Khamis, 4 Januari 2018 | 3:48pm
ZAIRIN Azman (kanan) bersama adiknya, pemilik Nita kosmetik, Aznita Azman.- Foto Nur Adibah Ahmad Izam
NITA Kosmetik.- Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Dua beradik usahakan perniagaan berbeza

KUALA LUMPUR: Lain padang, lain belalang. Minat dan kecenderungan berbeza membuatkan dua beradik mengambil keputusan mengusahakan perniagaan yang saling lengkap melengkapi di bawah pengurusan anak syarikat sama, Dimensi Moda Sdn Bhd, kira-kira setahun lalu.

Usahawan muda, Aznita Zainul Azman, 28 memilih mengasaskan jenama kosmetik sempena namanya sendiri, Nita Cometics yang berkonsepkan penceritaan dan perjalanan gadis yang suka mengembara.

Sementara, Zairin, 35 memilih gaya kesederhanaan jenamanya, UMMA.

Aznita berkata, jenama kosmetiknya unik berikutan menggunakan tema pengembaraan dalam bentuk komik dan ilustrasi, membawakan keunikan pulau peranginan sebagai ilham koleksi gincu di samping turut memaparkan keunikan negara luar seperti Turki.

"Perjalanan kosmetik ini saya diilhamkan dalam siri pengembaraan kerana fitrah wanita yang gemarkan kecantikan, kesempurnaan meskipun ketika percutian seperti padanan pakaian hariannya, solekan dan aksesori yang bersesuaian untuknya.

"Ini menjadi pemangkin saya mengilhamkan kosmetik yang memenuhi keperluan wanita, warna universal, harga berpatutan kerana mahu semua wanita mempunyai keyakinan diri, feminin dan penghasilan produk berkualiti," katanya.

Kegigihan bapa mereka, Zainul Azman Zainul Aziz yang berpengalaman lebih 40 tahun dalam bidang kosmetik dan minyak wangi mencetuskan semangat untuk bergelar usahawan dengan cara tersendiri.

Beliau anak bongsu daripada tiga beradik ini, rela mengetepikan bidang perfileman, iklan dan video muzik untuk memberi tumpuan terhadap bidang kosmetik gincu dan pembayang mata yang lebih dekat dengan fitrahnya sebagai wanita.

"Kejayaan bapa menjadi inspirasi kami berusaha dan bekerja keras, kerana bidang perniagaan ini mengajar kita banyak perkara, sinonim kepada gaya hidup dan mempunyai potensi pasarannya sendiri.

Sementara itu, Zairin berkata kehangatan fesyen Muslimah membuatkan ramai wanita berusia 20 hingga 40 tahun meminati gaya sederhana tetap memberi penampilan feminin dan mempesona.

"Wanita berhijab gemar kesederhanaan, memilih warna pastel, selendang siffon bercorak atau motif cetakan.

"Penggayaan tudung sentiasa berubah dan ramai menggemari selendang kerana boleh digayakan bermacam cara tanpa menjejaskan nilai sopan.

Justeru, UMMA adalah pilihan busana koleksi sedia dipakai dengan rekaan terkini dan menawan untuk gaya kasual dan ke pejabat," katanya.

Perkembangan fesyen, gaya wanita kini semakin menyerlah dengan tudung siap pakai yang diperbuat daripada kain lycra, selendang satin atau selendang kain kapas.

"Kita menawarkan dua jenis selendang, iaitu selendang sahaja dan selendang sedia pakai yang dijahit bersama tudung.

"Antara koleksi UMMA adalah blaus, jubah, plazo, gaun moden, skirt, pakaian lelaki yang boleh dibeli di dalam talian, umma.my.

599 dibaca
Berita Harian X