Rabu, 30 Ogos 2017 | 7:26pm
- Foto hiasan

Menyerlah dengan jeans putih

SELUAR jeans bukan sekadar selesa tetapi paling mudah dipadankan dengan apa juga pakaian, selain lasak dan tampak santai.

Lazimnya, individu akan pilih jeans biru dan amat jarang memakai warna putih.

Selebriti ternama dunia seperti penyanyi Justin Timberlake, bintang Korea, Lee Min Ho, malah ikon fesyen, David Beckham, tampak berkarisma melaram jeans putih.

Jadi, jeans putih mampu menyerlahkan pesona lelaki jika bijak disuai padan dengan pakaian.

Namun, perlu bijak supaya penampilan menyerlah. Di sini, dipaparkan panduan buat anda yang berani dan mahu tampak menyerlah dengan jeans putih.

Padanan ringkas

Kalangan penggiat fesyen kerap menyamakan jeans putih umpama kertas kosong yang boleh melakarkan pelbagai corak dan warna.

Rona putih mewakili imej polos dan ia mudah disuai padan. Untuk tampil bersahaja, anda disarankan mengacukannya dengan kemeja warna redup, kemeja polo, jaket kulit dan kemeja chambray.

Warna putih cepat kotor jika tidak menjaga dengan betul. Sebelum membeli, amati perinciannya seperti ukuran yang tepat, lipatan kaki yang sempurna hingga potongan secocok tubuh dan gaya.

Pastikan penampilan sentiasa bersih dan rapi kerana jeans putih secara simboliknya, mewakili sikap yakin dan percaya pada diri.

Pilihan kasut yang sesuai

Jeans putih juga secara tidak langsung membuatkan pandangan mata tertumpu pada kaki anda dan mendedahkan kasut yang disarung.

Ada banyak pilihan kasut sesuai digayakan dengan jeans putih asalkan dipastikan sentiasa dalam keadaan bersih. Ini kerana sedikit saja kekotoran terpalit pada kasut berupaya mencacatkan seluruh gaya dan penampilan.

Untuk penampilan meyakinkan, disyorkan sepatu loafers sepadan dengan warna baju. Untuk gaya siang, pilih kasut warna coklat dan biru, manakala malam, pilihan warna perlu lebih gelap meliputi hitam dan merah hati.

Kasut oxford turut sesuai digandingkan dengan jeans putih dan digayakan tanpa stokin. Boleh juga memakai sarung kaki pendek hingga tidak kelihatan.

But menterjemahkan imej ranggi serta santai dan menarik dipadankan dengan jeans putih. Tetapi, pilih warna kontra untuk baju dengan jeans putih.

Elak banyak warna

Jeans putih dilihat kontras dengan semua pakaian. Untuk tampil menyerlah, utamakan padanan baju berwarna gelap seperti hitam, biru tua, ungu dan kelabu.

Mereka yang lebih berani, memilih baju sedondon putih. Cuma bagi mengelakkan cacamarba, anda diingatkan supaya tidak mengenakan terlalu banyak warna. Sebaiknya, hadkan dua warna saja.

Panduan menjaga seluar jeans

1. Label jeans terkenal, Levi's menyarankan seluar jeans dicuci selepas 10 kali dipakai untuk elak warna cepat pudar.

2. Bagi kekotoran kecil, hapuskan ia dengan kain basah dan gunakan sikat gigi untuk membuang kekotoran dengan sabun lembut.

3. Cuci dan bilas jeans menggunakan air sejuk untuk mengekalkan keaslian warna.

4. Elakkan jemur jeans di bawah matahari terik dan terbalikkan luar ke dalam.

557 dibaca
Berita Harian X