Selasa, 17 March 2015 | 12:04am
KOLEKSI Wanpa menggunakan motif flora 3D untuk menyerlahkan keindahan potongan gaun pengantin - Foto Amirudin Sahib
WANPA memberikan kelainan dengan mengunakan rona warna yang berbeza daripada kebiasaan. - Foto Amirudin Sahib
PILIHAN rona putih koleksi rekaan Ashraff Zainal menjadikan pengantin lebih anggun dan jelita - Foto Amirudin Sahib
ANTARA koleksi 'Endless Love' oleh Najeeb Azmi. - Foto Amirudin Sahib
KOLEKSI rekaan Najeeb Azami. - Foto Amirudin Sahib

Putih busana ratu sehari

GAUN pengantin yang indah menjadi idaman kebanyakan wanita yang bakal menjadi raja sehari supaya ia dapat digayakan bagi meraikan detik bermakna dalam hidup mereka.

   Oleh itu, pemilihan busana memainkan peranan penting kerana ia bukan saja penyeri imej buat pengantin tetapi memberikan keselesaan dan penampilan yang anggun sepanjang majlis perkahwinan.

   Biarpun, saban hari pelbagai rekaan dan koleksi diketengahkan bagi memenuhi cita rasa wanita, apa yang pasti penggayaan rona putih sentiasa menjadi pilihan.

Rona putih melambangkan kesucian diri dan sudah sinonim sebagai busana mempelai. Bukan saja raja sehari di negara Barat, malah di Malaysia pun mereka gemar memilih putih sebagai persalinan utama berbanding rona lain. Senario itu memperlihatkan rona putih saja sesuai untuk pengantin.


KOLEKSI busana pengantin Wanpa - Foto Amirudin Sahib

Pancarkan aura

Sehingga sekarang, perubahan globalisasi kekal meletakkan nuansa putih sebagai warna idaman wanita untuk dijadikan sebagai baju pengantin.

   Tempias warna putih turut memperlihatkan busana pernikahan tradisional seperti kebaya, kurung moden, kimono dan cheongsam turut menggunakan keindahan rona itu.

   Selain memancar dan menampilkan aura seri pengantin, pemilihan warna seperti putih gading turut menonjolkan bentuk tubuh pengantin.

Bukan itu saja, gaun pengantin putih juga memberikan impak lebih sopan dan romantik terutama apabila diperincikan dengan renda sulaman halus atau fabrik jarang.

Bagi menambah keindahan rekaan gaun pengantin putih, ada pereka menambahkan kuntuman bunga daripada fabrik renda Perancis bersama perincian kilauan manik dan mutiara.

Permulaan pemakaian

Jika diundurkan sejarah penggunaan rona putih itu, sebenarnya ia digayakan oleh pengantin wanita sejak abad ke-19, ketika majlis perkahwinan antara Puteri Victoria dan Putera Frederick William, pada tahun 1858.

   Pada majlis perkahwinan pasangan diraja itu, menyerlahkan kejelitaan Puteri Victoria apabila memakai gaun pengantin putih. Gaun berkenaan bukan saja cantik tetapi kelihatan cukup mewah menerusi penggunaan material renda honiton eksklusif dengan gaya potongan klasik.

Bermula dari situ, gaun putih menjadi fenomena kepada pengantin lain yang menyerlahkan romantis pasangan masing-masing .

Meletusnya aliran pemakaian gaun pengantin ala Puteri Victoria bukan saja memberi impak kepada golongan bangsawan tetapi turut menguasai minat dalam kalangan pelbagai golongan di seluruh dunia.

  Begitu juga senario di Malaysia, walaupun ia bukan tradisi asal masyarakat Melayu, warna putih menjadi pilihan mereka. Pengaruh budaya luar ternyata memberikan kesan besar kepada fesyen pengantin.

   Cuma bagi sesetengah negara di Asia seperti India, China dan Vietnam, merah menjadi warna pilihan kerana dipercayai mampu memberi kuasa, membawa tuah dan kemakmuran kepada pasangan baharu berkahwin.

