Rabu, 30 Ogos 2017 | 4:20pm
FAIZAL Hamid. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat.

Gaya segar bersama Faizal Hamid

KITA perlu ada keyakinan diri supaya penampilan tampak hebat. Melalui pembacaan, pengalaman dan eksperimentasi secara automatik dapat menilai kesuaian sesuatu rekaan itu dengan personaliti kita.

Yang penting, setiap rekaan, corak, warna dan bentuk tubuh perlu sesuai dengan karakter serta pakaian atau aksesori yang dipakai supaya penampilan nampak lebih sempurna.

Bagi individu yang kurang mahir, mereka boleh mendapatkan pandangan daripada pakar atau setidak-tidaknya membuat rujukan di laman sosial, yang banyak panduan berkaitannya untuk gaya serta fesyen.

Bagi mereka yang mahukan ilham untuk penampilan terbaik, saya paparkan panduan gaya supaya anda tampil segar dan anggun sentiasa.

Penampilan sut putih lebih anggun

Untuk tampil menyerlah, padankan seluar dalam rona terang dengan blaus bercorak. Anda boleh bereksperimen dengan kombinasi warna, tetapi jangan keterlaluan kerana takut nampak pelik.

Jangan takut untuk memakai sut putih. Sut rona putih akan berikan penampilan yang klasik dalam kelas yang tersendiri. Elakkan fabrik yang terlalu lembut dan nipis, sebaliknya pilihlah fabrik berat sedikit seperti kain kapas dan linen.

Seimbangkan seluar dengan blaus supaya nampak feminin. Antara rekaan menarik adalah blaus diperbuat daripada sifon dengan kolar Peter Pan dan lengan gelembung.

Wanita dan kasut

Kasut dan beg antara yang akan melengkapkan penampilan anda. Sepasang kasut dan dompet yang cantik menawan dapat menarik perhatian dan mengagumkan mereka yang memandang.

Dari sudut praktikal pula, kebanyakan wanita lebih suka memilih kasut dan beg ketika membeli-belah kerana ia lebih mudah daripada memilih pakaian. Wanita tidak perlu risau mengenai masalah fitting baju, sama ada terlalu ketat, longgar atau apa saja, tidak perlu menanggalkan pakaian dan menghabiskan masa dalam bilik menukar pakaian.

Potongan rambut sempurna

Potongan rambut yang tepat dan sempurna dapat menyerlahkan penampilan. Ia juga boleh membuatkan seseorang kelihatan lebih muda. Potongan rambut yang hebat kadang kala mungkin agak mahal dan memerlukan anda berbelanja lebih, tetapi hasilnya mempengaruhi keseluruhan penampilan.

Untuk lebih jimat dan praktikal, dapatkan potongan rambut yang boleh diurus dan digayakan sendiri pada bila-bila masa. Elakkan memilih potongan yang hanya kelihatan cantik apabila mendapat sentuhan professional untuk menggayakannya. Anda perlu ada idea menggayakannya dan tahu mendandan sendiri.

Keanggunan rona neutral

Kelabu adalah warna neutral yang paling anggun, mudah dan senang digayakan. Ia paling menyerlah jika digayakan dalam rekaan gaun malam yang diperbuat daripada fabrik sutera satin. Untuk ke pejabat, rona kelabu menjadi pilihan yang paling tepat. Selalunya mereka yang tidak sesuai menggayakan warna hitam, boleh memilih kelabu sebagai ganti.

Perlu diingat, jika potongan badan lebar atau besar, anda harus memilih warna kelabu gelap untuk kelihatan lebih menarik dan jika anda kecil molek, pilihan yang tepat adalah kelabu cerah.

Rona kelabu paling segar jika dipadankan dengan putih sebagai warna kontras. Ia juga amat sesuai digayakan dengan apa juga warna kegemaran anda.

Jam tangan, aksesori mewah

Seperti beg tangan, jam tangan kini cukup menjadi perhatian dalam pasaran mewah antarabangsa. Apa yang unik, jam tangan berjenama adalah aksesori mewah yang tiada sempadan.

Apabila digayakan, ia tidak bertentangan dengan mana-mana kepercayaan (agama) atau merosakkan peradaban pakaian tradisi. Dalam pasaran mewah antarabangsa, jam tangan ini dilihat sebagai simbol status utama seseorang. Cuma bezanya, cita rasa dan harga. Pilihan anda bagaimana? Tepuk dada tanya selera.

Info

Ciri-ciri wanita trendsetter

- Mereka semestinya tidak takut untuk bereksperimen dengan fesyen.

- Mereka tidak mengikut trend, sebaliknya mendapatkan rekaan yang belum lagi dipakai oleh orang lain.

- Memulakan trend sendiri (yang akan menjadi ikutan).

- Penampilan di luar jangkaan dan menjadi kejutan.

- Warna dan perincian juga menjadi pilihan mereka.

- Antara ikon yang tergolong dalam kategori ini adalah Cate Blanchet dan Kate Moss.

Penulis adalah Pensyarah Kanan di Jabatan Fesyen, UiTM, Shah Alam dan pakar perunding fesyen

201 dibaca
Berita Harian X