Rabu, 16 Mei 2018 | 2:04pm
PEREKA fesyen terkenal Ezuwan Ismail enggan terus larut dengan kecaman dan kritikan netizen terhadap busana rekaannya.

Ezuwan mahu lawan arus

KUALA LUMPUR: Pereka fesyen terkenal Ezuwan Ismail enggan terus larut dengan kecaman dan kritikan netizen terhadap busana rekaannya yang digayakan pelakon Maria Farida baru-baru ini ketika berlangsungnya Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2018 (DFKL2018).

Gaun bercetak yang diinspirasikan daripada jenama antarabangsa Moschino itu benar-benar membuatkan nama Ezuwan hangat ketika ini.

Selain Maria Farida, papa kepada Eisa Zhafran dan Eisa Zaquan itu turut mereka busana untuk dua pasangan suami isteri, Amar Baharin - Amyra Rosli dan Mawar Rashid dan Raf Yaakob yang bertemakan Pop Art untuk lintasan karpet merah di DFKL 2018.

"Jelas mentaliti orang sekarang ini kalau kita buat idea sendiri, tak ada pula yang perasan. Jadi saya sengaja dan sudah bersedia tanggung risiko untuk dikecam netizen. Saya sengaja meniru rekaan itu kerana nampaknya percaturan untuk mengundang perhatian netizen berjaya juga akhirnya. Sebelum ini saya dituduh meniru rekaan baju yang digayakan Nabila Razali di sebuah acara.

"Kali ini Maria Farida pula. Biarlah apa orang nak cakap... lama-lama senyaplah. Kutuklah selagi terdaya nak kutuk," katanya kepada BH Online.

Menurut Ezuwan gaun kembang berkenaan disiapkan dalam tempoh tiga hari.

"Saya menggunakan material cetakan Neo. Saya buat istimewa untuk Maria. Baju itu disiapkan dalam tempoh tiga hari.

"Saya memang tiru 100 peratus cetakan sama jenama antarabangsa itu. Cuma bezanya saya tak letak nama jenama itu saja," katanya.

Sisi lain, Ezuwan cuba membuktikan bahawa bakat tempatan juga mampu menghasilkan rekaan sama seperti pereka antarabangsa.

"Saya tak ada niat nak tiru pun. Cuma saya ambilnya jadi inspirasi. Saya percaya semua pereka fesyen juga mempunyai inspirasi dan pengaruh tertentu dalam rekaannya. Saya nak tunjuk dan buktikan bahawa pereka fesyen Malaysia juga boleh buat rekaan sama bagus seperti di luar negara. Kita juga boleh buat seperti mereka.

"Saya cari makan dengan mereka serta menjahit baju. Cuma sesekali saya mahu berkarya melawan arus dengan membuat rekaan 'luar biasa' untuk artis bagi acara tertentu. Takkan nak buat benda yang sama saja setiap kali.

"Ada netizen cakap lebih baik saya tukar nama daripada jadi pereka fesyen kepada tukang jahit. Sebab itu juga saya buat tanda pagar dan nama Tukang Jahit Termahir Malaysia di laman Instagram," katanya.

893 dibaca
Berita Harian X