. Sebelum ini memang tiada ilmu langsung dalam bidang itu.

"Selepas menyertai latihan dan bengkel seperti pemasaran dan akaun, saya tahu menyediakan akaun perniagaan, memantau aliran wang masuk serta keluar," katanya.

Beliau yang menerima anugerah Rural Bisnes Challange 2017 bagi kategori Usahawan Harapan( Pengembangan Perniagaan (PP) bercadang menggunakan geran sebanyak RM100,000 diterima itu untuk dimanfaatkan bagi meluaskan perniagaannya.

Usahawan Pakaian jenama Mimieelin Collection, Erlin Agusna Zakaria, 35, berkata walaupun sudah menjadi usahawan sejak empat tahun lalu, pendapatan beliau kurang memberangsangkan, tetapi selepas menyertai usahawan FELCRA, pendapatannya berlipat kali ganda.

"Ilmu dan bakat perlu seiring. Apabila menjadi usahawan FELCRA, saya didedahkan dengan pelbagai cabang ilmu keusahawanan dan ia memberi kelebihan dari segi strategi perniagaan.

"Saya pernah memperoleh pendapatan RM12,000 dalam tempoh empat hari ketika menyertai jualan ekspo, selain juga pernah mencecah pendapatan RM30,000 sebulan," katanya.

Beliau berkata dalam tempoh setahun beliau bukan saja meraih pendapatan tinggi tetapi meneroka bidang keusahawan dengan lebih mendalam.

Usahawan produk kecantikan dan kesihatan Nicchi Beauty Company, Norhasyimah Ahmad Mearrican, berkata kehidupan sebagai ibu tunggal anak empat menguatkan diri beliau untuk menjadi usahawan.

"Saya tidak putus asa, malah selepas menjadi usahawan lima tahun lalu dan diceraikan, kini sudah mampu menjadi majikan kepada tiga pekerja sekali gus memperlihatkan bidang ini yang melengkapkan ekosistem saya.

"Saya gunakan geran kerajaan untuk mengubah diri untuk maju, selain mampu membuka peluang kepada usahawan baharu menerusi Pusat Incubator Nicchi," katanya.

Beliau yang menerima geran RM200,ooo selepas mengungguli Rural Bisnes Challange 2016 bagi kategori Usahawan Harapan menganggap kemenangan itu berbaloi.

"Saya nasihatkan usahawan wanita supaya merebut peluang daripada geran yang disediakan bagi membolehkan mereka memulakan perniagaan.

"Pengalaman pahit dilalui sebelum ini, membuatkan saya lebih bersemangat untuk memperbaiki diri dengan melanjutkan pelajaran dalam bidang ijazah psikologi di universiti swasta.

"Saya membuka kelas bimbingan keusahawanan dan kaunseling rumah tangga secara percuma kepada penduduk di Kuching, Sarawak," katanya.

Beliau berkata, kelas yang bermula jam 10 pagi hingga 12 tengah hari dan 102 usahawan sudah berjaya mendaftarkan perniagaan mereka melalui inisiatif itu.

Usahawan produk makanan sunnah, Nor Zalila Rusli, 36, berkata bergelar usahawan bimbingan FELCRA sejak dua tahun lalu, membantu beliau mempromosikan produk makanan sunnah, resipi turun temurun daripada keluarganya untuk dikenali masyarakat.

Katanya, usahawan FELCRA dapat menggilap bakat dan kemahiran dalam bidang ini apabila menerima bimbingan daripada tenaga pengajar terlatih.

"Penyertaan program keusahawanan ini, ia juga memberi hala tuju kepada saya bagaimana kaedah terbaik memasarkan produk ke luar negara.

"Saya yakin impian menembusi pasaran Brunei akan tertunai kerana latihan keusahawan dan penyertaan bersama rakan strategik FELCRA mampu merealisasikan matlamat saya untuk bergelar usahawan berjaya tidak lama lagi," katanya.

326 dibaca
Berita Harian X