Sabtu, 15 Julai 2017 | 9:17am
Kedai Koperasi Seri Cempaka antara inisiatif diketengahkan Datuk Normala Abdul Samad untuk meningkatkan ekonomi wanita. - Foto NSTP/Ihsan pembaca

Normala tekad tingkat ekonomi wanita


DATUK Normala Abdul Samad. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

KUALA LUMPUR: Pengalaman lebih 32 tahun dalam bidang pengurusan sumber manusia dan perindustrian menjadikan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Normala Abd Samad lebih prihatin terhadap pembangunan masyarakat khususnya golongan wanita berada pada tahap terbaik.

Matlamat Normala, 54, mahu membantu masyarakat jelas dilihat apabila beliau melaksanakan perubahan dan pembangunan di kawasan Parlimennya termasuk meningkatkan taraf hidup wanita dan ibu tunggal yang berpendapatan rendah.

Sebagai anak jati yang membesar di bumi Johor, beliau begitu 'masak', menyelami, memahami latar belakang sosio-ekonomi kawasan itu, apakah keperluan serta kepentingan penduduknya.

Naluri Normala membela nasib rakyat terlaksana sejak beliau dilantik sebagai ahli Parlimen kawasan itu, pada 2014 sehingga sekarang.

Terbaharu, Normala menubuhkan Kedai Koperasi Seri Cempaka Pasir Gudang Berhad, tahun lalu bagi membolehkan golongan sasar mendapat manfaat dari segi meningkatkan taraf sosio-ekonomi mereka.

Normala yang juga pengerusi koperasi itu, berkata konsep kemasyarakatan dipupuk sejak usia muda diperkukuhkan dengan menyediakan tapak perniagaan pada penduduk di situ terutama wanita dalam kalangan ibu tunggal dan berpendapatan rendah serta sederhana menambah pendapatan.

"Saya mahu memfokus pada pembangunan dan kebajikan wanita. Kedai koperasi ini dapat menggalakkan ibu tunggal menceburi bidang perniagaan bagi menambah pendapatan keluarga selain dapat menangani peningkatan kos sara hidup pada ketika ini," katanya kepada BH.

Kos sara hidup meningkat

Pengerusi Chemical Company of Malaysia Bhd (CCM), berkata kira-kira 70 peratus daripada penduduk di Pasir Gudang adalah golongan berpendapatan sederhana dan rendah. Jadi kedai diusahakan itu bertujuan membuka peluang perniagaan kepada mereka.

Katanya, dengan adanya koperasi berkenaan, usahawan wanita berniaga dengan kos sewa serendah RM3.50 sehari.

"Kadar sewa harian rendah dapat membantu usahawan mengurangkan bebanan mencari modal sewa tapak atau mencari kedai.

"Seramai 70 peniaga kecil yang kesemuanya wanita sudah mula menikmati hasil daripada pelaksanaan kedai koperasi ini. Bagi mereka yang selama ini berpendapatan kurang RM50 sehari, kini meningkat sehingga RM200 menerusi penjualan pelbagai produk seperti kuih-muih," katanya.

Beliau berkata, kebanyakan bekerja makan gaji dan tidak semua syarikat menawarkan peluang pekerjaan lebihan masa," katanya.

Kedai itu boleh dijadikan sebagai platform untuk menjana pendapatan tanpa memerlukan modul besar sambil menjaga kesejahteraan keluarga sekali gus tidak perlu bekerja lebih masa di pejabat.

Konsep vendor

Normala berkata, kewujudan kedai itu dapat menyediakan ruang perniagaan berkonsepkan vendor lebih holistik dan kukuh untuk membolehkan peniaga kecil memulakan perniagaan.

"Sekiranya wanita mahu membuka kedai masanya sentiasa berbeza dengan sistem diketengahkan kedai koperasi lebih berkonsep vendor.

"Usahawan wanita dalam bidang pemakanan seperti kuih-muih , makanan basah dan kering lebih terdedah bagi mendapatkan peluang meluaskan pasaran mereka apabila ada yang berminat menerima tempahan secara terbuka," katanya

Selain memperluaskan jaringan perniagaan kedai itu juga menggalakkan wanita menyertai kursus koperasi yang menyasarkan sebagai pusat dagangan halal dengan mengeluar produk jenama sendiri.

"Sasaran ini sebahagian daripada kemudahan mengetengahkan rangkaian produk Halal daripada peniaga bertapak di bawah pengurusan.

"Selain itu, ia juga memudahkan proses pengambilan sijil halal dengan mengumpulkan kesemua produk di bawah nama kedai koperasi itu sendiri selain memberikan penjenamaan bagi menembusi pasaran lebih besar," katanya.

Luaskan jaringan produk

Normala berkata, konsep kedai koperasi turut menitik beratkan penghasilan produk halal juga memenuhi permintaan pasaran itu.

"Saya selalu memang menitik beratkan minda tentang sumber pengambilan di makan adalah halal dari segi penyediaan.

"Secara tidak langsung, ia membuka peluang menjana sumber pendapatan yang halal kepada ibu tunggal dan wanita mencari kesenangan untuk keluarganya," katanya.

Normala berkata, kedai itu sebenarnya terbuka kepada semua latar belakang peniaga dan menitik beratkan keseragaman penghasilan produk selain kualiti diketengahkan.

"Peniaga perlu tahu selok-belok pemasaran dan pengurusan perniagaan menjadi asas kepada perkembangan perniagaan dijalankan.

"Mereka perlu memberikan komitmen dengan membuat pemantauan produk sekurang-kurangnya sekali seminggu," katanya.

Selain konsep vendor, kini kedai koperasi dalam perancangan memberi tawaran perkhidmatan penghantaran bagi sesetengah produk diketengahkan peniaga.

"Ia memudahkan suri rumah atau ibu tunggal menjana pendapatan dengan rangkaian pasaran mereka.

"Ketika ini, kami sedang menambah kakitangan yang akan membantu memantau pesanan secara dalam talian yang ditempah pelanggan," katanya.

INFO:

Biodata

Nama: Datuk Normala Abdul Samad

Umur: 54

Asal : Johor

Latar belakang pendidikan : Sijil Latihan dan Pembangunan,

: Sijil Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan (NIOSH),

: Diploma Pengurusan Pentadbiran

: Ijazah Pengurusan Perniagaan

: Sarjana Muda Pengurusan Pentadbiran Perniagaan

Jawatan : Ahli Parlimen Pasir Gudang : sejak 2014 hingga sekarang

: Pengerusi Koperasi Seri Cempaka Pasir Gudang Bhd,

: Pengerusi Chemical Company of Malaysia Bhd (CCM),

461 dibaca
Berita Harian X