Rabu, 16 Ogos 2017 | 3:46pm
SEBAHAGIAN koleksi eksklusif Saloma yang dipamerkan di Galeri 2, Muzium Negara menjadi tarikan ramai.
GAUN belah belakang dihiasi 642 labuci merah dengan bertulis Saloma dipakai dalam filem Ragam P Ramlee pada 1964.
ANTARA koleksi busana milik Saloma di pameran Ikon Fesyen Retro-Saloma, di Muzium Negara. - Foto Nik Hariff Hassan
ANTARA koleksi busana milik Saloma di pameran Ikon Fesyen Retro-Saloma, di Muzium Negara. - Foto Nik Hariff Hassan
ANTARA koleksi busana milik Saloma di pameran Ikon Fesyen Retro-Saloma, di Muzium Negara. - Foto Nik Hariff Hassan
CERMIN mata hitam milik Saloma turut dipamerkan. - Foto Nik Hariff Hassan
KASUT bersaiz 5 milik Saloma. - Foto Nik Hariff Hassan

Saloma dapat jolokan 'Marilyn Monroe of The East'

KUALA LUMPUR: Biduanita negara, Puan Sri Saloma pernah diberi jolokan Marilyn Monroe of The East oleh pengarah, pelakon dan aktivis filem berpengaruh Hollywood, Marlon Brandon, berikutan obsesinya terhadap fesyen.

Isteri Seniman Agong Negara, Tan Sri P Ramlee itu yang memiliki suara lunak bak buluh perindu turut dilabelkan sebagai 'Perintis Fesyen Malaya', pada zaman kegemilangannya.

Kehebatan Saloma berfesyen menerusi konsep suai padan turut diakui anak saudaranya yang juga bekas model terkenal tanah air sekitar 1980-an, Shashah Hamid, yang menganggap cita rasa biduanita itu sebagai klasik, anggun berani dan mendahului zaman.

Shashah berkata, ketika masyarakat waktu itu sedang mencari hala tuju fesyen, Saloma sebaliknya merintis gaya pertembungan antara Timur dan Barat, namun disesuaikan dengan adab budaya tempatan.

Beliau yang juga anak seniwati legenda, Mariani Ismail, menggemari gaya kewanitaan Saloma yang mampu menyerlahkan lekuk tubuh dan pinggul rampingnya.


SHASHAH Hamid. - Foto Nik Hariff Hassan


ANTARA koleksi busana milik Biduanita Negara, Allahyarham Puan Sri Saloma di Pameran Ikon Fesyen Retro: Saloma, Muzium Negara. - Foto Nik Hariff Hassan

"Saloma paling suka pakai kebaya ketat yang jarang dihiasi renda dan potongan baju peplum. Untuk menyerlahkan tubuhnya yang ramping, dia memakai korset untuk kelihatan lebih menarik," katanya ketika ditemui pada pameran Ikon Fesyen Retro-Saloma di Muzium Negara, baru-baru ini.

Pameran bermula 8 Ogos lalu hingga 31 Oktober depan yang memaparkan 65 koleksi fesyen biduanita negara, lebih tujuh dekad itu antara lain bertujuan mengimbas nostalgia kegemilangannya dalam industri seni dan fesyen.

Shashah berkata, beliau sering melihat sering menyuai padan kebaya peplum bersama kain potongan kipas, selain memakai gaun kembang atau ketat dan blaus cheongsam samfu.

Fesyen Saloma amat unik dan menyerlahkan keberaniannya dengan tubuhnya dibaluti korset, berselendang yang dililit pada leher bagi melindungi bahagian dadanya.

"Pinggang ramping berukuran 21 sentimeter dan mendedahkan bahagian atas dada serta bahu kekal diingati sehingga sekarang. Fesyen seumpama itu dianggap baharu dan berani bagi wanita Melayu yang kuat berpegang dengan adat dan budaya Timur," katanya.

Shashah berkata, kain potongan kipas, peplum, kain sempit, belah dan kebaya ketat sebenarnya adalah inspirasi fesyen Barat, tetapi diubah suai dengan tradisi dan ciri ketimuran.

Kain kipas digayakan Saloma adalah antara lima hingga 15 lipatan. Untuk tampil menarik, rekaan kipas yang menghiasi sama ada bahagian hadapan atau belakang kain akan dipadankan dengan kain jaring, manik dan labuci,".


ANTARA koleksi busana milik Biduanita Negara, Allahyarham Puan Sri Saloma di Pameran Ikon Fesyen Retro: Saloma, Muzium Negara. - Foto Nik Hariff Hassan

"Saloma suka melaram dengan kebaya ketat, potongan leher luas dan berzip di bahagian belakang baju. Dengan ketinggiannya 152 sentimeter, apa saja fesyen dipakainya tetap nampak genit," katanya.

Sementara itu, Muzium Tekstil Negara memilih hanya 65 busana daripada ratusan koleksi fesyen Saloma untuk dipamerkan bagi membangkitkan nostalgia selaku ikon fesyen pada kegemilangannya.

Pengarahnya, Hadijah Mohd Yunos, berkata kebanyakan busana yang dipamerkan ialah fesyen peplum yang diilhamkan Saloma sendiri, sekitar 1950-an hingga 1960-an menjadi kegilaan wanita Melayu.

Katanya, baju peplum dengan kain belah sempit yang paling menarik pernah digayakan ialah ketika mendendangkan lagu Selamat Pengantin Baru dalam filem Madu Tiga, pada 1964.

"Potongan klasik kebaya tradisional dipopularkan Saloma bukan setakat menjadi ikutan wanita pada ketika itu, malah menjadi inspirasi bagi pakaian seragam pramugari syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) dan Singapore Airlines (SIA).


BAJU kurung songket bunga penuh dipakai Saloma ketika menerima pingat kebesaran Ahli Mangku Negara pada 1975.

"Baju Bodo yang berasal daripada fesyen pakaian tradisional perempuan Makasar yang berbentuk empat segi dan berlengan pendek dengan potongan kontemporari, juga antara koleksi menarik dipamerkan," katanya.

Hadijah berkata, Saloma menggunakan lima pereka fesyen, iaitu Mak Nona Asiah, Raja Zai, Nyuk Ngang (Chempaka Booty), Bob Tan (Butik Lady Jane) dan Abol.

Meskipun ada pereka peribadi, Saloma tetap dianggap hebat kerana mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam berfesyen.

"Saloma bukan tukang jahit atau pereka fesyen, tetapi naluri berfesyen setanding dengan artis antarabangsa seperti Marilyn Monroe, Audrey Hepburn dan Carmen Miranda,

"Kreativiti dan daya imaginasi Saloma menzahirkan pelbagai gaya menerusi konsep suai padan membentuk imejnya sebagai ikon fesyen retro sehingga kini.

"Setiap fesyen busana yang digayakan akan disesuaikan dengan lagu, tema majlis dan filem yang dilakonkannya dengan kebanyakannya menggunakan padanan warna blok," katanya.

1520 dibaca
Berita Harian X