Sabtu, 9 September 2017 | 9:00am

Dee Dee ikon kesihatan dan kecergasan Asia


DEE Dee Mahmood. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

KUALA LUMPUR : Kepakaran dan rekod cemerlang dalam bidang kesihatan, kecergasan dan kecantikan menjadi pencetus kepada Dee Dee Mahmood, 53, merintis pelbagai program kesihatan dan pendidikan kesihatan di dalam dan luar negara.

Beliau adalah individu yang bertanggungjawab mewujudkan pelbagai program kesihatan dan kecergasan dengan kerjasama beberapa negara di Asia, khususnya Indonesia, Singapura dan Australia.

Kerja keras lebih 22 tahun dalam bidang itu melayakkannya menjadi panel penasihat dan menerima anugerah Asia Beauty & Wellness Awards 2017, pada awal bulan lalu yang dianjurkan Murfest dan Hitman Solutions Live Sdn Bhd, yang juga penganjur SME & Entrepreneurship Business Award.

Ekoran penganugerahan itu, beliau diberi tanggungjawab memilih ikon bidang kecergasan kecantikan serantau membabitkan badan korporat dan persendirian dari seluruh Asia.

Kepakaran dan pengalaman sebagai pakar Perunding dan tenaga pengajar di beberapa universiti seperti di Universiti Malaya (UM) dan International Sports Academy, United States Sports Academy di Singapura antara kriteria dinilai bagi melayakkan beliau dipilih sebagai penerima anugerah itu.

Kajian peringkat ijazah kedoktoran berkaitan obesiti dihasilkan beliau dengan kerjasama Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Singapura, tahun lalu antara yang menarik perhatian dunia.


DEE Dee terpilih sebagai duta Reebok Malaysia. - Foto ihsan pembaca

Kajian itu dijalankan sebagai inisiatif beliau bagi menggalakkan semua wanita di negara ini meningkatkan tahap kesuburun yang semakin merudum akibat obesiti dan tidak mengamalkan gaya hidup sihat.

Dee Dee berkata, statistik Penyelidikan Kesihatan & Morbiditi Kebangsaan 2015, mendapati wanita Malaysia mencatat kadar obesiti tertinggi di negara Asia, iaitu sebanyak 49 peratus.

Hasil kajian itu turut meraih perhatian Presiden America College of Sports Medicine North-West Chapter, Prof Dr Eli Lankford yang melayakkan ia menjadi sebagai satu-satunya kajian yang memberi impak kepada kepentingan menangani obesiti di Asia.

Beliau yang juga Ahli Akademik Adjunct Edith Cowan University, Australia, berkata banyak program disediakan menggalakkan wanita mengamalkan gaya hidup sihat termasuk program permainan Bola Sepak Berjalan (Walking Football) dengan kerjasama UM dan Edith Cowan University Australia, pada April lalu.

"Program itu bertujuan mempromosi dan menggalakkan penjagaan kesihatan wanita dengan kaedah lebih santai. Program sama juga akan diadakan di Indonesia, hujung tahun ini,

"Pelancaran program itu pada April lalu dimulakan dengan perlawanan persahabatan di antara Malaysia (Tiger d'Warriors Malaysia) dan Singapura (Lion Angels Singapore)," katanya kepada BH ONLINE.

Dee Dee juga menyediakan program Fat2Fit di Asia sejak 2013 lalu yang disertai hampir 3,000 wanita di Malaysia, Singapura dan Indonesia bertujuan menurunkan berat badan sehingga 25 kilogram.


DEE Dee (kanan) menerima anugerah UM Cares Award di Universiti Malaya. - Foto ihsan pembaca

Kelab larian bersama Dee Dee' akan dilancarkan tidak lama lagi bagi memberi kesedaran mengenai kepentingan larian untuk penjagaan kesihatan yang baik untuk wanita.

Pada masa sama, beliau mengadakan siri ceramah meningkatkan kesedaran mengenai pendidikan kesihatan membabitkan organisasi korporat di dalam dan luar negara.

"Semangat membantu lebih ramai wanita untuk sihat selepas saya sendiri pernah gemuk dengan berat 95 kilogram (kg) sehingga menyebabkan kemurungan, kurang keyakinan diri dan mengasingkan diri daripada masyarakat. Sekarang berat badan saya 49 kg.

"Menerusi pelbagai program dibuat, saya yakin dapat membantu lebih ramai wanita keluar daripada masalah kesihatan ," katanya.

839 dibaca
Berita Harian X