Khamis, 14 Disember 2017 | 7:46am
SEBAHAGIAN warga emas menggunakan perkhidmatan yang disediakan di rumah PAWE.- Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
PUSAT Aktiviti Warga Emas (PAWE) Lingga, Kembara Batang Lupar.Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
Timbalan Ketua Setiausaha Strategik Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakt, Azman Yusoff (depan kanan) dan Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Kebajikan Masyarakat, Zulkifli Ismail (depan dua kiri) menanam pokok sempenan lawatan ke Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Lingga pada Kembara Batang Lupar 2017 baru-baru ini.- Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Manfaat pusat sehenti untuk warga emas

LINGGA: Sesuai dengan objektif memanfaatkan masa terluang dalam kalangan warga emas khususnya wanita menyertai aktiviti berfaedah, pembinaan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), sememangnya ditunggu penduduk sekitar Kampung Tengah, di sini.

Timbalan Pengarah Operasi, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Zulkifli Ismail, berkata pusat sehenti itu menyediakan aktiviti dan program secara percuma untuk kumpulan sasarnya dalam kalangan warga emas, berusia 60 tahun dan ke atas.

Katanya, PAWE adalah persediaan dalam menghadapi status negara tua menjelang 2035.

Justeru, antara pengisian program menjurus kepada aspek keagamaan, rekreasi, terapi dan pemulihan, pemeriksaan kesihatan dan latihan bersesuaian.

"Kita tidak mahu menempatkan warga emas di pusat penjagaan orang tua, berikutan kebanyakan mereka masih kuat dan mampu berdikari.

"Sebagai contoh, ada pesara guru buka kelas tuisyen untuk murid dan pelajar. Masa terluang boleh dimanfaatkan melakukan sesuatu berfaedah," katanya ditemui ketika kunjungan Kembara Batang Lupar 2017, anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan Pejabat Parlimen Batang Lupar, Sarawak, baru-baru ini.

Zulkifli berkata, sejak beroperasi empat tahun lalu, PAWE memberi manfaat kepada 154 warga emas.

"Kewujudan pusat ini membantu mengurangkan kemungkinan anak menghantar ibu bapa mereka ke rumah orang tua.

"Pada masa sama, ia mengelak warga emas daripada kesunyian dan tidak melakukan sebarang aktiviti di rumah ketika anak keluar bekerja" katanya.

PAWE yang beroperasi di premis kediaman dilengkapi peralatan senaman, pentas acara, dapur dan selain ruang kosong yang selalunya dijadikan tempat untuk menjalankan aktiviti seperti mengaji.

Pengalaman empat tahun sebagai Pembantu Penyelaras PAWE Lingga, Habibah Bujang, 56, seronok melayani warga emas sambil menjalani tugasan memasak, mencuci pinggan mangkuk, menyiram pokok bunga dan menemani warga emas melakukan aktiviti di situ.

Beliau memulakan rutin kerja pada jam 8 pagi hingga 4.30 petang, sebati dengan kerja berkenaan malah menganggap warga emas di situ sebagai ibu bapa sendiri.

"Saya tinggal di kawasan berhampiran hanya 10 minit naik basikal. Dengan elaun harian RM350 sebulan, ia menampung keperluan harian. Saya sudah terbiasa membuat kerja. Sebelum ini saya kerja kilang. Bila berhenti saya rasa perlu menyumbang kepada masyarakat," katanya.

Aishah Abang Sulaiman, 72, antara pengunjung setia PAWE, menyertai aktiviti dianjurkan di situ hampir setiap hari.

"Aktiviti di sini antara cara saya meluaskan pergaulan dan silaturahim. Daripada duduk tidak buat apa-apa di rumah, lebih baik saya ke sini. Lagipun rumah tidak jauh daripada tempat ini. Anak yang selalu bawa saya ke sini," katanya.

Beliau yang menetap di Kampung Masjid, hanya mengambil masa 20 minit berjalan untuk ke PAWE Lingga.

Aishah menyifatkan PAWE sebagai usaha bijak dalam membangunkan nilai positif dalam diri warga emas.

"Usia hanya angka kerana setiap warga emas ada potensi untuk dibangunkan serta mereka bukan bebanan pada anak atau negara," katanya.

419 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »