Khamis, 25 Januari 2018 | 7:34am
KETUA Operasi Agihan Zakat Daerah Sepang, Mohd Nur Fadli Yohman semasa menerima borang permohonan bantuan zakat daripada Zania Nudi (kanan) di Taman Warisan Permai, Kota Warisan. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor.

Kes pertama asnaf bantu asnaf

 

KUALA LUMPUR: Lembaga Zakat Selangor mengesahkan pengorbanan ibu tunggal, Zania Nudi, membantu golongan asnaf termasuk wanita teraniaya adalah kes pertama dilaporkan di negeri ini.

Ketua Operasi Agihan Daerah Sepang, Mohd Nur Fadhli Yohman, berkata keprihatinan Zania, 57, seharusnya membuka mata masyarakat walaupun dia juga tergolong dalam kategori asnaf.

"Ia kes pertama di Sepang. Meskipun dia penerima asnaf dan kehidupannya miskin, tetapi sanggup membantu asnaf lain atas sebab tanggungjawab dan nilai sosial dalam masyarakat.

"Membantu golongan asnaf adalah wajib. Sehubungan itu, pihak Lembaga Zakat Selangor daerah Sepang turut memberi bantuan menyeluruh sehingga mereka mampu keluar dari garis kemiskinan.

"Pengorbanan Zania amat dihargai, malah anak tunggalnya sanggup menangguhkan pengajian di kolej dan membatalkan hasratnya menyertai Cybergames kerana menyedari kekangan kewangan mereka ketika ini," katanya kepada BH.

Hari ini, BH melaporkan mengenai pengorbanan Zania yang menerima lebih 50 golongan asnaf termasuk wanita teraniaya di kediamannya, di Kota Warisan, Sepang, sejak dua dekad lalu meskipun dia juga masih dikategori dalam asnaf.

Ibu pada anak berusia 19 tahun itu adalah tutor persendirian dengan pendapatan tidak menentu sedia berbakti menjadi pelindung kepada individu pelbagai latar belakang seperti mualaf, anak yatim piatu, wanita didera suami, mangsa rogol yang hamil dan warga emas disisih keluarga.

Mohd Nur Fadhli berkata, beliau yang membuat lawatan di kediaman Zania bersama Eksekutif Operasi Agihan Sepang, Naszari Abdullah, baru-baru ini turut menerima borang bantuan sara diri untuk tiga kanak-kanak asnaf di bawah jagaannya.

"Selain bantuan sara diri, kami menyalurkan bantuan secara menyeluruh termasuk separuh pembayaran sewa rumah secara bulanan bagi meringankan bebannya.

"Melihat situasi itu dengan Zania yang tiada pendapatan tetap, mungkin dijangka mengambil masa yang lama untuk keluar daripada garis kemiskinan. Saya memanfaatkan sebaiknya bantuan diberi termasuk membantu orang yang sama-sama memerlukan," katanya.

 

Beliau berkata, Lembaga Zakat Selangor mengagihkan kira-kira RM8.5 juta kepada 2,005 keluarga asnaf di daerah Sepang.

Sebelum ini, pihaknya menerusi Skuad Jejak Asnaf, mengesan 225 keluarga yang layak menerima bantuan. Setakat ini, 52 keluarga asnaf berjaya keluar daripada garis kemiskinan.

597 dibaca
Berita Harian X