Selasa, 9 Januari 2018 | 6:27am
Pemandu teksi wanita perlu berdaya saing menyediakan perkhidmatan terbaik kepada penumpang. - Foto hiasan/Mior Azfar Mior Kamarulbaid

Kerjasama JPW, Riding Pink sedia khidmat teksi

Kuala Lumpur: Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) menjalin kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Riding Pink bagi menyediakan perkhidmatan teksi, khusus untuk wanita, tidak lama lagi.

Riding Pink diasaskan pada September 2016 oleh suri rumah, Denise Tan, mempunyai pangkalan data pemandu teksi wanita di sekitar Lembah Klang, bagi memudahkan penumpang menghubungi mereka.

Penubuhannya berikutan keprihatinan NGO terbabit terhadap isu keselamatan wanita yang bimbang apabila menggunakan pengangkutan awam seperti kejadian rogol dan sebagainya.

Ketua Pengarah JPW, Datuk Yatimah Sarjiman, berkata NGO itu turut menyediakan aplikasi Pink Rider bagi memudahkan orang ramai khususnya wanita membuat tempahan teksi.

Katanya, kerjasama antara JPW dan Riding Pink ini sejajar dengan aliran penggunaan perkhidmatan e-panggilan seperti GrabCar dan Uber yang begitu mendapat sambutan sejak kebelakangan ini.

Beliau berkata, Riding Pink juga menjadi platform dengan membuka peluang golongan sasar, terutama suri rumah, ibu tunggal dan sesiapa saja bagi menambah pendapatan sampingan sebagai pemandu teksi.

Manfaat kepada wanita

"Oleh itu, mulai tahun ini, JPW akan menggunakan tanda pagar #together bagi mempromosi dan mewujudkan apa sahaja program yang dapat memberi manfaat kepada wanita.

"Seperti sedia maklum, pemandu teksi wanita masih ada permintaan, namun disebabkan oleh beberapa kekangan, jumlah mereka tidak seramai yang diperlukan.

"Jadi menerusi kerjasama Riding Pink, diharap ia dapat mencapai objektif JPW.

Pada masa sama, dengan adanya kerjasama ini juga membuka peluang kepada pemandu teksi wanita menambah pendapatan.

"Selain itu, ia memberi keselesaan kepada penumpang wanita yang mementingkan faktor keselamatan ketika menggunakan perkhidmatan awam.

Sebelum ini, JPW melancarkan Projek Teksi Wanita pada 2011, namun ia terpaksa dihentikan berikutan orang ramai kini lebih selesa mendapatkan perkhidmatan e-panggilan, sekali gus menjadikan projek itu 'mati'.

Akhirnya, seramai 30 pemandu teksi wanita yang mengikuti projek itu terpaksa mencari alternatif lain bagi memastikan kelangsungan hidup masing-masing.

Beliau berkata, perbincangan lanjut akan diadakan dengan Pink Rider sebelum melancarkan sepenuhnya perkhidmatan itu.

Sementara itu, pemandu teksi wanita, Halimah Ibrahim, 40, berkata beliau menyambut baik cadangan mewujudkan kerjasama antara JPW dan Pink Rider kerana ia membuka peluang lebih luas kepada wanita untuk menceburi bidang itu dengan lebih mudah.

Saingan e-panggilan

Katanya, sistem pengangkutan awam tetap diperlukan dan antara yang mendapat permintaan adalah perkhidmatan teksi.

"Perkhidmatan e-panggilan memberi persaingan sengit kepada teksi sedia ada, namun semua pihak kena terima.

"Sama ada pemandu teksi bajet atau eksklusif tidak kira wanita atau lelaki mereka perlu bijak dan bersikap positif.

"Banyak pengalaman ketika menaiki teksi. Kebanyakan pemandu teksi ini tidak mahu mengambil penumpang yang ingin ke tempat berdekatan, tidak menggunakan meter dan lebih terarah kepada penumpang asing.

"Sebelum ini, saya memberi perkhidmatan itu di bawah Projek Teksi Wanita terpaksa berhadapan situasi sama apabila perkhidmatan GrabCar dan Uber semakin menjadi pilihan penumpang," katanya.

Situasi ini menjadikan penumpang tempatan memilih GrabCar dan Uber.

Beliau bagi pemandu teksi sepenuh masa terpaksa bekerja keras untuk mencari pendapatan kerana ini adalah sumber utama mereka.

Lebih berdaya saing

Pemandu teksi wanita perlu bijak mengatur jadual perkhidmatan sama ada waktu tengah malam atau untuk jarak perjalanan jauh supaya tidak mendatangkan masalah.

"Ada penumpang wanita yang inginkan perkhidmatan kami pada waktu tengah malam dan jarak yang jauh," katanya.

Pemandu teksi wanita, Marsitah Osman, 43, berkata persaingan hebat dan pelbagai kelebihan ditawarkan sejajar perkembangan teknologi moden menjadikan perkhidmatan teksi wanita lebih berdaya saing.

Katanya, situasi itu memberi kesan drastik, terutama pendapatan diperoleh setiap hari jika tidak bijak membuat perancangan.

"Berdasarkan pengalaman saya sehari nak dapat RM50 pun agak sukar memandangkan penumpang semakin kurang memilih perkhidmatan teksi yang dilihat lebih bersifat tradisional.

"Apabila pendapatan terjejas, kenaikan harga minyak tidak menentu, perjanjian dengan syarikat jual beli teksi yang tidak boleh bertolak ansur dan bermacam-macam lagi, menjadikan ada sesetengah pemandu mengalah," katanya.

Namun, dengan adanya aplikasi Pink Rider, ramai lagi pemandu teksi wanita lain menggunakan khidmat ini untuk mendapatkan pelanggan pada bila-bila masa.

Seorang lagi pemandu teksi wanita, T Leelavathi, 46, berkata masalah dihadapi dengan syarikat teksi menjadikan beliau kini selesa memandu kenderaan sendiri dan mendapatkan permit untuk membawa penumpang.

"Wanita kini perlu lebih rajin dan berusaha mencari cabang pendapatan untuk menyara keluarga lebih-lebih lagi ibu tunggal seperti saya. Tidak boleh berharap dengan satu saluran sahaja.

"Sekarang saya juga menerima panggilan daripada pelanggan wanita membawa anak pelanggan ke sekolah, semua saya akan lakukan tanpa mengira masa.

"Justeru, dengan adanya kerjasama JPW dan Pink Rider mungkin pemandu teksi wanita lain dapat menggunakan manfaat yang ada dengan lebih baik dan terjamin," katanya.

761 dibaca
Berita Harian X