Jumaat, 11 Ogos 2017 | 9:38am
PAMERAN Ikon Fesyen Retro Saloma di Muzium Negara.- Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Busana Saloma di Muzium Negara

KUALA LUMPUR: Buat julung kalinya, sebanyak 65 koleksi busana Biduanita Negara, Allahyarham Puan Sri Saloma, dipamerkan kepada umum sejak Selasa lalu.

Pameran yang berlangsung di Muzium Negara sehingga 31 Oktober itu bertujuan menghargai jasa dan sumbangan Saloma dalam industri seni tanah air sehingga pernah mendapat jolokan 'Perintis Fesyen Malaya.'

Pameran anjuran Jabatan Muzium Malaysia itu juga bertujuan mengiktiraf fesyen unik penyanyi berkenaan ketika zaman kegemilangannya.

Ketua Pengarah Jabatan Muzium, Datuk Kamarul Baharom A Kasim, berkata pameran itu eksklusif dan semua peragaan busana Saloma menggunakan sentuhan pelbagai teknik konservasi tekstil profesional dan diikitiraf Majlis Muzium Antarabangsa (ICOM).

Katanya, langkah itu perlu bagi menjamin kelangsungan elemen warisan dan nilai estetika fabrik, yang mencecah usia lebih 60 tahun.

"Penyatuan dua unsur budaya Timur dan Barat sering menjadi inspirasi Saloma dalam mengilhamkan gaya dan pemakaiannya.

"Saloma menjadikan kedua-dua unsur ini sebagai satu konsep yang diterapkan dalam pembentukan imejnya, selain turut menitikberatkan keseimbangan kedua-duanya," katanya ketika berucap pada majlis perasmian pameran berkenaan.

Pameran Ikon Fesyen Retro: Saloma dirasmikan Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Saloma atau nama sebenarnya Salmah Ismail pernah mencipta gaya pemakaian unik mengikut potongan badannya dan pinggang seramping 21 sentimeter, dengan bahagian atas dada dan bahu yang terdedah.

Ketika zamannya, fesyen begitu agak baharu, terutama jika digayakan perempuan Melayu yang masih kuat adat budaya ketimuran.

Malah, penyanyi yang terkenal dengan lagu "Tiru Macam Saya" itu turut mendapat perhatian artis Barat, termasuk pelakon dan pengarah, Marlon Brando sehingga memberikan jolokan `Marilyn Monroe of The East' kepadanya sekitar 1958.

Antara potongan fesyen yang pernah dipopularkan Saloma adalah peplum, kain kipas, kain sempit, kain belah dan kebaya ketat, sekitar 1950-an dan 60-an.

Contoh peplum dan kain belah sempit yang pernah digayakan beliau ialah ketika menyanyikan lagu Selamat Pengantin Baru dalam filem Madu Tiga pada 1964.

Saloma juga mempopularkan potongan kebaya tradisional klasik sehingga ia diguna pakai sebagai seragam rasmi pramugari Malaysia Airlines dan Singapore Airlines (SIA) hingga ke hari ini.

906 dibaca
Berita Harian X