Isnin, 21 Ogos 2017 | 5:12pm
PENINJU Malaysia, Muhamad Fuad M Ridzuan memenangi acara tinju kategori 49kg lelaki Sukan SEA KL2017 selepas menewaskan peninju Filipina, Carlo Paalam di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC). - Foto Muhaizan Yahya

Guna YouTube resepi kemenangan Muhamad Fuad

KUALA LUMPUR: Pelajari gerakan lawan menerusi laman YouTube.

Itu antara resepi kemenangan yang diakui peninju Malaysia, Muhamad Fuad Mohd Redzuan selepas menang pusingan awal kategori light fly 49 kilogram, sebentar tadi.

Peninju berusia 26 tahun itu berjaya mengalahkan lawannya dari Filipina Carlo Paalam dengan kiraan mata 29-28 pada pusingan awal Sukan SEA ke-29.

Menurutnya, dia yang dibantu oleh jurulatih melakukan 'kerja rumah' sejak Sabtu lalu untuk meneliti gerakan lawan menerusi rakaman perlawanan pesaingnya sebelum ini.

"Perlawanan hari ini menjadi lebih mudah dengan adanya bantuan rakaman perlawanan lawan terutamanya pusingan pertama.

"Pada pusingan kedua, lawan cuba menukar corak gerakan membuatkan saya mengalami kesukaran. Tapi sebaik pusingan ketiga bermula saya kembali mendapat rentak dan berjaya mengatasinya," katanya.

Muhamad Fuad berkata, dengan kemenangan ini dia menjadi semakin yakin dan berharap mampu menjulang pingat emas untuk negara.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, semangat yang ada pada peninju negara itu cukup menyakinkan dan beliau percaya Muhamad Fuad mampu memburu pingat emas.

2091 dibaca
Berita Harian X