;
Rabu, 14 Februari 2018 | 4:49pm
DATUK Azlin Ahmad Shaharbi (duduk dua kiri) bersama ahli jawatan kuasa PENIAGAWATI di sidang media Program Misi Fesyen dan Perniagaan Malaysia ke New York 2018 anjuran PENIAGAWATI. - Foto Zunnur Al Shafiq
DATUK Azlin Ahmad Shaharbi (kanan) bersama Datuk Dr Noraini Ahmad.- Foto Zunnur Al Shafiq

Eksport segmen gaya hidup meningkat

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), menyasarkan peningkatan lima peratus eksport produk dalam segmen gaya hidup, tahun ini berbanding RM39.1 juta, tahun lalu.

Pengerusinya, Datuk Dr Noraini Ahmad, berkata peningkatan itu berdasarkan kepada padanan perniagaan dan elemen unik dalam produk tempatan.

Sebagai contoh, menerusi Program Misi Fesyen dan Perniagaan Malaysia ke New York disertai Malaysia tahun lalu, dua produk tempatan, iaitu Adamaya (jenama pakaian) dan Nottingheels (kasut) berjaya menarik minat pelabur dari negara itu menjalin kerjasama dalam perniagaan.

"Kita melihat pembabitan Minggu Fesyen New York sebagai pasaran baharu. Selepas Program Misi Fesyen dan Perniagaan Malaysia ke New York, tahun lalu, Pejabat MATRADE di sana memaklumkan saya ada pelabur berpotensi menunjukkan minat menjalin kerjasama secara serius.

"Untuk pasaran baharu, saya melihat acara fesyen mampu menarik minat mereka dan sekali gus mampu menempa nama ke pasaran global," katanya.

Beliau berkata demikian selepas sidang akhbar Program Misi Fesyen dan Perniagaan Malaysia ke New York 2018, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden Persatuan Wanita Bumiputera dalam Perniagaan dan Profesyen (PENIAGAWATI), Datuk Azlin Ahmad Shaharbi.

Antara segmen produk gaya hidup adalah pakaian, perabot dan perkhidmatan. Nilai eksport produk berkenaan mencatatkan RM37.6 juta pada 2016 manakala RM39.1 juta pada tahun lalu.

Noraini mengalu-alukan kerjasama antara badan bukan kerajaan (NGO) dan MATRADE bagi menjayakan misi pasaran perniagaan di peringkat global menerusi 46 pejabatnya di pelbagai negara.

Selain itu, beliau berharap syarikat berdaftar dengan MATRADE, memanfaatkan Geran Pembangunan Pasaran (MDG) yang dibangunkan tahun ini, selepas menggantungnya tahun lalu.

MDG ialah platform menyediakan peluang kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia memohon geran sehingga RM200,000 bagi penyertaan aktiviti promosi eksport, pameran perdagangan antarabangsa, perdagangan dan pelaburan dan pemecut eksport.

Misi persidangan antarabangsa, fi penyenaraian untuk barangan buatan Malaysia di pasar raya, pasar raya besar dan pusat runcit di luar negara turut diberi peluang sama.

MDG diumumkan dalam Bajet 2018 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Oktober lalu.

Sementara itu, Azlin berkata Program Misi Fesyen dan Perniagaan Malaysia ke New York 2018, menyasarkan penyertaan 15 pereka muda menyertai pertunjukan fesyen Couture Fashion Week New York, di Times Square, New York, pada 7 September depan.

"PENIAGAWATI mahu meluaskan pasaran usahawan Malaysia ke Amerika Syarikat selepas mendapat sambutan menggalakkan, pada majlis sama tahun lalu.

286 dibaca
Berita Harian X