Sabtu, 13 Januari 2018 | 11:01am
DR Masliza Mahmod.
DR Masliza Mahmod.

Dr Masliza jadi rujukan dunia

Kuala Lumpur: Memperoleh geran penyelidikan kardiovaskular menerusi kajian penggunaan teknik resonansi magnetik jantung (CMR), dari Universiti Oxford, United Kingdom (UK) membuktikan Dr Masliza Mahmod memiliki kehebatan luar biasa.

Ketua Kumpulan Penyelidikan Klinikal, Pusat Penyelidikan Resonans Magnetik Klinikal, (OCMR), Bahagian Perubatan Kardiovaskular, Universiti Oxford ini, mendapat geran RM16 juta, tahun lalu dari sebuah syarikat farmaseutikal.

Kejayaan memperoleh geran penyelidikan itu melayakkan beliau mengungguli Anugerah Pensyarah Penyelidikan dari universiti tersohor terbabit sekali gus rakyat Malaysia pertama mewakili bidang kardiovaskular di institut berkenaan.

"Kajian ini sangat penting kerana menjurus kepada penggunaan ubat baharu, yang dijangka lebih baik dan akan menjadi rawatan mengubah tahap kesihatan pesakit akibat kegagalan jantung.

"Kami berjaya menaikkan nama Universiti Oxford menerusi kajian terbabit yang turut mendapat kerjasama pakar dari Eropah dan Amerika Syarikat (AS), berkaitan kardiovaskular," katanya kepada BH.

Ketika ini, Dr Masliza yang berkhidmat sebagai Pensyarah Penyelidikan Universiti, Bahagian Perubatan Kardiovaskular, Jabatan Perubatan Radcliffe, Universiti Oxford juga menubuhkan kumpulan penyelidikan CMR, sejak empat tahun lalu.

Pencapaian dalam penyelidikan itu turut melayakkan beliau memperoleh anugerah Skim dan Ganjaran Pengiktirafan oleh Jabatan Perubatan Radcliffe, Perubatan Kardiovaskular.

"Buat masa ini Oxford adalah universiti terbaik dunia, terutama dalam bidang perubatan sains. Saya rasa berbangga sebagai rakyat Malaysia dipilih melaksanakan misi Oxford untuk membangunkan bidang ini.

"Saya rasa seperti duta kecil Malaysia dalam bidang kardiovaskular. Malah ini antara pencapaian terbaik dan manis sejak menjadi pengamal perubatan sejak 20 tahun lalu," katanya.

Bukan calang-calang individu, diberikan kepercayaan mengetuai penyelidikan, Dr Masliza berkata, minat dan prestasi cemerlang ketika mengikuti pengajian doktor falsafah (PhD) di universiti berkenaan menjadi pemangkin perlantikan ke jawatan itu, pada 2013 hingga kini.


DR Masliza Mahmod bersama kumpulan Universiti Oxford, United Kingdom.

Beliau berupaya menamatkan PhD dalam masa singkat, iaitu kurang tiga tahun, malah tesisnya turut dijadikan rujukan pelajar kedoktoran lain.

Katanya, bidang perubatan kardiovaskular sentiasa berkembang dari segi ilmu dan rawatan.

"Banyak perkara masih belum difahami dan diketahui mengenai jantung, antaranya seperti punca dan bagaimana proses penyakit jantung terjadi serta rawatan sesuai.

"Walaupun sudah ada rawatan tetapi kenapa masih belum dapat menyelesaikan secara keseluruhan penyakit itu," katanya.

Justeru, beliau berpendapat penyelidikan penting dalam bidang kardiovaskular untuk memperbaiki tahap kesihatan pesakit.

Mengulas mengenai cabaran, katanya penyelidikan klinikal rumit dilakukan kerana selain mahal, persaingan sengit untuk mendapatkan geran penyelidikan.

"Malah, bukan mudah mendapatkan pesakit untuk dijadikan bahan kajian. Ia membabitkan proses yang panjang termasuk mendapatkan kelulusan dan mematuhi etika bagi tujuan penyelidikan klinikal," katanya.

Ketika ini, anak kelahiran Batu Pahat Johor ini sedang dalam proses untuk menjadi pakar perunding kardiologi di John Radcliffe Hospital, Oxford dan pengesahan bersama UKM untuk menjadi pensyarah kontrak.

Dr Masliza berkata, minat, kesungguhan dan tidak suka membuang masa ramuan beliau untuk terus relevan dalam dunia perubatan yang serba mencabar, lebih-lebih di tempat orang.

Tidak mudah putus asa antara elemen penting untuk membuktikan keupayaan dalam melaksanakan sesuatu tugasan.

Kepercayaan orang lain terhadap kemampuannya, terbukti menerusi keupayaan, pencapaian dan kejayaan dilakukan.

"Cabaran sangat besar dan persaingan sengit bagi mengekalkan kedudukan serta produktiviti. Saya juga perlu terus berusaha menjana pendapatan untuk jabatan dan universiti.

"Saya sudah melalui banyak kegagalan tetapi jadikan sebagai dorongan untuk melakukan lonjakan dalam kerjaya," katanya.

Dr Masliza berkata, di Malaysia ramai wanita terbabit dalam bidang perubatan, namun hanya segelintir berminat dalam bidang penyelidikan dan akademik khususnya membabitkan kardiovaskular.

"Bidang ini sudah ada di Malaysia, tetapi tidak ramai wanita. Bidang ini ada masa depan.

"Saya selalu berikan galakan, nasihat dan kaunseling kepada pelajar sarjana perubatan wanita di Universiti Oxford. Ada orang Malaysia menghubungi saya di sini untuk mendapatkan nasihat," katanya.

Profil

Nama : Dr Masliza Mahmod

Usia : 45 tahun

Menetap di : Oxford, UK

Asal : Batu Pahat, Johor.

Jawatan : Pensyarah dan Ketua Kumpulan Penyelidikan Klinikal, Pusat Penyelidikan Resonans Magnetik Klinikal (OCMR), Bahagian Perubatan Kardiovaskular, Universiti Oxford, UK.

Skop tugasan :

* Membuat penyelidikan dan menyelia pelajar sarjana perubatan dan felo klinikal.

* Aktif menyediakan geran penyelidikan dan penerbitan journal

* Merawat pesakit jantung.

Kajian CMR :

* Memberi tumpuan kepada penggunaan pengimejan CMR dan teknik spektroskopi untuk pengesanan awal keabnormalan jantung dengan matlamat untuk memperbaiki rawatan pesakit.

* Mencari rawatan baharu untuk pesakit yang mengalami kardiomiopati, kegagalan jantung, penyakit injap aorta dan kencing manis.

Pendidikan :

* Ijazah Sarjana Muda Perubatan, Otago New Zealand.

* Sarjana Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Member of Royal College of Physicians), United Kingdom (UK) (2004).

* Latihan kardiologi di Institut Jantung Negara (IJN).

* Latihan resonansi magnetik jantung (CMR) di Royal Brompton Hospital London, 2009.

* Sarjana Kedoktoran, Universiti Oxford (2010 - 2013).

Pencapaian :

* Pensyarah Penyelidikan Universiti Oxford.

* Mendapat geran RM16 juta untuk penyelidikan CMR

* Anugerah Skim dan Ganjaran Pengiktirafan dari Jabatan Perubatan Radcliffe, Perubatan Kardiovaskular.

9330 dibaca
Berita Harian X