Selasa, 9 Januari 2018 | 8:11am
Pengerusi MATRADE, Datuk Dr Noraini Ahmad (dau dari kanan duduk) bersama penerima penerima "Graduation Day" pada Program "Graduation Day" syarikat syarikat BWEDP sesi ambilan tahunan 2012 dan 2103 di Menara MATRADE. - Foto Nurul Shafina Jemenon

MATRADE lahirkan 120 lagi pengeksport wanita

KUALA LUMPUR: Sebanyak 120 syarikat milik wanita dilatih Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menerusi Program Pembangunan Pengeksport Wanita (WEDP) dalam usaha menjadikan mereka pengeksport mampan.

Daripada jumlah itu, 98 daripadanya sudah tamat program dan 22 lagi masih dalam program berkenaan yang diperkenalkan sejak 2005.

Sebelum ini, MATRADE sudah melatih kira-kira 167 syarikat Bumiputera melalui Program Pembangunan Pengeksport Bumiputera (BEDP) yang diperkenalkan pada 2004 dengan 35 syarikat masih dilatihnya.

Pengerusi MATRADE, Datuk Dr Noraini Ahmad, berkata kedua-dua program itu membabitkan industri makanan dan minuman, gaya hidup, elektrik dan elektronik (E&E) serta teknologi maklumat dan komunikasi.


Pengerusi MATRADE, Datuk Dr Noraini Ahmad. - Foto Hairul Anuar Rahim

Katanya, agensinya akan terus mengenal pasti dan memilih syarikat milik Bumiputera dalam kalangan usahawan wanita yang berpotensi dalam pengeksportan untuk diserapkan dalam BEDP dan WEDP.

"Justeru, usaha kita menyerap syarikat milikan wanita dalam WEDP ialah menerusi program turun padang seperti pameran, ceramah, seminar dan temu bual bersemuka (walk-in enquiry).

"Selain itu juga syarikat itu dikenal pasti menerusi pencalonan yang dikemukakan pejabat cawangan MATRADE di Kuala Terengganu, Johor Bahru, Pulau Pinang, Kota Kinabalu dan Kuching," katanya.

Pencalonan itu diperoleh Majlis Amanah Rakyat (MARA), Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB), Unit Agenda Pembangunan Bumiputera (TERAJU) dan Bahagian Pembangunan Usahawan Bumiputera Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).


Pengerusi MATRADE, Datuk Dr Noraini Ahmad (lima dari kiri duduk) bersama penerima penerima "Graduation Day" pada Program "Graduation Day" syarikat syarikat BWEDP sesi ambilan tahunan 2012 dan 2103 di Menara MATRADE. - Foto Nurul Shafina Jemenon

"Misalnya MATRADE menjalankan beberapa siri lawatan audit untuk mengenal pasti dengan lebih mendalam dan menilai keupayaan syarikat milik wanita untuk diserapkan dalam WEDP.

"Pendekatan itu diteruskan bagi tahun ini bagi menarik lebih ramai lagi penyertaan wanita ke dalam program ini.

"Ini selari Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11) yang menyasarkan untuk memartabatkan ekonomi Bumiputera dan Tahun Memperkasakan Wanita.

"Oleh itu, kita akan memperluaskan kepada bidang lain antaranya produk dan perkhidmatan berkaitan minyak dan gas serta barangan farmasi," katanya.

Katanya, dalam usaha memperkasakan usahawan Bumiputera, pihaknya menjalinkan kerjasama dengan MARA dan SME Corp yang bertindak sebagai Jawatankuasa Program Galakan Eksport Bumiputera.


Antara pameran WDEP di luar negara untuk pengeksport wanita.

"Selain itu, MATTRADE juga sebagai agensi pelaksana bagi program Bumiputera Initiatives for Globalisation (BIG) bersama Unit Agenda Pembangunan Bumiputera (TERAJU) bertujuan membantu syarikat Bumiputera yang berdaya saing dan berimpak tinggi meluaskan pasaran mereka di peringkat global," katanya.

Dr Noraini berkata, setakat ini, 2,894 syarikat milik wanita berdaftar di bawah Daftar Pengeksport Malaysia (MER) MATRADE.

"187,265 syarikat milikan wanita yang direkodkan Jabatan Statistik dan Perangkaan Malaysia, sekali gus menyumbang 20.3 peratus kepada jumlah keseluruhan sektor ekonomi pada 2015.

"Ini bermakna nilai keluaran kasar dan nilai tambah dijana oleh syarikat milik wanita masing-masing berjumlah RM85 bilion (3.4 peratus) dan RM39.6 bilion (4 peratus)," katanya.

97 dibaca
Berita Harian X