  


ANTARA koleksi busana pengantin rekaan Ashraff Zainal. - Foto Amirudin Sahib

Gabungan idea kreatif empat pereka

Keindahan sentuhan rona putih turut diterjemahkan dalam himpunan koleksi gaun pengantin, White Love Bridal Collection 2015 yang menggabungkan idea kreatif daripada empat pereka tempatan.

Koleksi rekaan kreatif barisan pereka berkenaan, iaitu Ashraff Zainal, Lyndarahim, Najeeb Azmi dan Wanpa masing-masing mempunyai kekuatan imej dan keunikan tersendiri untuk bakal pengantin.

Walaupun, memberikan keutamaan rona putih, gaun busana pengantin untuk tahun ini turut disuntik dengan kelainan cita rasa termasuk pilihan warna dan perincian yang lebih berani.

Pukau pandangan

Koleksi Ashraff , 'Sakura Sky of Love', umpamanya cukup memukau pandangan.

  Rekaan kreatifnya menggabungkan ciri-ciri tradisional dan moden serta optimistik menggabungkan rona pastel sebagai warna asas dalam koleksi dihasilkan.

Kesegaran rekaan turut ditonjolkan menerusi potongan gaun labuh bertingkat sekali gus memberikan kesan kepada susuk tubuh yang menawan.

   Rekaan Lyndarahim, menyuntik keunikan dan beberapa elemen tersendiri menerusi koleksi 'Enchanted'.

Koleksi berkenaan tampak anggun dengan sarat perincian kristal dan manik. Ia menyerlahkan gaya moden dan mewah.

Keutuhan cinta abadi

Sementara itu, koleksi 'Endless Love' dari Najeeb Azmi, menonjolkan keunikan warna romantis dan perincian renda, batu permata Swarovski tersusun kemas mencerminkan keutuhan cinta abadi.

Memberikan impak imej dramatik, koleksi bercirikan elemen moden dilakarkan menerusi rekaan berstruktur dengan gabungan material fabrik lembut menambahkan keayuan mempelai.

Berbeza idea rekaan Wanpa yang menggunakan motif flora 3D untuk menyerlahkan keindahan potongan gaun majlis pernikahan dihasilkannya.

Koleksi itu adalah diinspirasikan menerusi menerusi filem 'My best friend Wedding', ternyata mampu mencuri tumpuan apabila Wanpa menggabungkan rona ceria pada gaun yang diperincikan dengan benang perak yang cukup halus hasil kerja tangannya.

Info:

Keunikan gaun putih
- Putih lambang terhadap cinta suci.
- Putih warna pilihan yang tidak lapuk ditelan zaman.
- Selain sesuai majlis akad nikah dan persandingan.
- Menyerlahkan suasana romantik pengantin.
- Rona gaun putih tidak menenggelamkan hiasan pada pelamin.

Pemilihan warna lain untuk busana pengantin
- Warna gelap gaun pengantin seperti hitam, biru, ungu hijau dan merah hati, bagaimanapun masih mampu memberikan ciri-ciri mewah.
- Warna gelap sesuai dipadankan dengan kulit cerah bagi menyerlahkan penampilan pengantin.
- Menimbulkan kesan dramatik.
- Warna lain sebagai pilihan termasuk putih susu, kuning air, ungu lembayung, oren dan coklat cair.

Tips tempahan gaun pengantin
- Pilihan kain bersesuaian yang dibeli sendiri atau saranan pereka butik.
- Hantar tempatan mengikut pereka yang digemari.
- Perlu dihantar selewat-lewatnya tiga bulan sebelum tarikh perkahwinan.
- Antara fabrik pilihan termasuk renda Perancis, sutera Itali atau China dan kain organza.
- Bawa pasangan anda, kawan atau keluarga untuk mendapatkan pandangan mengenai gaun ditempah.

Pilihan rekaan baju.
- Dapatkan nasihat pereka potongan sesuai untuk bentuk tubuh anda.
- Pilih konsep rekaan sama ada moden atau tradisional.
- Rekaan kurung Johor, kebaya longgar atau kurung moden, antara yang biasa dipilih bakal pengantin.
- Untuk gaun moden, boleh memilih potongan lurus, empire atau princess.
- Tambahkan perincian seperti labuci, manik, batu permata, renda atau sulaman.

226 dibaca
Berita Harian X