Rabu, 13 September 2017 | 11:43am
HALIMA Aden. - Foto REUTERS
MODEL fesyen dan bekas pelarian Halima Aden, yang memecahkan sempadan sebagai model hijab pertama di landasan fesyen berprofil tinggi di New York City. - Foto REUTERS

Halima Aden bawa hijab ke runway

NEW YORK: Halima Aden pernah menarik perhatian masyarakat Amerika Syarikat apabila muncul sebagai peserta pertama pertandingan Ratu Cantik Amerika Syarikat yang mengenakan hijab dan burkini ketika mewakili negerinya, Minnesota pada 2016.

Sejak itu, beliau mula mendapat perhatian dalam industri peragaan hingga ditawarkan kontrak selama tiga tahun bersama IMG Model yang turut dinaungi ramai model terkemuka seperti Gigi Hadid, Bella Hadid dan Miranda Kerr.

Malah, pada Februari lalu, beliau muncul sebagai model berhijab pertama menyertai pentas peragaan di Minggu Fesyen New York apabila memperagakan koleksi terbaharu Yeezy daripada Kanye West.

Sejak itu, Halima mula mendapat perhatian beberapa pereka dan jenama fesyen terkemuka termasuk Maxmara dan Alberta Ferretti untuk menggayakan rekaan dan koleksi terbaharu mereka dalam pertunjukan fesyen berprestij.

Selain menjadi model berhijab pertama yang berjalan di pentas peragaan antarabangsa dan bernaung di bawah agensi model terkemuka dunia, Halima turut mendapat perhatian majalah fesyen terkemuka seperti Vogue dan Allure apabila menjadi penghias muka depan.

Beliau muncul sebagai wajah muka depan Vogue Arab Saudi untuk edisi Jun lalu manakala majalah Allure di Amerika Syarikat turut menggunakan wajah model berketurunan Somalia itu menghiasi muka depannya untuk keluaran Julai lalu.

Dengan pakaian sukan jenama Nike dan berhijab, wajah Halima dihiasi dengan tulisan yang bermaksud "Ini adalah kecantikan Amerika" iaitu slogan yang menambat keinginan model muda berkenaan untuk mengatasi sempadan kecantikan dalam fesyen.

Dalam temubual dengan majalah berkenaan, Halima yang mengikut ibunya ke Amerika Syarikat ketika berusia tujuh tahun berkata, beliau sudah lama mengenakan hijab iaitu sejak zaman kanak-kanak lagi.

Beliau berpendapat berhijab juga dapat melindunginya daripada berasa malu dengan bentuk badan sendiri.

"Masyarakat sering meletakkan tekanan terhadap seseorang gadis untuk melihat cantik dalam cara tertentu. Saya rasa lebih banyak mempunyai kelebihan lain berbanding penampilan fizikal dan hijab sebenarnya melindungi saya daripada kata-kata seperti, "Awak terlalu kurus", "Awak terlalu gemuk", "Tengok pinggulnya", "Tengok pahanya".

"Saya tidak perlu risaukan kata-kata seperti itu," katanya.

Melihatkan kejayaannya mencipta nama walaupun dengan cara tersendiri, Halima mendapat banyak pujian apabila ramai yang menyifatkan dirinya memainkan peranan penting dalam mengubah wajah cantik dalam industri fesyen terutama bagi wanita Islam.

"Apa yang paling teruk ialah mereka tidak mewakili keseluruhan kumpulan. Saya rasa saya di sini untuk mengubah salah tanggapan dan stereotypes terhadap wanita Islam," katanya.

Tidak hanya 'laris' di pentas peragaan dan majalah, Halima turut mendapat perhatian menjayakan kempen beberapa produk terkemuka termasuk jenama sukan ternama Nike.

Beliau muncul untuk meraikan sambutan ulang tahun ke 20 kasut sneaker Air Max 97 keluaran Nike, baru-baru ini. Halima menyertai beberapa selebriti lain seperti model, Bella Hadid dan pemain tenis, Serena Williams yang menjadi jurucakap untuk jenama terbabit.

Biarpun sekadar meletakkan dirinya di tempat ke 15 daripada 44 wanita yang bertanding dalam Ratu Cantik Amerika Syarikat pada 2016 lalu, Halima Aden berkata, beliau tidak pernah bermimpi untuk mengecap kejayaan seperti hari ini.

Menyifatkan pemilihannya sebagai model Nike sebagai peluang terbaik untuk melonjakkan karier yang baru dibina, beliau tetap akan

Terkini penyanyi berasal dari Barbados, Rihanna yang melancarkan video kempen terbaharu bagi memperkenalkan produk kosmetiknya, Fenty Beauty turut memaparkan Halima sebagai model rangkaian barangan kecantikannya itu.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Ratu sendiri @badgalriri untuk peluang seumur hidup ini," katanya menerusi akaun Instagram miliknya.

Halima dalam satu temubual selepas namanya melonjak naik dalam industri peragaan berkata, beliau sendiri tidak pernah menjangkakan menjadikan dunia glamor fesyen sebagai karier utamanya. - Agensi

4007 dibaca
Berita Harian X