Sabtu, 26 Ogos 2017 | 9:00am
RATU Elizabeth bergambar bersama penerima Anugerah Pemimpin Muda di Istana Buckingham, London, Jun lalu.
QUAH penerima tunggal negara menerima Anugerah Pemimpin

Sumbangan Quah diiktiraf Ratu Elizabeth

KUALA LUMPUR: Kesungguhan pengasas pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Refuge for the Refugees (RFTR), Heidy Quah, 23, membantu kanak-kanak pelarian Myanmar di negara ini bagi memberikan pendidikan asas secara percuma mencuri tumpuan dunia.

Pengorbanan Heidy mengajar Bahasa Inggeris dan kerja amal lain kepada lebih 700 kanak-kanak pelarian diiktiraf dunia sehingga layak menerima anugerah pemimpin muda, The Queen's Young Leaders Award.

Buat julung kalinya, penghargaan itu disampaikan oleh Ratu Elizabeth II, di Istana Buckingham, London, pada Jun lalu, yang dibuat secara langsung di Facebook keluarga diraja yang ditonton lebih 379,000 orang di seluruh dunia.

Lebih membanggakan, Heidy adalah penerima tunggal negara menerima penghargaan berprestij itu.

Ini sekali gus mengiktiraf generasi muda berusia 18 tahun hingga 29 tahun dari negara Komanwel yang memberikan komitmen penuh membantu dan menaik taraf kehidupan manusia.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Kewangan di INTI International University & Colleges (INTI) itu, berkata ramai kanak-kanak pelarian tidak dapat menghadiri sekolah rasmi kerana status mereka.

Katanya, kini RFTR menyokong 35 sekolah dan 10 daripadanya ditubuhkan di Lembah Klang dan Pulau Pinang manakala 25 sekolah lain terletak di Myanmar terdiri lebih 2,000 kanak-kanak pelarian.

"Pendidikan penting untuk setiap kanak-kanak dan RFTR membantu meningkatkan kesedaran terutama mengenai kanak-kanak pelarian dan pendidikan mereka.

"Ramai kanak-kanak pelarian tidak boleh membaca dan menulis. Ada yang tidak tahu langsung bertutur dalam Bahasa Inggeris, tetapi kini mengajar di sekolah pelarian lain," katanya kepada BH.

Mengimbas pembabitannya dalam RFTR, Heidy berkata, keinginan membantu kanak-kanak pelarian tercetus ketika beliau menjadi sukarelawan mengajar Bahasa Inggeris di sekolah kanak-kanak pelarian, iaitu Pusat Pendidikan Kanak-Kanak Chin empat tahun lalu.

Selepas beberapa bulan mengajar beliau dimaklumkan sekolah itu akan ditutup kerana Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Orang-Orang Pelarian (UNHCR) menghentikan pemberian dana bagi membiayai aktiviti di situ.

"Saya sedih kerana kanak-kanak di sekolah itu tidak dapat meneruskan pelajaran sedangkan mereka sangat berminat belajar. Saya bersama seorang teman baik, Andrea Prisha, berazam untuk membantu nasib mereka.

"Kami membuat biskut sendiri dan dijual di laman sosial bagi mengumpul dana untuk pembiayaan kanak-kanak itu menyambung pelajaran," katanya.

Selain menjual biskut itu, beliau menggunakan platform sama untuk membangkitkan kesedaran sosial masyarakat terhadap kepentingan pelajaran untuk kanak-kanak tanpa mengambil kira latar belakang.

Sepanjang tiga bulan menjual biskut, beliau dan rakannya berjaya RM12,500, bagaimanapun wang berkenaan hanya hanya menampung pembiayaan pelajaran dan operasi sekolah untuk tempoh sebulan saja.

Katanya, sepanjang tempoh itu beliau juga menerima sokongan kewangan daripada beberapa pihak syarikat korporat dan individu bagi membantu membiayai kos pembelajaran kanak-kanak pelarian itu.

Menyedari kepayahan mendapatkan dana, Heidy mula memperkenalkan

mula mengajar kanak-kanak berniaga

Beliau berkata, sejak dua tahun lalu, kanak-kanak di sekolah itu didedahkan dengan konsep pembelajaran mikro-kewangan untuk membolehkan mereka mengembangkan perniagaan dalam talian dijalankan.

"Justeru, kanak-kanak itu menjual pelbagai barangan seperti barangan mainan, cenderahati dan sambal Burma yang dihasilkan mereka menerusi jualan secara dalam talian dan menyertai bazar jualan.

"Saya menghabiskan hampir 15 jam setiap minggu bersama kanak-kanak pelarian untuk mengajar mereka pelbagai perkara. Di sini menjadikan saya lebih bersyukur dan banyak mengajarnya erti kehidupan," katanya.

Walaupun usaha murni itu mendapat kritikan daripada sesetengah pihak namun, beliau tekad untuk terus membantu kanak-kanak mendapatkan pendidikan sempurna.

Info:

Biodata:

Nama: Heidy Quah

Usia: 23 tahun

Pendidikan: Pelajar Ijazah Sarjana Muda Kewangan di INTI International University & Colleges (INTI)

:Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK )Damansara Jaya

*RFTR didaftarkan sebagai NGO sekitar September 2012.

*RFTR menyokong 10 sekolah untuk kanak-kanak pelarian sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang.

* 25 sekolah lain di Myanmar

* Lebih 2,000 kanak-kanak pelarian.

Anugerah Pemimpin Muda

* Heidy antara 60 pemenang terpilih daripada negara Komanwel

* Berpeluang mengikuti program termasuk latihan, bimbingan dan rangkaian membantu meningkatkan kehidupan.

* Pemenang berpeluang menjalani pelbagai bengkel di Universiti Cambridge, London

* Menyertai pelbagai program kemanusiaan lain.

2774 dibaca
Berita Harian X