Khamis, 3 Ogos 2017 | 12:59pm
FOTO hiasan.

Medan sosial bukan gelanggang bergaduh

MELEWATI laman sosial, membaca luahan hati suami atau isteri yang mengaku dirinya konon teraniaya dek perbuatan pasangan masing-masing, bukan sesuatu yang aneh.

Soal 'membuka pekung di dada' tidak lagi menjadi sesuatu yang memalukan, asalkan niat hati untuk menceritakan keburukan pasangan sudah terlaksana.

Kisah memburukkan pasangan semakin menampakkan celanya, apabila rakan memberikan komen, turut berperanan sebagai kaunselor tidak berdaftar melontar pelbagai reaksi dan pandangan yang adakalanya tidak masuk akal.

Pengarah Akademi Keluarga Fitrah, Isfadiah Mohd Dasuki, berkata media sosial seharusnya dimanfaatkan untuk membina hubungan baik dengan suami isteri, bukannya disalah guna untuk memburukkan antara satu sama lain.

Katanya, individu yang suka memburukkan pasangan di laman sosial tidak mempunyai keyakinan diri.

"Ini kerana mereka menagih perhatian tetapi bagi mendapatkan sokongan daripada rakan dan meminta simpati serta rasa puas hati apabila ada yang respon," katanya.

Jika ditinjau dalam laman sosial ramai tanpa rasa bersalah atau malu, berkongsi cerita itu dengan rakan di media sosial. Memburukkan masalah apabila ada 'page' untuk kumpulan diwujudkan semata-mata meluahkan rasa sedemikian.

Segelintir pasangan saling tuduh menuduh dan menceritakan untuk kepentingan sendiri.

Baiki hubungan secara positif

Isfadiah berkata, barangkali ramai berpandangan jodoh di tangan Tuhan, namun cara memburukkan pasangan di laman sosial lebih memberikan impak negatif.

"Memburukkan pasangan tidak banyak membantu memperbaiki hubungan pasangan yang berada di ambang kehancuran kerana ia bukan saja boleh menyebabkan pasangan semakin benci, lebih teruk lagi sekiranya pasangan enggan berubah kerana tersinggung dengan perbuatan itu.

"Sekiranya kita benar-benar sayangkan hubungan itu perlu cari penyelesaian dengan berbincang dan bukannya menghentam di media sosial," katanya.

Isfadiah berkata, dari segi psikologi ada segelintir pengguna media sosial yang ketagih 'like' di mana mereka akan gembira sekiranya perkara atau isu dimuat naik mendapat banyak 'like' manakala akan berduka kalau langsung tidak mendapat komen atau 'like'.

Berkongsi cerita buruk pasangan di laman sosial, sama seperti kita duduk di tengah pasar dan menunggu reaksi orang ramai.

"Kita boleh berkongsi masalah rumah tangga, tetapi kita perlu tahu kita patut berkongsi dengan siapa. Tempat rujukan perlu sesuai, bukan sebarangan orang," katanya.

Pasangan umpama pakaian

Isfadiah berkata, dalam Islam, pasangan umpama pakaian dan seharusnya menjaga imej itu.

"Kalau pakaian kita koyak, tampal dan kalau busuk dibasuh. Itu umpama kehidupan kita dan tidak patut dedahkan sebaliknya tangani sesuatu masalah," katanya.

Ketika berhadapan krisis rumah tangga, beliau menasihati suami isteri menganggap ia sebagai ujian daripada Allah.

"Rendahkan hati dan senaraikan keburukan pasangan dan tulis penyelesaiannya. Kita pun bukan sempurna. Kalau kita benar-benar ingin memperbaiki, cari penyelesaiannya,"

Beliau berkata, individu tidak seharusnya menyokong perbuatan itu dengan memberikan komen atau 'like', sebaliknya membiarkan saja seolah-olah tidak ada apa yang berlaku.

"Kalau kita betul-betul ingin membantu, jangan tunjukkan reaksi kerana ia akan menyebabkan individu berkenaan semakin galak atau menjadi-jadi," katanya.

Isteri dianggap nusyuz

PENGERUSI Majlis Perundingan Wanita Islam Malaysia (MPWIM), Prof Datuk Noor Aziah Awal, berkata isteri yang memuat naik status di media sosial hingga mendatangkan aib kepada suami berkemungkinan besar boleh dianggap nusyuz dan ingkar kepada suami.

Isteri perlu menjaga maruah diri, suami dan keluarga manakala isteri yang nusyuz tidak berhak mendapat nafkah edah sekiranya diceraikan.

Katanya, sebarang status boleh bercetak dan dijadikan bukti pendakwaan untuk dibawa ke mahkamah.

"Bukti itu boleh diklasifikasikan di bawah banyak perkara, sama ada pembohongan, fitnah, merendahkan maruah pasangan dan sebagainya yang mana kalau dibuktikan sebagai benar" katanya.

Jadi bahan bukti

Noor Aziah berkata, sama ada untuk isteri atau suami, tidak ada faedahnya memburukkan aib pasangan di media sosial kerana kalau benar mahu menyelesaikan masalah rumah tangga, mereka perlu mendapatkan bantuan kaunselor.

"Jaga tertib di laman sosial kerana semua itu adalah bukti yang boleh dicetak dan di bawa ke mahkamah. Tidak kira orang biasa atau selebriti, hal rumah tangga tangani secara bijaksana," katanya.

Info

Perkahwinan:

* Faham konsep perkahwinan di mana setiap pasangan perlu tahu tanggungjawab masing-masing

* Ikhlas menerima pasangan tetapi pada masa sama masing-masing perlu mencuba memperbaiki kekurangan masing-masing

* Pasangan bijak adalah mereka yang boleh menjadikan perselisihan atau pertengkaran sebagai wadah mewujudkan hubungan lebih baik

* Sekiranya tidak boleh berbincang berdua dengan pasangan, dapatkan bantuan pihak ketiga seperti kaunselor dan bukan orang luar yang boleh mengeruhkan lagi keadaan seperti rakan di media sosial atau ibu bapa

256 dibaca
Berita Harian X