;
Selasa, 13 Februari 2018 | 8:53am
NURUL Ashikin Din (kiri) dan Nik Azizon Nik Azemi.

Ilmu, pengalaman bantu kaunselor tangani kes

Memberi kaunseling jam 11 malam kepada seorang wanita tempatan yang mahu menjual anak hasil hubungan terlarang dengan warga asing, antara pengalaman sukar dilupakan oleh Kaunselor Jabata Kebajikan Masyarakat (JKM), Nurul Ashikin Din, sepanjang sembilan tahun dalam kerjaya itu.

Katanya, dalam sesi kaunseling yang memakan masa hampir empat jam itu, beliau berjaya menyelamatkan bayi itu daripada dijual ibu kandungnya pada harga RM8,000 atas alasan terdesak.

Nurul Ashikin, 59, berkata beliau dan 10 lagi ahli kaunselor lain menggunakan pengalaman mengendalikan pelbagai kes sebelum ini, mendekat dan memujuk ibu muda itu membatalkan niatnya.

Katanya, pada awal pihaknya tidak mendedahkan identiti diri sebagai kaunselor dan mengunjungi rumah itu dengan pakaian biasa.

Biarpun berdepan bermacam-macam perasaan, beliau tetap meneruskan tugas dan tanggungjawabnya bagi menyelamatkan bayi itu daripada dijual.

Beri nasihat, terapi awal

"Tugas kaunselor adalah memberi nasihat dan terapi awal supaya ibu muda itu tidak tertekan. Biasanya kami tidak terus 'terjah' kerana tahu individu bermasalah berada dalam keadaan tertekan, terdesak dan sedih.

"Dalam kes wanita muda itu, kita berjaya menasihat dan menyelamatkan anaknya. Kemudian bayi di tempatkan di Rumah Kebajikan Kanak-kanak (RKK)," katanya kepada BH.

Beliau berkata, ini ni adalah antara kaedah sebagai kaunselor mendekati individu bermasalah bagi memastikan mereka mendengar nasihat mereka.

Kerjaya kaunselor memerlukan pengorbanan masa dan sentiasa bersiap siaga dalam apa juga kes bagi menangani sebarangan tanpa mengira waktu.

"Saya yakin peranan kami sangat penting kerana dalam menangani situasi sedemikian, perlu menyelami hati klien bermasalah.

"Tugas kaunselor sesuai untuk wanita yang lebih yakin, penyabar dan bijak menangani isu khususnya membabitkan klien golongan Hawa," katanya.

Nurul Ashikin adalah antara 195 kaunselor berdaftar di bawah Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) juga bertugas memberi khidmat kaunselinguntuk kes bencana alam dan tragedi.

Katanya, kerjaya sebagai kaunselor sangat mencabar kerana membabitkan aspek keselamatan ketika berhadapan dengan klien.

"Kita bertemu dengan pelbagai latar belakang klien. Lazimnya tidak tahu bagaimana status kesihatan mereka, justeru perlu berhati-hati apabila berbicara dengan mereka agar tidak agresif.

"Kaunselor perlu bijak 'membaca situasi seperti melakukan penyamaran sekiranya perlu dalam usaha membantu dan menyelamatkan mangsa," katanya.

Sementara itu, Pegawai Psikologi JKM, Nik Azizon Nik Azemi, 35, berkata detik sukar sepanjang 10 tahun berkhidmat adalah memberi kaunseling kepada keluarga mangsa tanah runtuh di Perkampungan Orang Asli Brinchang, Cameron Highlands pada 2013.

"Ini adalah kes bencana pertama saya kendalikan membabitkan kematian. Sangat sukar kerana ketika itu semua orang dalam keadaan bersedih dan trauma. Sebagai kaunselor saya perlu bersama mereka memulihkan trauma, kesedihan dan memahami emosi orang yang kehilangan tersayang.

"Petugas psikologi sendiri perlu mengambil masa mendekati keluarga mangsa dan kehadiran ramai orang membuatkan mereka enggan bersemuka dan terganggu kerana sedih," katanya.

Katanya, apabila membabitkan emosi, kaunselor wanita individu yang tepat kerana mereka lebih memahami keadaan berbanding lelaki yang dilihat lebih kental.

"Khidmat kaunseling biasanya akan diteruskan mengikut keperluan bagi memastikan mangsa tidak bersendirian, pulih dari trauma dan mampu meneruskan hidupnya semula," katanya.

405 dibaca
Berita Harian X