Ahad, 1 April 2018 | 6:28pm
DATUK Seri Dr Jeyaindran Sinnadurai hadir pada sesi dialog BAYER di Sheraton Hotel, Petaling Jaya. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Warga emas hidup sendiri

PETALING JAYA: Lebih ramai warga emas dijangka tinggal bersendirian dalam tempoh dua dekad akan datang berikutan golongan muda kini gemar tinggal berasingan dengan keluarga.

Walaupun tinggal di bandar sama dengan ibu bapa, pada masa ini kira-kira 70 peratus daripada mereka gemar menyewa atau membeli kediaman sendiri.

Aliran ini juga disebabkan tuntutan tugas terutama di luar kawasan penginapan atau selepas mendirikan rumah tangga.

Timbalan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Dr Jeyaindran Sinnadurai, berkata

warga emas yang tinggal bersendirian berdepan beberapa kesulitan terutama berkaitan pergerakan walaupun mereka sihat secara mental.

"Menjelang tahun 2050, rakyat Malaysia berusia 60 tahun dijangkakan mencapai 23.6 peratus. Peningkatan ini menyebabkan negara berdepan cabaran infrastruktur bagi memenuhi keperluan warga emas.

"Mereka memerlukan sokongan daripada keluarga untuk menjalani kehidupan harian kerana ramai mengalami penyakit khususnya tidak berjangkit seperti darah tinggi dan kencing manis," katanya.

Beliau berkata demikian pada Dialog Penuaan 2018; Populasi Warga Tua Malaysia dan Nilai Inovasi Kesihatan anjuran syarikat pengeluar ubat terkemuka Bayer Co. (Malaysia) Sdn Bhd dan Persatuan Penuaan Sihat Malaysia (MHAS).

Bilangan warga emas berusaha 60 tahun ke atas semakin bertambah daripada 1.4 juta (6.2 peratus) kepada 4.9 juta (13.6 peratus) pada tahun 2030.

Pada masa kini negara mencatatkan lapan peratus warga emas dan hanya dua mata saja sebelum menjadikan kita masyarakat tua.

"Kita memerlukan akta baharu bertujuan menjaga golongan berusia 65 tahun ke atas yang masih sihat. Ini bagi memastikan kebajikan mereka diberi perhatian khusus. Perlu ada sistem bertujuan mengingatkan mereka supaya makan ubat pada waktunya dan pengambilan diet sempurna.

"Golongan ini tidak semestinya tinggal di pusat jagaan kerana mereka masih boleh berdikari. Pada masa sama kerajaan perlu menyediakan khidmat tambahan memastikan kesejahteraan mereka terjamin..

"Perlu disediakan kemudahan penjaga yang boleh datang memantau keadaan mereka atau tinggal di dalam satu tempat dilengkapi infrastruktur sesuai dengan keperluan warga emas," katanya.

Presiden MHAS, Prof Dr Philip George, berkata dengan jumlah keluarga semakin mengecil, jangka hayat semakin panjang, wanita perlu keluar bekerja dan tempat kerja yang jauh.

Keadaan ini kata beliau, menyukarkan ahli keluarga untuk menjaga warga emas yang perlukan pemerhatian khusus.

"Berdasarkan kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada tahun 2010, mendapati seorang daripada tiga warga emas berusia 60 tahun ke atas terabai dan tiada sokongan pendapatan daripada anak masing-masing.

"Ini kerana jumlah ahli keluarga semakin mengecil dan saiz isi rumah merosot akibat penurunan kesuburan dalam kalangan masyarakat hari ini," katanya.

Info:

*Definisi penuaan yang sihat:

- Mampu meneruskan aktiviti harian tanpa bergantung harap kepada individu lain

*Fungsi perlu dikekalkan apabila berusia:

- Pergerakan aktif

- Kognitif (pemikiran)

- Imunisasi (cegah penyakit)

- Produktif

*Usaha menambah baik khidmat Kementerian Kesihatan:

- Proses penghantaran ubat

- Penjagaan pesakit

*Penyakit yang menghalang warga tua menjalani kehidupan aktif:

- Kencing manis

- Tekanan darah tinggi

- Obesiti

- Barah

- Alzheimer

- Masalah kesihatan gigi

*Jumlah pakar geriatrik (penyakit berkaitan orang tua) di Malaysia:

-30 orang

673 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »