Khamis, 17 Ogos 2017 | 4:21pm
GAMBAR kenangan bapa tunggal, Zubayry Abday bersama allahyarham isterinya, Noraiza Che Husin ketika di temui di Taman Muhibbah. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
BAPA tunggal, Zubayry Abday bersama anak-anaknya, Nabila Zahra, 7 (kiri) dan Nadia Zahra Zubayry, 2 ketika di temui di Taman Muhibbah. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
GAMBAR kenangan bapa tunggal, Zubayry Abday dan anak-anak bersama allahyarham isterinya, Noraiza Che Husin ketika di temui di Taman Muhibbah. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

'Curah isi hati di alam maya'

KUALA LUMPUR: Ibarat pelangi ketiadaan warna dan langit suram tidak lagi berbintang, kehilangan insan tersayang kerap mengubah perwatakan diri dalam sekelip mata.

Senyuman semakin tawar, gelak terus hambar. Kehidupan yang indah berubah sekelip mata dan tiada siapa bersedia untuk berdepan kepiluan tidak tertanggung.

Ramai yang berkata masa adalah pengubat luka, namun ia tidak berlaku sehari dua. Semuanya menuntut kesabaran tertinggi dan sewajarnya perlu dicari cara terbaik agar pilu di hati dapat dikongsi dengan cara tersendiri.

Mutakhir ini, laman sosial kerap menjadi pilihan untuk mereka yang melalui kehilangan, meluahkan segala rasa di hati. Kesepian yang diharungi bukan pilihan, justeru catatan kenangan dan imbauan memori lama mungkin boleh memulihkan semangat untuk kehidupan terus diharungi.

Nama bapa tunggal, Zubayry Abady, 43, menjadi sebutan netizen selepas memuat naik gambar anaknya berbaring di sebelah jenazah isterinya, Noraiza Che Husin, 39, yang meninggal dunia akibat kanser paru-paru, Adenocarcinoma, pada 12 Ogos tahun lalu.

Niat Zubayry hanya satu - menyatakan dedikasi cinta terhadap wanita tersayang yang melengkapkan mereka sebagai sebuah keluarga.

Katanya, tindakan itu tidak lebih daripada perkongsian kenangan dan kisah duka bersama rakan di laman sosial Facebook.

Tegasnya, ia sama sekali tidak bermaksud untuk meraih simpati, namun lebih kepada menyatakan perkembangan kehidupan bersama tiga anaknya, Nabil Zikry Zubayry 10; Nabila Zahra, 7; dan Nadia Zahra, 2.

"Saya rasa lebih tenang dan dapat melepaskan tekanan apabila rakan memberikan sokongan. Saya tidak rasa apa yang saya kongsikan keterlaluan, malah sehingga saat ini, tidak banyak saya yang kongsi mengenai kisah isteri kerana saya semakin dapat menerima hakikat ketiadaannya," katanya kepada BH Online.

Beliau berkata, catatannya mendorong insan lain tanpa mengira kaum atau jantina, berkongsi video dan luahan rasa kesedihan kerana turut mengalami pengalaman sama.

Zubayry mengakui akan kuasa media sosial hingga menjadikan paparannya itu tersebar luas - jauh bertentangan dengan niat asalnya yang mahu berkongsi isi hati kerana menyedari ia bukan sesuatu yang sedia dilakukan oleh masyarakat terbanyak.

"Terpulanglah kepada masing-masing untuk merawat sepi di hati. Selain laman sosial, saya mengabdikan kisah kasih saya terhadap Allahyarham isteri dengan menulis novel bertajuk 'Aku, Nora dan Adenocarcinoma' serta 'Abah Hero Saya'" katanya.

Zubayry mengakui kesukaran menerima hakikat pemergian insan tersayang dan mengambil kira-kira setengah tahun untuk kembali tenang.

Dalam membantu memberikan sokongan, beliau menyarankan ahli keluarga sentiasa bertanya khabar dan meneliti perubahan sikap ditunjukkan kerana penerimaan individu adalah berbeza.

"Saya bernasib baik kerana mendapat sokongan keluarga. Paling utama, anak adalah kekuatan untuk saya bangkit dan meneruskan hidup dengan positif," katanya.

Semakin kurang berkongsi cerita kenangan bersama arwah isteri di Facebook, Zubayry berkata ia bukan tanda kisah lalu sudah luput daripada ingatan, sebaliknya menandakan sudah cukup kuat dalam menerima ketentuan Allah.

"Saya menukilkan coretan istimewa buat isteri pada tarikh tertentu seperti ulang tahun perkahwinan dan tarikh kematiannya iaitu 12 Ogos lalu.

"Selebihnya kisah hanya biasa membabitkan perkembangan anak dan aktiviti harian," katanya.

Mengulas isu berkenaan, Felo Bersekutu Institusi Islam Hadhari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Fariza Md Sham, berkata individu perlu bijak menangani situasi dan tidak perlu mengikut emosi kerana perlu menjaga adab dalam menghadapi kematian serta maruah si mati.


FARIZA Md Sham

Fariza yang juga Pensyarah di Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan Fakulti Pengajian Islam UKM, berkata ahli keluarga memainkan peranan membantu dan memberi sokongan.

Secara umum, katanya, individu gemar meluahkan perasaan kepada orang lain.

"Justeru, ada baiknya ahli keluarga membantu dalam menasihati bagaimana untuk meredakan tekanan dihadapi.

"Tidak manis jika terlalu kerap berkongsi di laman sosial kerana ia terbuka untuk dilihat ramai, sekali gus boleh membawa kepada fitnah dan diambil kesempatan oleh musuh sebagai senjata menjatuhkan kita."

katanya.

Fariza berkata, adalah kurang elok andai terlalu banyak paparan dibuat mengenai pasangan yang sudah tiada.

"Maruah suami adalah maruah isteri dan begitulah sebaliknya. Rakan di laman sosial boleh memberikan komen berbentuk sokongan dan semangat," katanya.

8061 dibaca
Berita Harian X