Selasa, 6 Februari 2018 | 9:35am
EKSEKUTIF Bahagian Makmal Jabatan Perundingan, Penyelidikan dan Pembangunan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Siti Nazhatul Marina Mior Iskandar Shah melakukan penyelidikan di makmal NIOSH Bangi. - Foto Luqman Hakim Zubir
EKSEKUTIF Bahagian Makmal Jabatan Perundingan, Penyelidikan dan Pembangunan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Siti Nazhatul Marina Mior Iskandar Shah melakukan penyelidikan di makmal NIOSH Bangi. - Foto Luqman Hakim Zubir

Analisis makmal kenal pasti bahaya debu, habuk

BANGI: Analisis Kimia Industri Higen antara bidang kerjaya yang agak jarang diterokai berikutan dikategorikan sebagai pekerjaan berisiko, namun tidak kepada sekumpulan kakitangan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerja Negara (NIOSH).

Bidang kerjaya yang berkait rapat dengan kesihatan dan keselamatan pekerja di persekitaran di tempat kerja itu memerlukan mereka menganalisis debu, habuk dan bendasing kimia lain.

Kajian terperinci itu bagi mengenal pasti bahaya yang terdapat di sekeliling sebelum tindakan selanjutnya dapat diambil.

Eksekutif Bahagian Makmal, Jabatan Perundingan, Penyelidikan dan Pembangunan NIOSH, Siti Nazhatul Marina Mior Iskandar, 30, lebih menumpukan pada kajian kandungan silika.

"Kebiasaan kandungan silika ini terdapat di persekitaran kilang, kuari dan kilang besi bersifat terlalu halus dan sekecil zarah kristal. Sampel itu akan diuji dalam masa dua minggu sebelum keputusan makmalnya diperoleh.

"Ini kerana kandungan silika termasuk dalam kategori habuk berbahaya yang dijadualkan dalam Jadual 1, Peraturan-peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Penggunaan dan Standard Pendedahan Bahan Kimia Berbahaya Kepada kesihatan) 2000.

"Selain itu, silika, abestos juga terdiri daripada mineral fiber yang dikatakan berkait rapat dengan penyakit paru-paru," katanya kepada BH ketika ditemui di NIOSH, baru-baru ini.

Beliau yang berkelulusan Ijazah Teknologi Kimia dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata kajian bendasing itu dibuat di makmal yang berasingan berikutannya ia mempunyai pengkelasan kimia berbeza.

Katanya, mengikut pengkelasan, saiz silika jenis habuk ternafaskan yang berbahaya kepada manusia adalah 10 mikrometer ke bawah dan had pendedahan yang dibenarkan (PEL) dalam industri untuk silika adalah 0.1mg/m3.


EKSEKUTIF Bahagian Makmal Jabatan Perundingan, Penyelidikan dan Pembangunan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Siti Nazhatul Marina Mior Iskandar Shah (kanan) bersama rakan berbincang sebelum melakukan penyelidikan di makmal NIOSH Bangi. - Foto Luqman Hakim Zubir

"Analisis menyeluruh penting untuk mengenal pasti punca penyakit, keselamatan dan kesihatan pekerja seperti yang tertakluk di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) 1994.

"Di NIOSH kita memainkan peranan melindungi dan meningkatkan kesedaran kepada pekerja tidak terdedah kepada bahaya bahan kimia supaya sifar cedera di tempat kerja," katanya.

Ditanya mengenai risiko bahan kimia, NIOSH mempraktikkan pengawasan perubatan setahun sekali, memakai perlindungan serta mematuhi etika pakaian ketika mengendalikan bahan kimia yang dianalisis.

"Sememangnya tidak dinafikan kita terdedah kepada risiko dan bahaya, tetapi ini adalah tanggungjawab saya dan empat rakan eksekutif lain, mempraktikkan latihan dan pencegahan.

"Bagi saya bekerja di bidang ini memberikan cabaran tersendiri dan bersesuaian dengan wanita kerana banyak membabitkan kajian klinikal, analisis dan wanita lebih cenderung melakukannya berbanding bekerja di luar pejabat," katanya.

Katanya, NIOSH juga mengambil langkah kawalan seperti membangunkan Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC) bagi mengenal pasti bahaya dan kawalan kejuruteraan seiring keperluan semasa.

857 dibaca
Berita Harian X