Isnin, 14 Ogos 2017 | 7:33pm
Naim Mokhtar

'Imej, reputasi Islam lebih utama'

BANGI: Percanggahan pendapat mengenai anak tidak sah taraf, sama ada boleh dibinkan kepada bapa kandung, bukan sekadar untuk menjaga maruah anak berkenaan, sebaliknya bertujuan memelihara imej dan reputasi Islam secara  keseluruhannya.

Ketua Hakim Syarie Selangor, Datuk Dr Naim Mokhtar, berkata pertikaian mengenai anak tidak sah taraf perlu dilihat lebih menyeluruh kerana ia membabitkan isu lebih besar, termasuk nasab, harta pusaka, wali dan aurat anak berkenaan.

Katanya, berbeza dengan stigma masyarakat yang sering mengaitkan isu malu terpaksa ditanggung anak berkenaan, Islam sebenarnya melihat perkara itu secara lebih luas, termasuk reputasi agama dan hubungan anak terbabit.

"Pada pandangan saya, Majlis Fatwa Kebangsaan secara jelas dan konsisten memperuntukkan anak tidak sah taraf tidak boleh dibinkan bapa.

"Ia untuk memastikan maruah keluarga terus terpelihara dengan mengambil kira semua perkara yang sudah diperhalusi, termasuk soal nasab," katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Bicara Persada Ke-38 bertajuk 'Anak Tak Sah Taraf: Melindungi Maruah Wanita atau Mematuhi Syariah'.

Program itu dianjurkan Jabatan Canselori dengan kerjasama Institut Islam Hadari dan Pusat Kepimpinan Wanita, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, hari ini.

Turut menjadi panel adalah Pensyarah Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan Fakulti Pengajian Islam UKM, yang juga Felo Kanan Institut Islam Hadhari, Prof Madya Dr Fariza Md Sham (UKM) dan Pensyarah Fakulti Pengajian Islam UKM, Prof Madya Dr Zaini Nasoha.

Majlis dirasmikan bekas Profesor Fakulti Pengajian Islam dan Institut Islam Hadhari (UKM), Datuk Zakaria Stapa.

Naim berkata, statistik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sejak empat tahun lalu menunjukkan bilangan anak tidak sah taraf mencecah 74,723 orang.

"Angka yang besar ini menunjukkan jumlah peningkatan kes yang tinggi dan kita perlu memperhalusinya dengan sewajarnya," katanya.

Naim juga meminta masyarakat menghormati dan menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung penggunaan nama Abdullah sebagai bin atau binti, anak tidak sah taraf.

Katanya, sebarang pindaan terhadap pelaksanaan semasa hanya akan dipertimbangkan selepas keputusan Mahkamah Persekutuan berikutan pihaknya memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan membabitkan keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan anak tidak sah taraf boleh `dibin' atau `dibintikan' bapanya.

Sebelum ini, Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan anak tidak sah taraf, iaitu yang lahir kurang enam bulan dari tarikh perkahwinan, tidak boleh dibin atau dibintikan kepada nama bapa anak itu atau individu yang mendakwa ayah kepada kanak-kanak berkenaan.

Bagaimanapun, keputusan Mahkamah Rayuan  baru-baru ini, membenarkan anak tidak sah taraf boleh dibin atau bintikan kepada bapanya, bertentangan dengan Garis Panduan Penamaan dan Kedudukan Anak Tidak Saf Taraf Dari Segi Syarak yang diputuskan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) pada 25 Jun 1998.

Keputusan Mahkamah Rayuan itu menimbulkan polemik dan keresahan dalam kalangan umat Islam, ulama dan ahli perundangan Islam.

327 dibaca
Berita Harian X