Isnin, 21 Ogos 2017 | 8:20am
Pendaki gunung wanita, (dari kiri) Fairul Asmaini Mohd Pilus, Fazilah Abdul Manan, Rene'e Aziz Ahmad, Nurul Huda Shamsuddin, Nir Azmin Adnan dan Ummu Farah Haidar Zulkifli (kanan). - Foto NSTP/Aziah Azmee

Pesakit kanser mahu tawan puncak Elbrus

KUALA LUMPUR: Menginjak usia emas bukan penghalang bagi seorang pesakit kanser payudara menyertai misi Kembara Srikandi Prihatin Negaraku (KSPN).

Sebaliknya, Rene'e Aziz Ahmad, 56, begitu optimis mahu mencipta rekod menakluki Gunung Elbrus, di Russia setinggi 5,642 meter, pada 25 Ogos ini.

Bersama lima lagi pendaki muda wanita yang rata-rata berusia 30-an, Rene'e tidak gentar menyahut cabaran itu dan yakin dapat menyempurnakan pendakian ke puncak Gunung Elbrus.

Beliau berkata, pengalaman menyertai ekspedisi mendaki gunung sebelum ini sebagai ukuran dan memudahkan beliau berhadapan dengan situasi sukar meskipun setiap pendakian ada cabaran tersendiri.

"Saya akur bukan mudah menawan puncak gunung tertinggi di Eropah ini apatah lagi ia termasuk dalam senarai tujuh puncak tertinggi di dunia.

"Pengalaman menakluki Gunung Kilimanjaro, Tanzania lebih tinggi dari Gunung Elbrus, kira-kira 17 tahun lalu sedikit sebanyak dijadikan panduan bagi menjayakan misi," katanya ketika mengunjungi Balai Berita, baru-baru ini.

Beliau bersama lima peserta yang akan mengikuti ekspedisi mendaki Gunung Elbrus menerusi projek Persatuan Kembara Negara sempena Hari Kemerdekaan Malaysia ke-60 dan sempena Hari Wanita Kebangsaan tahun ini.

Bercerita pengalaman sebelum ini, Rene'e berkata, percubaan pertamanya mendaki Gunung Kinabalu pada tahun 2000 menunjukkan kemampuannya berbuat demikian dan berpuas hati dengan pencapaian berkenaan.

Katanya, beliau mula jatuh cinta dengan aktiviti mendaki gunung sebelum disahkan menghidap kanser payudara.

"Saya hilang semangat dan semakin hilang kecergasan selepas menjalani pembedahan membuang sebelah payudara. Saya perlu menjalani lapan sesi kemoterapi yang menjadikan tubuh lesu dan tidak bertenaga," katanya yang masih bujang.

Rawatan terbabit membuatkan Rene'e menghentikan aktiviti mendaki gunung sehingga berat badannya naik 20 kilogram (kg) dalam tempoh sembilan bulan berbanding berat sebelum ini 60 kg.

Demi menjaga kesihatan dan keazaman kuat, beliau yang masih bertarung dengan penyakit itu dan cuba melupakan kesakitan dideritai serta mengambil keputusan untuk aktif semula dengan hobi mendaki gunung dicintai.

Selain kanser payudara, beliau turut disahkan menghidap ketumbuhan kelenjar parotid sejak tiga tahun lalu.

"Beberapa tahun lalu, saya mencabar diri mendaki gunung Kilimanjaro di Tanzania yang puncaknya diisytiharkan keempat tertinggi di dunia menerusi ketinggian 5,895 meter. Berkat kesabaran, saya bersyukur mampu menyudahkan pendakian hingga ke puncaknya," katanya.


Pendaki gunung wanita, (dari kiri) Fairul Asmaini Mohd Pilus, Fazilah Abdul Manan, Nir Azmin Adnan, Ummu Farah Haidar Zulkifli, Rene'e Aziz Ahmad (dua kanan), Nurul Huda Shamsuddin (kanan). - Foto NSTP/Aziah Azmee

Ditanya mengenai persiapannya mendaki Gunung Elbrus, Rene'e mengambil masa kira-kira setahun membuat persediaan mental dan fizikal untuk berdepan cabaran berkenaan.

"Cuaca diramalkan -14 darjah Celsius sepanjang Ogos. Oleh itu, saya cuba mengekalkan kesihatan dan meningkatkan stamina dengan melebihkan pengambilan makanan karbohidrat," katanya.

Bagi mendapatkan gambaran jelas mengenai tahap kesukaran pendakian dan ingin memahami latar geografi gunung berkenaan, beliau banyak melayari internet selain menonton YouTube berkenaan tempat itu.

"Meskipun, pengalaman mendaki Gunung Kilimanjaro mampu memberi bayangan dan panduan melengkapkan ekspedisi ini, namun saya perlu memahirkan diri dan bersedia dengan segala kemungkinan dan risiko," katanya.

Rene'e mendapatkan khidmat jurulatih peribadi bagi memantau tahap kecergasan dan lain-lain bagi memastikan semuanya sempurna.

"Untuk menguatkan otot kaki dan tangan, saya banyak melakukan latihan berenang. Baru-baru ini, pasukan kami cuba membiasakan diri dengan altitud tinggi dengan mendaki Gunung Kinabalu sebelum ke Cameron Highlands bagi menyambung sesi latihan," katanya.

Meskipun mempunyai rekod mendaki hampir 10 gunung di dalam dan luar negara antaranya Gunung Angsi, Berembun, Rinjani di Barat Nusa Tenggara, Maccu Picchu di Peru dan Himachel Pradash di India, ia belum memadai menjamin kejayaan menawan puncak Elbrus.

"Pelbagai kemungkinan berlaku selepas anda menjejaki ketinggian 3,000 meter. Kelincahan dan kepantasan seawal pendakian mampu menjadi halangan terbesar apabila kehilangan tenaga dan stamina apabila pendakian semakin tinggi.

"Fikirkan cara untuk mengekalkan momentum yang mampu membawa ke puncak meskipun untuk tempoh yang lama," katanya.

Info: KSPN

  • Projek di bawah naungan Persatuan Kembara Negara.
  • Sempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-60.
  • Sempena genap 10 tahun Merdeka De' Everest.
  • Ilham tercetus sempena Hari Wanita Kebangsaan pada 25 Ogos tahun lalu.
  • Mahu mengibarkan Jalur Gemilang dan menyanyikan lagu Negaraku di atas Gunung Elbrus.
  • Enam peserta menyertai ekspedisi ini.
519 dibaca
Berita Harian X