;
Rabu, 16 Mei 2018 | 1:40pm
ANTARA koleksi tema Hipster untuk koleksi baju Melayu oleh Zery Zambry.

Zery Zamry tegar pertaruh Hipster

KUALA LUMPUR: Cuba melawan arus dan seiring dengan peredaran masa, pereka fesyen Zery Zamry tegar mempertaruhkan tema Hipster untuk koleksi baju Melayu rekaannya.

Bermula pada tahun 2014 koleksi itu Baju Melayu Hipster diperkenalkan, ia kini sudah memasuki tahun keempat. Cuma pada tahun 2016, koleksi itu tidak diterbitkannya.

"Ada yang bertanya kenapa perlu tampil dengan konsep hispter ini? Jawapan saya, hipster menjadi gaya hidup seseorang yang lebih menghargai sesuatu yang mempunyai nilai estetika tersendiri dan lain daripada yang lain. Ia sesuatu yang berbeza dan berani. Maka dengan huraian dan elemen itulah ia beri inspirasi untuk koleksi baju Melayu ini.

"Malah saya mencari kelainan kerana pada awal koleksi ini diperkenalkan, tiada satu pun pereka fesyen yang berani membuat baju Melayu yang lebih moden selain perbezaan potongan yang lebih 'slim' dan fabrik selesa. Awalnya saya hanya buat enam rekaan dan tidak sangka sambutannya cukup hebat. Tidak sampai dua minggu di pasaran, 2000 pasang habis terjual di Zalora," katanya.

Lebih membakar semangatnya, koleksi pada tahun 2014 itu juga menarik perhatian ahli politik, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

"Beliau sendiri menghantar SMS kepada saya untuk menempah enam pasang baju Melayu hipster ini. Ia sedikit sebanyak mencetus titik tolak perubahan besar dalam perkembangan inovasi baju Melayu di Malaysia. Malah pada tahun seterusnya, perubahan demi perubahan saya lakukan termasuk inovasi baru mendapat pujian dan kritikan.

"Tak kurang juga yang melemparkan tohmahan kononnya rekaan saya mencacatkan identiti baju kebangsaan tercinta. Malah terdapat juga lambakan peniruan potongan rekaan saya di pasaran. Namun semua itu tidak melemahkan semangat saya. Paling buat saya teruja, baju Melayu saya mendapat perhatian muda bukan saja untuk digayakan pada hari raya, sebaliknya pada hari biasa," katanya.

Menurut Zery, tahun ini koleksi baju Melayu Hispternya dibahagikan kepada dua koleksi Ready To Wear, Hipster Basic dan Hipster Gold.

"Tahun ini rekaan saya menitik beratkan soal keselesaan, trendy, ringkas dan tidak keterlaluan serta masih mengekalkan elemen klasik baju Melayu itu sendiri. Untuk Hipster Basic terdapat 10 warna kesemuanya dan amat selesa dipakai kerana ia adalah Baju Melayu Kemeja T yang pertama sekali direka di Malaysia.

"Kain terdiri daripada 100 peratus kapas yang tidak panas dan sangat selesa serta sesuai dengan cuaca di Malaysia. Ia juga disertakan aksesori butang ketip yang lekat sedia ada ke baju serta tali buckle untuk menyinsing lengan baju menjadikan ia bergaya. Manakala koleksi Hipster Gold pula lebih premium dan eksklusif.

"Ia hadir dengan pilihan seperti baju Melayu Johor moden dan baju Melayu potongan badan dalam pelbagai warna. Koleksi ini bermain dengan fabrik bercorak, metalik dan texture yang sesuai untuk lelaki yang mementingkan gaya dan ketrampilan yang 'mahal' tapi masih bersifat maskulin," katanya.

Koleksi hipster 2018 ini boleh didapati secara Online di www.Hipster.com.my dan juga di Mudah.my. Untuk maklumat lanjut boleh ke Facebook Fanpage, www.facebook/zeryzamryoffcial atau Instagram, @zeryzamryofficial dan @hipsterbyzz

591 dibaca
Berita Harian X