Rabu, 23 Ogos 2017 | 10:14am
Pengarah wanita Malaysia, Amanda Nell Eu dan filem pendek arahannya berjudul Senang Jaga Sekandang Lembu.

Pengarah wanita pertama ke Festival Filem Venice

KUALA LUMPUR: Pengarah wanita Malaysia, Amanda Nell Eu tercalon untuk bertanding dalam pertandingan terulung, Festival Filem Venice yang akan diadakan di Itali, pada 30 Ogos hingga 9 September ini.

Filem pendek arahan Amanda berjudul Senang Jaga Sekandang Lembu dijangka bersaing sengit dengan karya 12 pengarah dari negara lain termasuk Perancis, Greece, Australia, Belgium, Thailand dan Itali.

Amanda adalah pengarah wanita pertama negara berjaya ke pertandingan berkenaan yang diadakan untuk kali ke 74.

Beliau berkata, filem pendek berdurasi 17 minit 50 saat itu membariskan pelakon muda Sharifah Aryana Syed Zainal Rashid dan Sofia Sabri.

Katanya, ini kali pertama filem pendek terbitan Astro Shaw dicalonkan untuk Pertandingan Filem Pendek Orizzonti, di Festival Filem Venice (La Biennale di Venezia).

"Astro Shaw menghantar penyertaan ini, pada Jun lalu. Filem ini mengisahkan persahabatan dua remaja perempuan berusia 15 tahun yang baru terjalin.

"Selepas mengenali antara satu sama lain, seorang daripada mereka mengetahui sahabatnya terjerumus dalam gejala sosial," katanya kepada BH Online.

"Pengarah mempunyai peranan besar dalam pembikinan filem dan hasil karya meninggalkan impak yang cukup besar terhadap sesebuah masyarakat.

"Mereka menjadi antara faktor penentu kejayaan filem di layar perak. Pendek kata, tiada pengarah, tiadalah filem," katanya kepada BH Online.

Amanda yang berusia 23 tahun, teruja berpeluang bertemu dengan pengarah berpengalaman dan pelbagai latar belakang dari seluruh dunia, pada festival filem itu.

Beliau optimis dan tidak memikirkan peluang menang, sebaliknya menegaskan pemilihan ini sudah cukup membanggakan dirinya yang berjaya sampai ke tahap itu.

Mengenai pembabitan dalam usia muda dalam industri ini, Amanda berkata, ia bukan halangan, yang penting mampu melahirkan kreativiti dalam karya seni.

Pengarah muda perlu banyak menonton dan mengikuti bengkel selain mengumpul ilmu memahami persekitaran mereka.

"Bidang perfileman tempatan banyak melahirkan pengarah muda dan wanita yang cukup kreatif dalam membentang hasil karya di layar perak.

"Namun, ramai antara mereka yang bergelut dengan pelbagai cabaran, menarik tumpuan masyarakat demi sedikit penghargaan terhadap kerja mereka," katanya.

Amanda berkata, pembabitan wanita dalam bidang perfileman tempatan sebenarnya mula berkembang dengan adanya sokongan dari penggiat industri seni seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS).

Hakikatnya, wanita menjadi tarikan utama dalam filem dan menjadikan mereka juga memainkan peranan penting dalam industri ini.

"Pembabitan wanita dalam dunia pembikinan filem seharusnya membuka mata masyarakat dan peneraju industri ini memandangkan wanita juga mempunyai kekuatan tersendiri dalam menyampaikan pesanan," katanya.

Kata Amanda, peluang harus terbuka lebih luas untuk membolehkan wanita turut mengetengahkan bakat dan idea membolehkan mereka berjaya.

"Industri perfileman sering dilihat sebagai 'Kelab Lelaki' dan membuatkan pembabitan wanita dalam industri perfileman kurang diiktiraf bukan sahaja di negara ini, tetapi banyak negara termasuk Hollywood.

"Oleh itu, sebagai peneraju dalam proses pembikinan sesuatu filem, individu harus lebih terbuka dalam meneroka pembabitan gender dalam memperkembangkan pasaran industri seni tempatan," katanya.

300 dibaca
Berita Harian X