Khamis, 13 Julai 2017 | 8:00am
GAMBAR kenangan Etvita, (tengah) bersama keluarga sempena konvokesyen tamat pengajian Tingkatan Enam Kota Kinabalu. - Foto Edmund Samunting
ETVITA memberi tunjuk ajar cara bermain gitar kepada adik bongsunya Aodele Sarapova, 9.

Rahmat jadi 'gadis tahi lalat'


EVITA turut menghadiri sesi uji bakat Miss Universe Malaysia, baru-baru ini.- Foto Edmund Samunting

KOTA KINABALU: Evita Patcey Edgar Delmundo memiliki tompokan hitam dan tahi lalat hampir di seluruh tubuhnya sejak lahir, menerima pelbagai tawaran termasuk dilantik sebagai jurucakap produk kecantikan tempatan dan bakal muncul di stesen televisyen antarabangsa.

Sejak kisah gadis kelahiran Kota Kinabalu itu menjadi viral di media sosial termasuk muka depan sisipan Aura,di BH, Evita kini pula bakal muncul di kaca televisyen di Jepun dan Jerman, pada bulan depan.

Populariti beliau yang mesra disapa Eta juga menarik minat sebuah majalah dari China untuk menampilkan kisah unik mengenai dirinya yang memiliki banyak tahi lalat atau disebut Congenital Melanocytic Nevus.

Tuah 'gadis tahi lalat' berusia 20 tahun itu bagaikan tidak putus-putus apabila turut ditawarkan menjadi jurucakap sebuah produk kecantikan dan pemakanan.

Teruja dapat tawaran

Gadis campuran Rungus dan Filipina itu berkata, beliau mengakui teruja dan gembira selepas menerima pelbagai tawaran terbabit.

"Saya bakal menjadi jurucakap produk kecantikan tempatan, iaitu Neumaxx Plus selepas cerita dilaporkan media, termasuk BH. Saya akan menandatangani kontrak dengan syarikat produk kecantikan di Kota Kinabalu, minggu depan," katanya di sini, semalam.

Anak kedua daripada lima beradik mempunyai ketinggian 162 sentimeter itu pernah digelar raksasa Chipsmore' ketika kanak-kanak. Kini beliau lebih yakin dengan penampilannya, termasuk menghadiri sesi uji bakat Miss Universe Malaysia yang berlangsung di sini, baru-baru ini.

Evita berkata, beliau tidak menyangka mendapat tawaran kali pertama sebagai jurucakap syarikat produk kecantikan dan pemakanan tempatan.

"Syarikat itu menghubungi pengurus saya menyatakan minat melantik saya sebagai jurucakap produk mereka," katanya

"Saya berharap tawaran ini akan membuka lebih banyak peluang dan ruang kepada saya di sebalik keadaan fizikal. Saya juga berharap akan terus maju dan lebih berjaya," katanya.

Walaupun ada masalah kulit tetapi, beliau terharu dan yakin anugerah Tuhan itu pastinya membawa rezeki padanya.

"Apa yang penting saya mahu terus berusaha dan memiliki keyakinan diri," katanya.

Evita bukan saja mahu dikenali dalam bidang peragaan, malah merancang melanjutkan pengajian dalam bidang psikologi dan bercita-cita bergelar pakar motivasi.

Jadi viral satu dunia

Sementara itu, Pengurusnya, Edwin Richard, berkata Evita akan terbabit dalam program dokumentari daripada beberapa stesen televisyen luar negara pada Ogos ini.

"Selepas namanya meniti hingga ke luar negara, pelbagai jemputan kami terima dengan terkini stesen televisyen nasional dari Jepun mahu membuat dokumentari mengenai Evita pada awal Ogos depan. 

"Sebuah majalah dari China iaitu Feminin Magazine sudah menghantar 17 soalan untuk dijawab Evita yang akan dikeluarkan dalam majalah itu. 

"Kami juga dalam proses perbincangan dengan sebuah stesen televisyen dari Berlin, Jerman untuk penggambaran dokumentari," katanya. 

Edwin berkata, selain sokongan akhbar dan majalah tempatan, cerita mengenai Evita turut disiarkan dalam akhbar, majalah dan portal luar negara antaranya Cosmopolitan UK, New York Post dan berita televisyen Russia.

"Apabila berita mengenainya keluar hingga ke peringkat antarabangsa, Evita memberitahu saya dia terkejut kerana menjadi viral satu dunia dan menyatakan semua kena yakin dengan apa dikurniakan Tuhan kerana semua orang berlainan," katanya.

Mengenai keputusan sesi uji bakat Miss Universe Malaysia yang berlangsung di Kota Kinabalu baru-baru ini, beliau berkata, ia akan diketahui pada September ini.

INFO

Nama Penuh: Evita Patcey Edgar Delmundo

Nama Panggilan: Eta

Umur: 20 Tahun

Adik-beradik: Kedua daripada lima beradik.

Cita-cita: Model dan pakar motivasi.

Berita Harian X