Khamis, 14 Disember 2017 | 12:50am
PENGERUSI Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Datuk Shahaniza Shamsuddin (tengah) bersama Pengarah Kreatif Che Mukhtar Ideas (CMi), Azri Che Mukhtar (kanan) dan Pengusaha Dewan Perkahwinan Kimstone Beserah, Siti Murni melakukan gimik pelancaran pada Pertunjukkan Fesyen Busana Pengantin Kuantan 2017 (KWFN 2017) di Dewan Kimstone Beserah. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Acara busana pengantin masuk kalendar Pahang

KUANTAN: Acara Pertunjukan Fesyen Busana Pengantin (KWFN) akan dijadikan acara tahunan dan dimasukkan dalam kalendar pelancongan negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin, berkata ia bertujuan memperkenalkan keunikan busana pengantin tempatan kepada pelancong dalam dan luar negara.

"Kita minta pihak Tourism Pahang mempertimbangkan cadangan ini bagi menarik minat pelancong untuk berkunjung ke Pahang.

"Langkah ini memberi peluang kepada mereka untuk mengenali hasil rekaan busana pengantin masyarakat tempatan.

"Ia juga inisiatif yang baik kepada pemilik busana pengantin tempatan terutama di pusat beli-belah Kompleks Teruntum untuk menjana pendapatan mereka dan pada masa sama, membuka peluang kepada industri fotografi untuk terus berkembang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Malam Gala KWFN 2017 di Dewan Kimstone, Beserah, di sini, malam tadi.

Kira-kira 30 pemilik busana pengantin yang kebanyakannya beroperasi di pusat beli-belah Kompleks Teruntum memeriahkan program berkenaan.

Program julung kali anjuran Persatuan Peniaga Melayu Kompleks Teruntum ( KOMTER STUDIO) itu turut dimeriahkan dengan penampilan khas koleksi busana pengantin kain tenun oleh Kompleks Pengembangan Tenun Diraja Pahang, Kampung Soi.

Selain itu, turut diadakan pencarian model lelaki dan perempuan untuk dinobatkan sebagai Mr dan Miss Pahang KWFN 2017, selain Miss KOMTER, yang akan berperanan sebagai duta pusat beli-belah itu.

258 dibaca
Berita Harian X